Kisah Seram Lebuhraya Karak


Kisah Seram Lebuhraya Karak

Kisah seram yang sering berlaku kepada rakyat Malaysia di Lebuhraya Karak sehingga menimbulkan pelbagai tanda tanya:

1. “Nampak emak saya tak?”

kisah

Pada suatu malam, seorang lelaki yang berasal dari Kuala Lumpur mahu pulang ke rumah pada waktu malam. Kebiasaannya, orang ramai sering memilih untuk mengguna lebuh raya Karak pada waktu malam kerana mahu mengelakkan kesesakan jalan raya. Malah, lelaki ini tidak berfikir banyak kerana tubuh badan nya yang sangat penat sehingga membuat keputusan untuk berehat dan tidur di dalam kereta di tepi jalan.

Beberapa minit dia lelapkan mata, dia kembali tersedar apabila dikejutkan oleh seorang budak lelaki yang merenungnya tajam tanpa berkelip kelip sambil mengetuk tingkap dari luar dan budak tersebut bertanya kepadanya di mana ibunya. Lelaki itu menguatkan diri dan membuat keputusan dengan menghidupkan enjin kereta dan terus memecut laju meninggalkan tempat itu. Namun , budak tersebut masih mengejar dan terus menanyakan soalan sama di mana ibunya berada.

Kemudian sebuah kereta polis peronda muncul lalu mengekori kereta lelaki itu. Ketika itulah hantu budak sesat yang  mencari ibu itu menghilangkan diri. Lelaki yang dalam ketakutan itu telah menceritakan segala-galanya kepada pegawai polis itu

Pegawai polis memberitahu lelaki tersebut bahawa :

Pada suatu ketika dahulu, ada kisah tentang kemalangan berlaku di sini. Kemalangan itu berlaku dipercayai kerana penumpang di dalam kereta tersebut tidak memakai tali pinggang keledar keselamatan semasa memandu. Dalam kemalangan itu, ibu kepada budak tersebut telah tercampak keluar dari keretanya. Manakala budak tersebut kekal di dalam kereta. Disebabkan hal itu, budak itu pun merayau-rayau mencari ibunya sehingga kini.Ada orang kata semasa kemalangan itu berlaku, budak itu yang duduk di bahagian depan, manakala ibunya sebagai pemandu. Dalam kemalangan itu, cermin pecah dan kaca menusuk ke mata budak itu.

2. Misteri Volkswagen kuning yang tak boleh dipotong

kisah

Kisah Volkswagen kuning ini dipercayai mula mengganggu kenderaan di lebuhraya Karak sejak tahun 1956. Tetapi  selepas Lebuhraya Utara Selatan dibina merentasi kawasan yang dinamakan Jelapang, sejak itulah hantu Volkswagen kuning semakin ketara muncul dengan mengganggu kenderaan yang lalu lalang di situ.

Kisah sebenarnya bermula daripada seorang isteri yang curang dan telah membunuh suaminya dengan kejam dan merampas kereta Volkswagen kuning milik suaminya. Suaminya mati dengan menyimpan rasa dendam untuk memiliki semula Volkswagen kuning itu. Namun, jika benar hantu Volkswagen kuning ini wujud , maka itu adalah jin (keturunan iblis yang bergelar jembalang), bukan si suami malang yang mati dibunuh kejam

Volkswagen ini akan muncul secara tiba-tiba dan sekiranya pemandu memotong kereta tersebut, ia akan berada di hadapan secara mengejut. Dipercayai, kemalangan berlaku disebabkan gangguan Volkswagen kuning.

Menurut pengalaman seorang pelajar UIA yang datang dari Gombak menuju ke Temerloh dengan motosikal pernah melalui dan terserempak dengan kereta kuning di lebuhraya itu pada tahun 2009 pada waktu senja kira-kira jam 7.30. Disebabkan beliau mengetahui akan misteri tersebut, beliau hanya ambil langkah bertenang dan tidak memotong kereta tersebut.

3. Penampakan pontianak

kisah

Tanpa berfikir panjang, pintu kereta serta tingkap ditutup dengan pantas dan Saifullah menekan pedal minyak sekuat mampu, Malik pula menekup muka manakala Azizi menenangkannya. Kemudian Hadi bertanya, apa yang mereka nampak dan kenapa ketakutan sampai begitu sekali

“Aku rasa aku nampak pontianak. Dia tengah baring terlentang atas but kereta kau tapi muka dia menghadap kita. Masa aku toleh ke belakang tadi, mata aku betul-betul nampak matanya,” kata Saifullah ketika menceritakan detik cemas dia dan rakan-rakannya disapa makhluk halus di Lebuh Raya Karak.

Selepas mendengar pengakuan rakannya, Saifullah cuba memberanikan diri untuk melihat ke cermin pandang belakang namun tiada benda yang kelihatan. Hadi pula cuba pandang ke belakang menerusi cermin sisi. “Pul, betullah. Aku nampak ada ‘benda’ dekat belakang,” kata Hadi. Mendengarkan katanya, kami semua tidak putus membaca kalimah al-Quran. Hadi pula beberapa kali mengalunkan azan dalam tempoh 15 minit.

Apabila keadaan menjadi tenang, baru empat sekawan ini faham mengapa lori dan kereta yang memintas mereka menyalakan lampu besar. “Mungkin mereka nak beritahu kita pasal lembaga tersebut, tetapi kita yang tak faham. Mujur juga mereka masih boleh mengawal kenderaan kerana panik dan takut melampau juga boleh mengundang kemalangan,” jelasnya yang sehingga kini mengelak untuk melalui Lebuh Raya Karak pada waktu malam.

4. Kereta sebuah keluarga rosak dan tersadai di tepi lebuh raya

Kisah sepasang suami isteri yang masih muda bersama bayi mereka sedang dalam perjalanan menuju destinasi di Lebuhraya Karak pada waktu malam.

Semasa suami memandu dalam kesunyian lebuhraya Karak, tiba-tiba, kereta yang dipandunya menghadapi masalah dan enjin terus mati. Si suami terkejut kerana dia yakin dia sedah periksa kereta tersebut sebelum memulakan perjalanan jauh untuk keselamatan keluarganya.

Kemudian, mereka tiada pilihan lain kecuali berhenti di tepi jalan. Si suami keluar untuk periksa enjin kereta tersebut manakala si isteri bersama anak mereka menunggu di dalam kereta. Si suami kembali semula dan memberitahu yang dia tak jumpa apa-apa masalah dan cuba untuk menghidupkan kereta itu lagi namun kereta tersebut masih tak hidup. Akhirnya, si suami terpaksa membuat keputusan sama ada tunggu sahaja sampai kereta lain lalu atau cari pondok telefon berdekatan.

Setelah menunggu hampir setengah jam, tidak sebuah kereta pun melalui jala ntersebut dan suami terpaksa nekad mencari pondok telefon yang berdekatan. Sebelum dia keluar mencari, dia menasihatkan isterinya supa mengunci kereta. Si isteri hanya melihat suaminya berjalan pergi dengan penuh kerisauan. Dia berdoa agar seseorang akan ternampak kereta mereka yang rosak dan menghulurkan bantuan.

Setelah berjam-jam berlalu dan si isteri mula bertambah risau dan dia risau jika sesuatu terjadi kepada suaminya. Dalam kerisauan, tiba-tiba dia terlihat cahaya biru dan merah yang datang dari kereta peronda. Melalui cermin pandang belakang, dia nampak seorang anggota polis keluar dari kereta dan menuju ke kereta rosak tersebut. Mereka meminta si isteri untuk keluar dari kereta rosak tersebut secara senyap dan jangan pandang belakang.

Si isteri keluar bersama bayi dan berjalan ke arah kereta polis dengan anggotanya. Bila dia sudah berada di jarak yang selamat, dia pun menoleh ke belakang dan terlihat kepala suaminya tanpa badan di atas kereta mereka. Sehingga hari ini, badan si suami masih belum ditemui. Dipercayai, sepanjang menunggu suaminya pulang ke kereta dari pondok telefon, terdapat beberapa bunyi dentuman datang dari atas bumbung kereta tersebut.

5. Panggilan seram ke sebuah saluran radio

Pada suatu malam, seorang DJ Radio pada tahun 90-an mengadakan satu rancangan berkongsi cerita-cerita seram. Ada seorang pemanggil call dan telah menceritakan satu kisah pengalaman ngeri. Cerita itu didengar secara langsung di radio oleh semua pendengar seluruh Malaysia.

Pemanggil itu menceritakan pengalaman dia sedang memandu malam di satu lebuh raya bersama isteri, anak dan kedua orang tuanya yang mana kemudian mereka terlibat dalam satu kemalangan tragik. Kereta yang dipandu itu terjatuh ke dalam gaung.

Dia memberitahu dia sangat sedih kerana kedua orang tuanya dan seluruh ahli keluarganya meninggal dunia akibat kemalangan tersebut. Akhir sekali dia berkata dia nampak dirinya juga mati di tempat kejadian, diikuti dengan hilai tawa dan kemudian talian terus terputus.

DJ radio berkenaan cuba memanggil semula beberapa kali dan panggilan tidak dapat disambung lagi. Beberapa minit kemudian, rancangan kembali seperti biasa. Orang ramai menyangka ia hanya sekadar satu panggilan palsu atau prank call.

Namun keesokkan harinya, di akhbar terpampang berita mengenai kemalangan di tempat yang sama seperti yang diceritakan oleh si pemanggil radio malam tadi. Dan mangsa yang mati adalah 2 orang warga emas, seorang kanak-kanak, dan sepasang suami isteri. DJ radio berkenaan terkejut lalu cuba mendengar semula rakaman malam tadi dari pemanggil misteri tersebut, namun rakaman tersebut kosong dan hanya dipenuhi dengan bunyi senyap yang mengerikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat