Kini Saya Bebas Untuk Lakukan Apa Sahaja, Boleh Tidur Lena – Rosmah Mansor
DATIN Seri Rosmah Mansor mengakui kini boleh tidur lena biarpun beberapa bekas rakan sekutunya kini berpaling tadah ekoran kekalahan suaminya Datuk Seri Najib Razak memimpin Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.
Beliau berharap segala masalah yang sedang melanda beliau dan keluarganya dapat diselesaikan dengan cara baik. Beliau tidak menyimpan dendam terhadap individu berkenaan yang kini menyalahkan suaminya.
“Perkara biasa dalam politik. Apabila kita berada di atas, semua orang sanjung, tetapi apabila kita mengalami masalah, keadaan menjadi seperti dijangkakan. Ia adalah sebahagian daripada kehidupan.”
“Semua orang mempunyai hak untuk bercakap apa yang mereka mahu cakapkan,” katanya.
Rosmah menyatakan bahawa fokusnya sekarang adalah untuk melindungi diri serta keluarganya dan yakin kehidupannya akan kembali normal.
“Buat masa ini, kami hadapi apa jua yang berlaku dengan baik. Berada dalam keluarga politik, kami sudah biasa dengan keadaan ini.
“Ini adalah salah satu kesukaran dan bahaya dalam politik yang harus kami tempuh,” katanya.
Dalam wawancara bersama akhbar Malay Mail turut bersama peguamnya Datuk Geethan Ram Vincent dan M. Puravalen selain beberapa kenalan rapatnya.
Menerusi wawancara kini beliau lebih bebas melakukan apa saja, termasuk tidur lebih lena.
“Ini adalah kehidupan yang perlu dihadapi. Saya tidak minta ia berlaku, namun ia kehidupan yang lebih baik, kini saya boleh melakukan apa yang saya mahu lakukan.
“Jika saya mahu tidur, saya boleh tidur lena dan bangun apabila suka,” katanya.
Rosmah berharap, siasatan dan pemeriksaan polis di rumahnya dapat berakhir dengan cepat, kerana beliau dan keluarganya mahu meneruskan kehidupan seperti biasa. Dan berharap pihak polis melayani keluarganya dengan baik sebagai warganegara Malaysia.
“Saya boleh terima semua serbuan dilakukan hingga awal subuh. Saya faham keadaan itu.
“Namun, saya percaya seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah. Disebabkan itu, kami mahukan layanan sebagai manusia. Hak untuk dihormati,” katanya.