Pernah Ditempelak dan Dihina Suatu Ketika Dahulu, Jakel Bangkit Sebagai Peneraju Tekstil Terbesar Negara


Siapa tak kenal dengan jenama Jakel? Tak kiralah musim perayaan atau tidak, cawangannya serata Malaysia tidak pernah reda daripada kunjungan pelanggan yang inginkan kain serta fabrik berkualiti dengan harga yang berpatutan.

Dengan berdirinya lebih 20 buah cawangan di serata negara di samping menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 6,000 orang, kini Jakel dikenali sebagai syarikat tekstil terkemuka negara.

Pada tahun 2018, penjualan tekstilnya sahaja sudah menjana hasil jualan sebanyak RM 1.45 bilion !

Bukan itu sahaja, syarikat ini juga telah mendapat beberapa pengiktirafan besar dari dalam dan luar negara antaranya Anugerah Jenama Antarabangsa Terbaik di The 7th Middle East Business Leaders Awards 2016 serta Anugerah Penjenamaan Korporat di Anugerah The BrandLaureate.

Kalau nak tahu, Ariani, jenama hijab terkemuka di Malaysia sebenarnya adalah anak syarikat Jakel. Kini, Ariani juga memiliki 22 cawangan di serata Malaysia.

Kini kepimpinan Jakel Group terletak pada anak pengasas, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel yang mula mengambil alih perniagaan sejak tahun 2009.

Namun kejayaan empayar gergasi yang anda lihat pada hari ini tidak datang bergolek, malah pelbagai dugaan terpaksa dihadapi sebelum menempa nama sebagai pengeluar tekstil terbesar negara.

Jakel Dibuka Dengan Usaha Bapa 12 Anak

Jakel Trading yang diasaskan oleh bapa Datuk Faroz iaitu Mohamed Jakel bin Ahmad bermula sebagai kedai kecil-kecilan yang menjual karpet, tikar getah dan langsir di Muar, Johor pada tahun 1980. Selain jualan kedai, bapanya juga membuat jualan borong di sekitar bandar tersebut.

“Berbanding dengan apa yang orang ramai sangkakan, sebenarnya kami bukanlah berasal dari golongan berada,” jelas Datuk Faroz.

Beliau masih ingat kesukaran yang bapanya terpaksa hadapi demi menyara keluarga. Bukan mudah untuk menyara 12 orang anak tanpa kewangan yang stabil.

Bapa Datuk Faroz Pernah Kena Hina dan Tengking Kerana Tak Bayar Sewa Rumah

“Keluarga kami miskin dan situasi kewangan kami sangat teruk pada awal pembukaan Jakel. Ketika itu, tuan kedai bapa saya ambil semula premis itu dan jualkannya kepada orang lain,” jelas Datuk Faroz.

Meskipun masih kecil ketika itu, sebuah perisitiwa pahit yang menimpa bapanya kekal dalam ingatannya.

“Bapa saya dimarahi dengan cukup teruk oleh tuan rumah kerana gagal membayar sewa rumah selama 6 bulan. Yang lebih menyakitkan hati, tuan rumah tersebut turut menghina bapa saya dan mengugut untuk bakar rumah yang kami duduki.

Sejak dari peristiwa itu, saya berazam untuk ubah nasib keluarga dan tidak akan biarkan perkara tersebut berulang lagi,” jelas Datuk Faroz.

Datuk Faroz Mula Berniaga Sejak Berusia 8 Tahun

Dunia perniagaan bukanlah perkara yang baru buat Datuk Faroz, malah beliau sudah biasa membantu ibu bapanya cari duit sejak kecil demi kelangsungan hidup keluarganya.

Ketika berusia 8 tahun, beliau mula menjual gula tarik di sekolah dengan hasil kira-kira RM 15 seminggu. Wang jualan kemudiannya diserahkan pula kepada ibunya sebagai modal untuk berniaga makanan secara kecil-kecilan.

Bantuan Datuk Faroz sedikit sebanyak telah membantu ayahnya untuk kembali berdiri dan teruskan perniagaan karpet dengan modal yang minimum.

Datuk Faroz akui keadaan yang sukar pada waktu kecil telah menjadikan dia lebih kuat berusaha untuk mencapai kejayaan.

Sebagai anak sulung, Datuk Faroz menggalas tanggungjawab untuk membantu ayahnya di kedai setiap hari selepas pulang dari sekolah.

Selepas membuka kedai pada tahun 1983, bapanya dapati potensi perniagaan yang besar di Segamat disebabkan pembukaan penempatan Felda di daerah itu.

Tambahan pula, tidak ramai pelanggan berkunjung ke Muar kerana mereka lebih gemar membeli-belah di Melaka atau Batu Pahat.

Justeru itu, bapanya pun pindahkan perniagaannya ke Segamat pada tahun 1998. Pada mulanya, bapa Datuk Faroz berpindah seorang diri ke Segamat dan hanya menyewa suku daripada keseluruhan lot kedai.

cawangan pertama jakel tetap utuh sehingga ke hari ini

Cawangan pertama Jakel di Segamat. Kredit : The Star

Atas sambutan yang baik, perniagaan Mohamed Jakel semakin maju sehingga dia dapat besarkan kedai dan menyewa seluruh lot kedai. Seluruh keluarga juga ikut berpindah ke Segamat.

Adik beradik Datuk Faroz, Abdul Shiraz, Mohamed Nizam, Mohamed Izani dan Luqman serta adik-adik perempuannya turut membantu di kedai bapa mereka.

Jakel Mula Jual Kain Ela di dan Import Tekstil dari Luar Negara

Melihatkan potensi industri tekstil yang besar, Datuk Faroz bersama adik-beradiknya memujuk bapa mereka untuk mengembangkan lagi bisnes karpet dengan menjual fabrik dan tekstil dengan harga borong kepada orang ramai.

Ternyata, telahan Datuk Faroz adalah tepat. Perniagaan kain kedai mereka sangat menguntungkan sehingga Jakel mampu membeli lot kedai sewaan mereka terus.

Pada tahun 1992, Jakel mula membekalkan tekstil yang diimport dari Singapura kepada peniaga pasar malam.

Namun, perniagaan keluarga ini sekali lagi diduga apabila krisis ekonomi Asia melanda sehingga pembekal Singapura tidak dapat membekal tekstil seperti biasa.

Maka, timbullah idea Datuk Faroz untuk cari pembekal tekstil dari Korea Selatan dan Jepun. Namun pada mulanya, pembekal dari dua negara ini agak sangsi untuk jualkan produk pada Jakel kerana status Jakel yang masih terikat dengan pembekal Singapura.

Selepas beberapa kali percubaan yang memakan masa sehingga 6 bulan, barulah kedua-dua pembekal tersebut bersetuju untuk jualkan produk mereka, namun dengan harga yang lebih tinggi.

Sejak itulah Jakel mula menjual tekstil import pada lewat 90an dan muncul sebagai pengeluar dan pemborong tekstil terkenal di Malaysia.

Jakel Tukar Bangunan Teater Menjadi Gudang Tekstil

Pada tahun 1997, Jakel berani mengorak langkah dengan membuat pinjaman bank bernilai RM 1.6 juta untuk membeli teater Shaw Brother’s Rex di Segamat dan ubahsuai bangunan tersebut kepada pusat membeli-belah tekstil tiga tingkat.

Bangunan baru Jakel mula beroperasi pada tahun 2003 dan menjadi batu loncatan pertama untuk perniagaan keluarga ini.

“Pada setiap hujung minggu, kami dikunjungi oleh 100 ke 150 buah bas dari seluruh negeri. Ada yang datang dari Singapura, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Pulau Pinang semata-mata untuk beli kain dari kami.

Dari sutera Korea, sutera sulaman Thai sehinggalah chiffon bermanik, ternyata rangkaian fabrik mampu milik di kedai kami diminati ramai kerana menawarkan pelbagai pilihan tekstil yang berkualiti.

Pelanggan yang kebanyakannya adalah wanita sangat suka membeli kain kami dalam kuantiti yang banyak dengan harga borong.

Sesetengah pelanggan juga mendapati harga kain ela di kedai kami jauh lebih menarik jika dibandingkan dengan jualan di Tangkak,” jelas Datuk Faroz.

datuk faroz mohammed jakel

Jakel Terus Luaskan Empayar

Satu lagi langkah besar diambil oleh Jakel apabila membuka cawangan pertama di Kuantan pada tahun 2004.

Kemudian, empayar tekstil ini diluaskan lagi dengan membuka Wisma Jakel di Masjid India pada tahun 2006. Bangunan berkeluasan 100,000 kaki persegi ini menelan kos sebanyak RM 13 juta.

Sejak menapak di ibu negara, nama Jakel juga kian menjadi sebutan di kalangan golongan ternama serta pereka fesyen tanah air.

Kemudian, syarikat ini membelanjakan RM 50 juta lagi untuk bangunkan cawangan di Lembah Klang pada tahun berikutnya.

Pada tahun 2009, sebuah lagi Wisma Jakel dibangunkan di Shah Alam dengan kos sebanyak RM 40 juta.

Pada tahun 2013, Jakel membeli Cap Square dan menamakannya semula sebagai Jakel Square yang menempatkan Jakel Mall dan Lulu Hypermarket. Jakel Square juga membuka peluang kepada peniaga kecil untuk menyewa tapak berniaga.

jakel mall kuala lumpur

Jakel Giat Melabur Dalam Pembelian Hartanah

Saban tahun, pulangan syarikat ini semakin berlipat ganda sehingga membolehkan mereka libatkan diri dalam pelaburan hartanah terutamanya rumah kedai di serata Malaysia.

Datuk Faroz berpendapat pemilikan hartanah adalah selari dengan perniagaan mereka. Jika perniagaan maju, maka nilai bangunan juga akan meningkat sama.

“Atas izin Allah, ajaran dari bapa, restu dari ibu dan kerja keras kami adik beradik serta staf-staf kami. Ini semua jihad ekonomi saya, Allah Maha Mengetahui dan semoga Allah berkati setiap usaha yang kita lakukan,” ulas Datuk Faroz.

Kejayaan yang dikecapi oleh keluarga Datuk Faroz pada hari ini boleh dijadikan teladan bagi usahawan baru yang ingin bermula dari bawah.

Jangan mudah putus asa dengan modal permulaan yang kecil. Gunakan sahaja apa yang ada dahulu dan timbalah pengalaman sebanyak mungkin untuk majukan lagi perniagaan.

Sumber : The Star, Azhan.Co

2 komen untuk “Pernah Ditempelak dan Dihina Suatu Ketika Dahulu, Jakel Bangkit Sebagai Peneraju Tekstil Terbesar Negara”

  1. sangat hebat. sebab itu saya ingin menjemput Datuk sebagai penceramah jemputan di uni saya. pelajar ingin mendapat galakan dari usahan berjaya spt Datuk . surat jemputan telah di hantar. saya nak emel, tapi tak dapat kesan emel Datuk.

    jika Datuk membaca ulasan ini, sila hubungi saya di 0162060474

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat