Tiada Kena Mengena Dengan Fenomena Aphelion, Ini Rupanya Sebab Kenapa Cuaca Lebih Sejuk di Malaysia Sejak Kebelakangan Ini.
Anda pasti perasan dengan perubahan cuaca yang lebih dingin di beberapa negeri di Malaysia.
Cuaca yang sejuk ini juga menimbulkan pertanyaan netizen. Adakah negara kita sudah memasuki fasa akhir peralihan Monsun Timur Laut ?
Biasanya fasa akhir ini akan berlarutan hingga Mac nanti dan akan mengakibatkan peningkatan suhu.
Namun, keadaan cuaca yang sejuk ketika ini terjadi disebabkan oleh peralihan monsun yang sama.
Kenyataan ini juga disahkan oleh pakar metereologi Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah dari Universiti Malaya.
Memetik penjelasan pakar tersebut, penurunan suhu sebanyak 2 ke 3 °C yang dialami negara adalah disebabkan angin sejuk yang datang dari Siberia.
Cuaca semasa negara tersebut ketika ini mencatatkan suhu -25 °C . Sejuknya !
Sebelum ini, cuaca sejuk yang ekstrem ini turut dialami di negara China terutamanya di Hong Kong akibat angin sejuk dari Siberia sehingga mencatatkan penurunan suhu kepada 3.3 °C .
Memetik kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), keadaan cuaca lembap diramalkan terutamanya bagi negeri di sekitar Pantai Timur.
MetMalaysia turut melaporkan kemungkinan besar ribut petir beserta hujan lebat dan angin kencang akan melanda negeri-negeri Pantai Barat seperti Selangor, Perak dan Melaka. Negeri utara seperti Perlis, Kedah dan Pulau Pinang pula diramalkan kering.
Benarkah Fenomena Aphelion Akan Menyebabkan Cuaca Sejuk Ekstrem ?
Keadaan cuaca negara juga semakin hangat diperkatakan di sosial media apabila tular di Whatsapp tentang fenomena Aphelion yang kononnya mempengaruhi cuaca di Malaysia.
Mesej yang tular itu turut mengundang bimbang apabila mendakwa dunia bakal mengalami cuaca dingin yang ekstrem. Keadaan itu akan menjejaskan kesihatan segenap manusia sambil mesej tersebut menyeru kepada semua untuk tingkatkan imunisasi badan pada musim pandemik ini.
Benarkah fenomena ini sedang melanda negara seperti yang diwar-warkan ?
Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, senario alamiah yang berlaku setiap tahun ini berlaku apabila bumi berada pada kedudukan paling jauh daripada matahari.
Untuk tahun ini, fenomena Aphelion dijangka akan berlaku pada 4 Julai di sesetengah negara termasuk Malaysia. Berlawanan dengan Aphelion, fenomena Periheleon pula berlaku apabila bumi berada paling dekat dari matahari. Untuk pengetahuan anda, fenomena Perihelion telah pun berlaku di negara kita pada 4 Januari lalu.
“Ketika fenomena ini berlaku, bumi akan berada pada jarah 152,100,000 kilometer dari matahari. Namun, ia tidak akan memberikan kesan ketara kepada suhu bumi seperti yang didakwa di dalam mesej tular tersebut”.
Muhammad Helmi turut menafikan dakwaan dalam mesej tersebut yang mengatakan fenomena Aphelion boleh memberi kesan kepada kesihatan manusia.
“ Fenomena ini tidak akan memberi kesan ketara kepada cuaca dan tubuh badan manusia. Aphelion juga tidak berlaku pada Januari tahun ini sebaliknya diramal akan berlaku pada 4 Julai”, jelasnya.
Maka jelaslah di sini bahawa cuaca sejuk yang berlaku ketika ini bukanlah disebabkan oleh fenomena Aphelion. Hakikatnya ia berlaku disebabkan oleh peralihan monsun serta bawaan angin sejuk dari Siberia.
Oleh itu, warganet diingatkan supaya menyemak dahulu kesahihan maklumat yang diterima sebelum menyebarkannya kepada rakan dan kenalan.