Kisah Doktor Positif HIV

Sumber Rujukan : Dr Amirul Amzar

Doktor adalah pekerjaan yang di pandang mulia oleh seluruh golongan masyarakat. Hal ini demikian kerana, doktor yang merawat pesakit juga berisiko untuk dijangkiti. Untuk menjadi doktor, anda tidak hanya bermain dengan nyawa pesakit tetapi juga melibatkan kesihatan diri sendiri. Dr Amirul Amzar telah berkongsi kisah rakannya, seorang doktor yang pernah di diagnosis HIV positif. Sama-sama kita ikuti kisah beliau yang penuh dengan pengajaran dan info yang lebih lanjut tentang HIV.

Ini adalah kisah benar, penceritaan semula adalah dengan kebenaran individu terbabit.

Hamdan (bukan nama sebenar) adalah seorang pegawai perubatan di sebuah hospital di ibu negara. Personalitinya yang ramah dan mudah mesra dengan orang lain amat disukai oleh pesakit-pesakit dan juga rakan sekerjanya. Beliau baru sahaja berkahwin, belum lagi dikurniakan rezeki cahaya mata. Isterinya juga seorang doktor.

Kerjaya sebagai seorang doktor mendedahkan beliau kepada pelbagai risiko. Salah satunya adalah risiko jangkitan yang serius seperti HIV dan hepatitis B. Oleh sebab itu, petugas kesihatan digalakkan menjalani ujian saringan HIV dan hepatitis sekurang-kurangnya 6 bulan sekali.

Bekerja di Jabatan Pesakit Luar, Hamdan mempunyai risiko yang rendah untuk dijangkiti penyakit-penyakit sedemikian, berbanding dengan doktor yang bekerja di Jabatan Kecemasan atau di dalam wad penyakit berjangkit. Namun sekali dua, Hamdan tetap akan merawat pesakit yang positif HIV atau hepatitis. Bagi melindungi dirinya dari risiko jangkitan, Hamdan akan mematuhi prosedur yang ditetapkan dalam pengambilan darah. Nasib beliau baik, beliau tidak pernah kena ‘needle stick injury’ sewaktu bertugas.

Pada April lepas, beliau sekali lagi menjalani ujian saringan HIV dan hepatitis B, atas dasar pemeriksaan rutin. Darah beliau diambil dan dihantar ke makmal, keputusan ujian akan siap dalam masa 1 minggu. Tidak terlintas dalam fikiran beliau, ini permulaan titik hitam hidupnya.

Tiga hari selepas sampel darah beliau dihantar, beliau mendapat panggilan dari nombor hospital.

“Assalamualaikum Dr Hamdan, saya Rostini dari MMB (makmal mikrobiologi). Doktor ada hantar sampel darah doktor untuk ujian saringan HIV kan minggu lepas?”

“Ya, saya. Ada apa-apa masalah kah?”

“Doktor, maafkan saya tapi saya rasa elok doktor jumpa Klinik Penyakit Berjangkit. HIV ‘rapid test’ doktor negatif, tapi ‘combo test’ doktor positif. Walaupun ‘titre’ nya kecil, kami akan uji semula dengan ‘Particle agglutination’. Oleh yang demikian, saya dah rujuk kes kepada Pakar ID (infectious disease), saya harap doktor boleh buat temujanji di klinik beliau”.

Berderau darah Hamdan apabila mendengar berita tersebut. Tak semena-mena air matanya menitis. Perkara pertama terlintas diingatannya adalah isterinya dan kemungkinan untuk mendapatkan zuriat kelak. Kemudian terlintas impiannya untuk menjadi seorang pakar. Bagaimana boleh beliau menyambung pelajaran jika beliau positif HIV! Sudah tentu akan ada stigma dari masyarakat dan rakan sekerja. Beliau juga perlu kerap ke Klinik Penyakit Berjangkit, makan ubat sehari-hari, dan rutin ini akan kekal seumur hidup! Bagaimana boleh dirahsiakan perkara ini!

Seminggu beliau diberi cuti oleh Pakar Penyakit Berjangkit. Pertemuannya dengan pakar tersebut tidak melegakan perasaan beliau, walaupun pakar tersebut cuba menenangkan fikiran beliau.

“Kes biasa je ni Hamdan. Besar kemungkinan ‘false positif je’. Kita tunggu keputusan ‘Particle Agglutination’. Dan untuk pastikan kita tak terlepas apa-apa, nanti saya ambil darah untuk HIV RNA.
Awak jangan risau.”

Hamdan hanya tunduk sepanjang konsultasi tersebut. Malu, apa lah yang bermain di fikiran pakar tersebut. Hamdan malu untuk bertentang mata dengan pakar tersebut, beliau takut dipandang serong. Ya lah, HIV selalu dikaitkan dengan hubungan seks rambang. Dan sebagai lelaki, walau beliau sebaik malaikat pun, jika ada HIV, sudah tentu orang ramai akan memandang serong.

Seumur hidup beliau, hanya pernah bersama isteri yang dicintai. Tidak pernah beliau ‘makan luar’. Apatah lagi mempunyai perempuan simpanan. Beliau sekarang dalam dilema, undang-undang memerlukan beliau memberitahu isterinya jika betul-betul positif. Apakah penerimaan isterinya? Patutkah beliau mendiamkan diri sahaja sampai keputusan ‘Particle agglutination’ dan HIV RNA siap? Mampukah beliau menahan perasaan kesunyian dan kegusaran itu seorang diri? Boleh gila dibuatnya! Kemudian, jika isterinya sudah tahu, apa langkah seterusnya? Mereka belum ada anak, takkan mahu ambil anak angkat. Berjujuran air mata Hamdan memikirkan masa depan mereka.

Akhirnya, Hamdan membuat keputusan, isterinya perlu tahu dan beliau nekad, jika betul-betul keputusan itu positif, beliau akan ceraikan isterinya. Perceraian itu akan dilindungi alasan lain, kononnya Hamdan dah berubah hati, tidak lagi rasa sayang pada isterinya. Biarlah keluarga memandang beliau sebagai lelaki jahat, ceraikan isteri kerana berubah hati. Namun beliau tak sanggup membebankan isteri yang dicintai dengan stigma HIV, dan mendapat pandangan serong dari keluarga sekiranya mereka tahu hal sebenar. Beliau nekad, malam itu rancangan nya akan diberitahu kepada isterinya.

Malam itu, kebetulan Hamdan mengambil isterinya dari tempat kerja. Perjalanan pulang mereka diterangi lampu lebuh raya yang suram dan malap. Hujan rintik-rintik. Isterinya yang masih tidak tahu perkara sebenar, terus-menerus bercerita tentang penatnya kerja hari itu.

“Abang ada benda nak cakap ni. Harap Fizah jangan terkejut”

“Apa dia bang?” berkerut muka Hafizah, suaminya selalunya banyak cakap dan suka membebel. Kenapa malam itu lain pula perangainya.

“Baru ni abang buat ‘blood test’, ‘routine check’ untuk HIV. Makmal telefon abang, dia kata abang positif HIV” kelat mulut Hamdan cuba mengeluarkan perkataan pahit positif HIV itu.

Hafizah terdiam. Hamdan dengar esakan perlahan dari wanita yang amat dicintainya. Hamdan menguatkan hati, beliau memberitahu tentang keputusan itu belum pasti dan perlu ditunggu lagi dua ujian. Hamdan teruskan dengan perancangan beliau, untuk bercerai jika betul-betul positif, namun Hamdan pinta, biarlah status HIV itu menjadi rahsia mereka berdua sehidup semati.

Hafizah hanya diam dan teresak-esak. Air matanya berjujuran, tak berhenti-henti. Setelah beliau dapat menenangkan diri, beliau bersuara.

“Fizah ‘sure’ keputusan tu ‘false positive’ je. Abang tak ada ‘risk factor’. Fizah percaya abang. Tapi kalau betul abang positif, Fizah tak nak bercerai, biar Fizah kena sama dengan abang, kita pergi klinik sama-sama, ‘follow up’ sama-sama. Bab anak, tak apa, kita ambil anak angkat je. Kita simpan rahsia ni sampai bila-bila, tapi Fizah tak nak bercerai sebab ni.”

Mendengar ketulusan hati isterinya, air mata Hamdan yang berjaya ditahan tadi mengalir lagi bak empangan pecah. Bersyukur sungguh atas kehadiran teman hidup yang amat menyayanginya. Namun jauh disudut hatinya tetap berharap bahawa keputusan ujian itu hanyalah ‘false positive’.

Setelah seminggu bercuti, Hamdan kembali bekerja. Setiap hari beliau menghubungi makmal bagi mengetahui keputusan ujian tersebut. Namun masih lagi dalam proses. Hari ini, telah habis cutinya, Hamdan kembali menyambung tugas, biarpun hatinya masih tidak mampu untuk fokus.

Ironinya, pesakit pertamanya adalah seorang lelaki yang datang membuat ujian HIV kerana terlibat dalam seks rambang. Lelaki tersebut kerap ke selatan Thailand bagi melanggan pelacur. Oleh yang demikian, dia kerap menjalani ujian HIV.

“Encik, saya ada berita baik untuk encik, keputusan ujian HIV encik semuanya negatif”

“Wahhh, baguslah doktor. Saya ada plan lagi nak ke Danok minggu depan. Syok ooo. Tapi saya selalu pakai kondom. Sebab tu tak kena lagi sekarang ni”

Berasap telinga Hamdan mendengar kata-kata lelaki itu. Merah padam mukanya menahan amarah. Terlintas di fikirannya tentang ketidak adilan dunia. Kenapa beliau yang langsung tidak pernah bersama mana-mana wanita selain isterinya positif HIV tetapi lelaki keparat ini negatif pula! Cepat-cepat beliau menyudahkan konsultasi tersebut, takut terlepas kata-kata tidak manis kepada lelaki ini. Kliniknya diteruskan, walau hati langsung tidak fokus.
Kring, kring. Nada telefon bimbit ‘oldschool’ nya berdering.

“Dr Hamdan, saya Rostini dari MMB. Result PA dah keluar. HIV RNA pun sama. Alhamdulillah, kedua-duanya negatif. Jadi ‘combo test’ yang positif tempoh hari adalah ‘false positif’ sahaja. Doktor jangan risau lagi ya.”

Hati Hamdan melonjak gembira. Beban positif HIV yang dipikulnya selama dua minggu terangkat dari pundaknya. Impiannya yang dulu kelam kini bersinar semula. Tak sabar rasanya mahu memberitahu isterinya. Namun beliau sedar, beliau perlu memanjatkan syukur pada yang Esa. Perlahan beliau melangkah ke surau untuk sujud syukur. Dalam doanya, tenang beliau bermuhasabah diri. Dua minggu ini mengajarnya banyak perkara.

1) Betapa peritnya menjadi seorang yang menghidap HIV. Stigma masyarakat, walaupun tidak lagi beliau hadapi, tetapi andaian demi andaian berkenaan stigma masyarakat cukup untuk membunuh hatinya. Sesungguhnya penghidap HIV yang mampu menjalani kehidupan seharian seperti biasa amatlah hebat dan kuat. Apatah lagi mereka yang bersifat terbuka dalam status mereka.

2) Hamdan faham, dilema dan beban menunggu keputusan sebenar. Oleh itu beliau sedar betapa pentingnya memberi kaunseling dahulu sebelum memulakan ujian. Perlu diberitahu, jika ujian pertama positif, tidak bermakna terus ada HIV. Masih perlu ujian untuk pengesahan. Maka ‘pretest counseling’ amatlah penting sebelum membuat ujian.

3) HIV bukan penghujung nyawa. Dua minggu Hamdan bertarung dengan beban tersebut, beliau rajin membaca berkenaan HIV. Beliau sedar, dengan ubat-ubatan dan disiplin yang baik, penghidap HIV boleh hidup seperti orang lain, menjalin hubungan dengan isteri tanpa kerisauan, malah mendapatkan zuriat yang bebas HIV! Betapa jumudnya pemikiran Hamdan sebelum ini.

Benar, Allah menguji Hamdan bagi membuka mata beliau, dan menjadikan pengalaman ini satu aset dalam kerjaya beliau. Syukur Alhamdulillah.

Edited addendum: Kes dr Hamdan adalah kes istimewa dan tidak mengambarkan sepenuhnya SOP hospital kerajaan dalam proses memberitahu pesakit tentang status HIVnya. Status HIV pesakit hanya boleh diberitahu melalui konsultasi secara berdepan dan tidak boleh dilakukan melalui telefon. Ia seharusnya dilakukan oleh doktor yang memesan ujian tersebut. Oleh sebab itu, kaunseling sebelum ujian dan selepas ujian saringan amat penting.

Semoga lakaran kisah ini memberi pedoman dan informasi kepada anda semua.

Sumber – Dr Amirul Amzar

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat