6 Ciri Mukmin Berjaya
Mukmin berjaya adalah orang yang apabila disebut nama Allah gementar hatinya dan apabila dibacakan ayat-ayat al-qur’an bertambah keimanannya. Mukmin adalah orang Islam yang beriman, mukmin adalah istilah arab yang sering disebut dalam Al-Quran berarti “orang beriman”. Bagi seorang mukmin, hidup adalah rangkaian ibadah. Mereka akan menempuh kehidupan mengikut cara-cara dan acuan yang telah ditetapkan oleh Islam. Orang mukmin sentiasa berusaha untuk menghabiskan kehidupannya dengan melakukan ibadah dan kebaikan dengan tujuan memperolehi kejayaan di dunia dan akhirat. Disini penulis akan berkongsi ciri-ciri seorang mukmin berjaya.
1. Khusyuk dalam solat.
Khusyuk dalam solat ialah dengan tumpukan fikiran, hati dan anggota ketika solat dan dilakukan adalah semata-mata kerana mencari keredhaan Allah. Untuk mendapat khusyuk dalam solat terdapat pelbagai cara antaranya ialah faham maksud ayat dan lafaz yang dibaca, menumpukan pandangan ke tempat sujud, menunaikan solat dengan ikhlas dan tidak tergesa-gesa.
Solat yang khusyuk dapat merasa bebas dengan kekusutan dunia. Orang islam wajib menunaikan solat, namun solat tidak akan bererti sekiranya hanya melakukan gerak badan sahaja, tapi hendaklah solat dengan khusyuk.
2. Menjauhkan diri daripada perkara yang sia-sia.
Perkara yang sia-sia membawa kepada kelalaian, maksiat dan aktiviti yang tidak berfaedah. Orang mukmin perlu menjaga diri dari terlibat dengan gejala yang melalaikan dan tidak berfaedah. Hal ini kerana, perkara yang melalaikan boleh menjauhkan seseorang daripada mengingati Allah dan memudahkan hawa nafsu menguasai diri membawa kita ke arah kemaksiatan. Mereka yang dapat menjaga diri daripada terjerumus dengan perkara yang sia-sia, mereka adalah orang-orang mukmin yang berjaya.
3. Menunaikan zakat.
Zakat membawa maksud pembersihan. Zakat, terbahagi kepada dua, zakat fitrah dan zakat harta keduanya adalah wajib dilakukan ke atas mereka yang mampu. Mukmin yang berjaya adalah mereka yang bersedia dan rela memberikan sebahagian harta yang dimilikinya kepada orang yang berhak (lapan asnaf). Tujuan zakat kepada kita adalah untuk menolong mereka yang memerlukan dan berhak, serta dapat membersihkan harta kerana dalam harta kita terdapat juga hak orang lain.
4. Memelihara kemaluan.
Memelihara kemaluan bukan sekadar pelihara diri dari perbuatan zina, tetapi juga menghindarkan diri daripada perkara mendekati zina. Menjaga kemaluan juga dikaitkan dengan menjaga pandangan. Orang yang berjaya menjaga kemaluannya adalah orang yang sentiasa menjaga pandangannya. Oleh itu, cara yang paling berkesan dan mujarab untuk menjaga kemaluan adalah dengan menjaga pandangan kita. Sebagaimana firman Allah dalam surah an-Nur ayat ke-30,
”Katakanlah kepada lelaki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan”.
Pintu masuk perbuatan zina yang paling besar adalah dari pandangan mata. Maka jagalah pandangan kita agar kemaluan kita juga turut terjaga.
5. Memelihara amanah dan janji.
Amanah dan janji merupakan perkara yang wajib kita tepati, kerana itu Islam sangat menyeru umatnya untuk teguh memegang amanah dan juga janji. Daripada Anas bin Malik, bahawa Rasulullah bersabda: “Tidak ada iman bagi orang yang tidak memiliki amanah, dan tidak ada agama bagi orang yang tidak memegang janji.”(riwayat Ahmad).
Berdasarkan hadis diatas, kita diwajibkan untuk memegang amanah dan janji, kerana jika kita mengkhianatinya ibarat kita tidak mempunyai iman dan agama. Orang yang mengkhianati amanah dan janjinya mereka disifatkan sebagai orang yang munafik, sebagaimana sabda Rasulullah dalam sebuah hadis:
Tanda-tanda orang munafik ada tiga;
- Apabila dia bercakap,dia berbohong.
- Apabila dia berjanji, dia tidak tepati.
- Apabila diberi amanah, dia mengkhianati amanah yang diberikan kepadanya.
6. Menjaga solat.
Islam menyuruh umatnya mengerjakan solat fardhu yang wajib dilakukan lima waktu setiap hari. Orang Mukmin akan berusaha untuk memenuhi hari-hari mereka dengan menunaikan solat, ini kerana manusia yang paling mulia itu adalah apabila ibadah hariannya bermula dengan solat Subuh, kemudian diakhiri pula harinya dengan solat Isyak. Sebagaimana firman Allah dalam surah Hud, ayat 114:
“Dan dirikanlah solat pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada permulaan malam”.
Terdapat pelbagai kemuliaan bagi orang yang menjaga solatnya. Antaranya ialah dicintai Allah, hatinya lembut, wajahnya bercahaya seperti orang soleh dan pelbagai lagi fadhilat lain.
Inilah ciri mukmin yang berjaya yang di sebut oleh Allah di dalam surah al-Mukminun ini. Kadang-kadang, ada antara kita terlepas pandang tentang fadhilat dan kelebihan yang terkandung dan tersirat dalam surah ini.