Cincin Ajaib Yang Mampu Menolong Generasi Yang Rabun Warna
Buta warna bermaksud tidak berupaya untuk mengenalpasti warna di dalam keadaan cahaya yang normal. Ramai yang beranggap bahawa penderita buta hanya mampu melihat warna hitam dan putih seperti televisyen hitam putih tetapi sebenarnya ianya tidak benar sama sekali. Buta warna mempunya banyak jenis contohnya buta warna parcial(hijau atau merah), buta warna total(black and white), dichromacy dan sebagainya.
Namun, hari ini seorang pensyarah Universiti Malaya iaitu Prof Mahmoud Moghavvemi telah telah mencipta satu alat untuk menolong generasi rabun warna melihat dengan lebih baik.
Alat yang diberi nama cincin ajaib itu berupaya membantu mereka yang buta warna mengenal pasti atau mengecam warna dengan lebih baik.
Prof Mahmoud berkata, masalah rabun warna yang sering mengganggu kehidupan seharian seperti memandu kereta atau suai padan pakaian adalah pencetus untuknya membangunkan alat itu.
“Buat masa ini, penggunaannya mudah iaitu dengan meletakkan cincin yang dipakai di atas warna yang hendak dikenal pasti.
“Selepas itu, sistem sensor yang dicipta di dalam alat itu akan mengesan warna yang disentuh hanya dengan menekan butang dan isyarat akan dihantar menerusi alat pendengar suara,” katanya.
Menurutnya, alat itu yang sudah mendapat paten sejak 2013 mampu mengesan 56 jenis warna setakat ini.
“Hasrat saya untuk membantu masyarakat yang berdepan masalah penglihatan kerana tidak dapat mengenal atau membezakan warna tertentu.
“Jenis dan tahap keseriusan rabun warna adalah berbeza daripada seorang individu dengan individu yang lain,” katanya.
Katanya, alat yang dicipta itu sangat ringan dan mudah dibawa ke mana-mana seterusnya dapat membantu supaya masalah penglihatan warna yang dihadapi seseorang diatasi dengan baik.
“Warna memainkan peranan penting dalam penglihatan manusia. Kecantikan alam akan lebih bermakna sekiranya kita dapat melihat dengan persepsi penuh bagi menghayati warna-warni dunia,” katanya.
Selain itu, katanya, pembangunan alat itu dibuat berdasarkan kepada kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengatakan 39 juta orang mempunyai masalah penglihatan warna di dunia.