Ada Yang Sudah Berlakon Sejak 1930an, Ini Senarai Keluarga Terkaya di Bollywood
Buat peminat-peminat filem Bollywood, sejauh manakah pengetahuan anda tentang artis-artis kesayangan anda? Tahukah anda sesetengah keluarga pelakon seperti Bachchan dan Kapoor sudah berada dalam industri selama lebih 40 tahun! Jom kita kenali 7 keluarga terkaya di Bollywood.
Senarai Keluarga Terkaya di Bollywood
1. Keluarga Bachchan
Mengungguli carta nombor 1 dalam senarai keluarga terkaya di Bollywood, Amitabh Bachchan pernah menerajui watak dalam 200 filem sejak tahun 1969. Pelakon veteran popular ini mencatatkan kekayaan (net worth) bernilai US$ 400 juta. Selain berlakon, beliau juga aktif dalam bidang pelaburan, saham dan hartanah.
Isterinya Jaya Bachchan yang juga seorang pelakon popular pula mencatatkan net worth sebanyak US$ 5 ke 10 juta. Populariti anak mereka iaitu Abhishek Bachchan, suami kepada Aishwarya Rai, juga tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri Bollywood.
2. Keluarga Salman Khan
Legasi keluarga Khan bermula dari ayah Salman Khan, Salim Khan mula mencipta nama sebagai pelakon namun lebih dikenali sebagai salah satu penulis skrip terkaya di India. Salim Khan bersama pasangannya Javed Akhtar mencetuskan kerjasama gabungan dengan nama Salim-Javed.
Salim-Javed merupakan antara orang penting yang menghasilkan formula filem pecah panggung Bollywood sejak era 70an iaitu masala films.
Berdasarkan laporan Celebrity News, Salim Khan dicatatkan memiliki kekayaan berjumlah US$37 juta sepanjang kariernya.
Salman Khan pula digelar Godfather of Bollywood atas pencapaiannya yang sangat memberangsangkan dalam dunia lakonan. Salman Khan dianggarkan memiliki kekayaan bernilai US$ 310 juta.
Selain Salman Khan, ramai ahli keluarga Khan yang turut terlibat dalam pembikinan filem belakang tabir menjadikan keluarga ini dikenali sebagai keluarga terkaya di Bollywood.
3. Keluarga Saif Ali Khan
Memetik laporan Republic World, Saif Ali Khan serta isterinya Kareena Kapoor memiliki jumlah kekayaan terkumpul sebanyak US$ 100 juta. Kedua-dua pelakon ini menerajui banyak watak utama dalam puluhan filem pecah panggung dan sering dipilih sebagai duta produk berjenama. Mereka juga terkenal sebagai pemilik hartanah mewah di kawasan elit sekitar India.
4. Keluarga Shah Rukh Khan
Nama Shah Rukh Khan tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri perfileman India. ‘King of Bollywood’ ini sering dihujani dengan tawaran berlakon dan sering dipilih sebagai duta pelbagai jenama terkemuka. Beliau dilaporkan memiliki kekayaan (net worth) bernilai kira-kira US$ 750 juta.
Isterinya Gauri Khan pula merupakan seorang pereka hiasan dalam terkenal di India. Selain itu, beliau juga terlibat dalam pembikinan filem bersama Shah Rukh Khan menerusi syarikat penerbitan milik bersama iaitu Red Chillies Entertainment.
Tak kurang hebatnya, Gauri Khan pula dikhabarkan memiliki kekayaan bernilai US$ 215 juta.
5. Keluarga Kapoor
Keluarga Kapoor yang juga dikenali sebagai ‘The First Family of Indian Cinema’ sudah mendominasi industri perfileman Bollywood selama lebih 94 tahun ! Jika tidak berlakon pun, keluarga berdarah seni ini kebanyakannya terlibat dalam perfileman di belakang tabir.
Ahli keluarga Kapoor yang mencetuskan dominasi perfileman India ialah Prithviraj Kapoor yang sudah mula berlakon pada tahun 1928.
Bermula dari situ, keluarga Kapoor terus mencipta nama di industri ini sehingga ke hari ini. Antara keluarga Kapoor yang sering kita lihat di kaca TV ialah Raj Kapoor, Rishi Kapoor, Karisma Kapoor dan Kareena Kapoor.
Memandangkan terlalu ramai keluarga Kapoor yang terlibat dalam dunia Bollywood, adalah sukar untuk anggarkan net worth yang keluarga ini miliki. Dengan nama yang sangat kukuh dalam industri, sudah tentu mereka turut tersenarai dalam keluarga terkaya di Bollywood.
6. Keluarga Akhshay
Pada tahun 2020, Akhshay Kumar disenaraikan sebagai satu-satunya pelakon India dalam carta World’s Highest-Paid Celebrities oleh Forbes dengan pendapatan tahunan sebanyak US$ 48.5 juta. Sebagai salah satu pelakon papan atas Bollywood, Akhshay Kumar mencatatkan net worth bernilai US$ 250 juta.
Isterinya Twinkle Khanna yang juga seorang pelakon mencatatkan net worth berjumlah US$ 30 juta.
7. Keluarga Johar
Mencatatkan kekayaan bernilai US$ 205 juta, Karan Johar terkenal sebagai salah satu pengarah dan penerbit filem Bollywood yang terkaya. Karan juga melabur wang yang besar bagi penerbitan Bahubali. Selepas Bahubali 2 ditayangkan, kekayaan penerbit ini bertambah sebanyak dua kali ganda!
Tidak keterlaluan untuk kita katakan Bollywood sebagai antara industri filem terbesar di dunia. Sejak mula mendominasi layar perak, Bollywood tidak berhenti menyajikan filem-filem menarik buat peminatnya di serata dunia sejak 1930an.
Memang tidak hairanlah sesetengah keluarga dapat mencipta nama yang kukuh selama 5 generasi. Selain berlakon, kebanyakan mereka juga berjaya mencipta nama sebagai pengarah, penerbit dan penulis skrip tersohor.