Kisah Inspirasi : Dari Seorang Mekanik, Kepada Seorang Pilot Kapal Terbang!

Sumber Rujukan : Syahril Kadir

Mengecapi kejayaan bukanlah sesuatu yang mudah dan banyak dugaan yang harus ditempuhi bak kata pepatah bersusah-susah dulu bersenang kemudian. Kisah ini menceritakan seorang pemuda yang bercita-cita untuk menjadi seorang juruterbang pada suatu hari nanti. Pada awalnya, pemuda bernama Fauwaz Zamzam ini hanya bekerja sebagai seorang mekanik di lapangan terbang. Dek kerana semangatnya yang kuat dan minat beliau untuk menjadi seorang juruterbang, Fauwaz mengambil langkah drastik dengan menghabiskan  duit sebanyak RM30,000 semata-mata untuk menyertai kelab penerbangan persendirian dan mempelajari ilmu tentang penerbangan kapal terbang. Hampir keseluruhan duit hasil dari bekerja sebagai mekanik dihabiskan untuk tujuan tersebut.

Setelah berjaya menjadi sebahagian dari kelab penerbangan sendirian, beliau ditawarkan latihan teknikal dalam bidang penyelenggaraan pesawat di Mara Northrop Rice Institute (MNRI) di Jasin, Melaka.  Setelah tamat pengajian, Fauwaz  telah diterima sebagai juruteknik di Air Asia. Sejurus itu, Fauwaz telah disorongkan bantalkan oleh pengasas Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes apabila beliau membuka peluang kepada pekerjanya yang berminat untuk memohon mengikuti latihan penerbangan bagi menjadi seorang juruterbang. Berbekalkan pengalaman sebagai seorang juruteknik dan pengalaman mengikuti latihan di kelab penerbangan beliau lulus sesi temuduga secara mudah.

Setelah menjalani latihan kira-kira 15 bulan, Fauwaz lulus sebagai juruterbang dan pesawat pertama yang dipandunya adalah dari jenis Boeing 737-300. Kira-kira enam bulan kemudian, dia ditukarkan ke Johor Bahru. Selepas, itu beliau mula mengemudi pesawat Airbus A320 dan seterusnya Airbus A330. Pada tahun 2010, Fauwaz mengambil keputusan berhijrah ke MasWings dan berpindah pula ke Kota Kinabalu. Keputusan ini sangat mengejutkan rakan-rakan juruterbang yang lain kerana dia bertindak meninggalkan ‘pesawat besar ke pesawat kecil’ – lebih tepat pesawat berkipas.

Setahun kemudian, dia meninggalkan pula MasWings dan menyertai syarikat Berjaya Air sehinggalah ke hari ini.

Fauwaz mengambil keputusan tersebut kerana ingin mencari pengalaman baru. Fauwaz berkata “Saya faham persepsi rakan-rakan, maklumlah saya pindah ke pesawat kecil berkipas sedangkan kami dah biasa bawa pesawat besar namun ada perkara yang lebih memuaskan hati saya daripada hanya bercakap dalam soal saiz pesawat. Bayangkan ketika menjadi juruterbang di MasWings dan Berjaya Air, saya terbang ke kawasan-kawasan pendalaman, merentasi rimba yang luas terbentang serta pulau-pulau yang indah.”Malah pada tahun 2011, Berjaya Air mendapat kepercayaan untuk menerbangkan para pekerja lombong emas dari Cairn, Australia ke Pulau Lihir, Papua. Saya adalah antara juruterbang yang terpilih untuk tugasan tersebut. Cabaran menerbangkan pesawat ke satu lokasi yang terpencil dan mencabar seperti ini tak mungkin saya dapat kalau memandu pesawat komersil yang besar saiznya itu”.

Hasil dari keputusan itu Kapten Fauwaz kini mengendalikan dua jet peribadi – Challenger 300 dan Global Express 5000. Dua jet peribadi ini hanya disewakan kepada VVIP, tokoh korporat dan kerabat Diraja yang ingin menggunakan perkhidmatan tersebut hingga ke benua Eropah.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat