Air Paip Tunjukkan Keputusan Positif ? Doktor Ini Tampil Jelaskan Mengenai Isu Tular Ini.
Penularan wabak Covid-19 kian rancak di seluruh dunia termasuklah di negara kita. Sebagai langkah berjaga-jaga orang ramai sudah terbiasa untuk menggunakan pelitup muka dan hand sanitizer setiap kali keluar rumah.
Dengan adanya jualan kit ujian Covid-19 yang mudah didapati sekarang, ramai yang mempunyai kesedaran untuk lakukan ujian kendiri bagi memastikan tahap kesihatan diri dan keluarga.
Banyak jenama kit ujian Covid-19 yang dijual di pasaran. Ramai juga yang mendapatkannya secara atas talian dengan harga yang lebih murah.
Bergantung kepada jenis, kit ujian Covid-19 boleh digunakan dalam dua cara iaitu menggunakan sampel cecair belakang hidung mahupun air liur.
Namun, kit ujian Covid-19 yang menggunakan sampel air liur yang dikenali sebagai Rapid Antigen Test mula menjadi persoalan warganet setelah tular di media sosial apabila air paip tunjukkan keputusan positif setelah diuji.
Kenapa Air Paip Tunjukkan Keputusan Positif ?
Bagi menjawab isu hangat ini, Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Awam, Dr Hanafiah Bashirun tampil menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku seperti dalam video Tiktok yang tular itu.
Menurut beliau, ujian kendiri Covid-19 yang sahih dan asli hanya akan bertindak balas dengan air liur dan antibodi dalam sampel air liur yang diambil.
Adalah mustahil untuk air paip tunjukkan keputusan positif melainkan ia diuji dengan kit ujian Covid-19 yang palsu.
Oleh itu, beliau menyarankan orang ramai untuk gunakan kit ujian Covid-19 yang diluluskan dan disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sahaja.
“Orang ramai perlulah membeli kit ujian kendiri Covid-19 yang disarankan kerajaan dan di farmasi, ada banyak kit ujian yang murah dan palsu di pasaran sekarang”, katanya.
Mengulas lanjut, Dr Hanafiah turut mengatakan kit ujian Covid-19 yang tidak sesuai akan menyebabkan keputusan tidak jitu terhasil.
“jika kita gunakan kit ujian kendiri Covid-19 palsu dan lakukan ujian terhadap air longkang sekalipun, kemungkinan keputusannya juga adalah positif.
Harga kit ujian kendiri Covid-19 kini sudah murah, hanya sekitar RM 6.90 sahaja. Pengguna disarankan untuk dapatkan kit ujian kendiri yang disarankan KKM sahaja” katanya.
Pada waktu pandemik ini, mungkin ada beberapa pihak yang ingin mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan melalui jualan kit ujian Covid-19 palsu.
Sebagai pengguna, anda dinasihatkan untuk beli kit ujian Covid-19 dari pengeluar yang dipercayai. Setakat 5 November 2021, terdapat 58 produk kit ujian kendiri yang telah diluluskan KKM. Sila rujuk senarai penuh di pautan ini .