Amaran BN 2.0 Jika Tidak Dihalang Segera


Rais Yatim, Ramkarpal, NGO Bersih dan pelbagai pihak telah tampil menasihati Pakatan Harapan agar berhati hati supaya tidak menjadi Barisan Nasional versi 2.0 susulan penghijrahan beramai ramai ahli dari parti komponen Barisan Nasional ke Pakatan Harapan terutamanya ke parti Bersatu.

“Jika wakil rakyat mahu mengubah kedudukan mereka berkenaan parti yang mereka wakili, mereka harus letak jawatan bagi membolehkan pengundi memilih wakil baru mereka,” kata Bersih dalam kenyataan hari ini.

Bersih juga menyentuh soal Sarawak dan berkata pengundi di negeri itu telah memberikan mandat kepada BN pada pilihan raya negeri (PRN) 2016 untuk mentadbir negeri.

“Sebarang perubahan kedudukan atau gabungan di negeri itu perlu dijalankan melalui proses pilihan raya,” katanya.

Bekas penasihat Sosio Kebudayaan Negara,  Tan Sri Rais Yatim memberi amaran bahawa Pakatan Harapan (HARAPAN) akan menjadi “BN 2.0” jika menerima sesiapa sahaja dari BN yang menyeberang ke gabungan itu.

“Kalau kini diterima masuk oleh PH semua pihak yang rasa tersepit hidup maka yang akan wujud ialah BN2.0 dengan segala peel rosaknya. Sia-sia bergalang leher setakat ini,” kata Rais dalam satu catatan di Twitternya malam tadi.

Sementara itu, Anggota Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh menyifatkan penyertaan wakil rakyat BN ke dalam kerajaan HARAPAN sebagai sesuatu yang tidak bijak dan tidak boleh dibenarkan.

“Reformasi sebenar yang perlu dimulakan HARAPAN untuk menyelamatkan Malaysia tidak boleh dengan penyertaan wakil BN, kerana merekalah yang membenarkan dan menyokong regim bawah bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang akhirnya berjaya ditumbangkan HARAPAN.

“Mereka bersubahat dalam salah tadbir negara di bawah BN, dan inilah sebab mengapa reformasi sangat diperlukan sekarang,” katanya.

Ramkarpal juga memberi amaran penyertaan wakil rakyat BN dalam HARAPAN akan menghakis keyakinan pengundi gabungan itu sendiri.

“Pilihan dan kepercayaan pengundi (terhadap HARAPAN) amat penting dan perlu dihormati.

“Saya yakin kita sudah ada bilangan dan wibawa yang cukup dan tidak perlu mencapai majoriti dua pertiga di Parlimen melalui penyertaan wakil rakyat BN,” katanya.

Beliau menggesa kerajaan baru HARAPAN mencontohi pendirian antilompat kerajaan Pulau Pinang yang memperkenalkan undang-undang antilompat parti pertama di Malaysia pada 2012.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat