Bantuan Guaman Percuma Untuk Asnaf Di Terengganu
Asnaf ialah pihak yang layak menerima bantuan zakat yang dikutip daripada orang Islam. Asnaf yang lapan terdiri daripada golongan:
- Fakir (al Fuqara) – adalah orang yang tiada harta pendapatan yang mencukupi untuknya dan keperluannya. Tidak mempunyai keluarga untuk mencukupkan nafkahnya seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. Contohnya ia memerlukan RM10 sehari tetapi hanya mampu RM3 sahaja.
- Miskin (al-Masakin) – mempunyai kemampuan usaha untuk mendapatkan keperluan hidupnya akan tetapi tidak mencukupi sepenuhnya seperti ia memerlukan RM10 tetapi hanya memperoleh RM8.
- Amil – orang yang dilantik untuk memungut dan mengagih wang zakat.
- Muallaf – seseorang yang baru memeluk agama Islam.
- Riqab – seseorang yang terbelenggu dan tiada kebebasan diri.
- Gharimin – penghutang muslim yang tidak mempunyai sumber untuk menjelaskan hutang yang diharuskan oleh syarak pada perkara asasi untuk diri dan tanggungjawab yang wajib ke atasnya.
- Fisabilillah – orang yang berjuang, berusaha dan melakukan aktiviti untuk menegakkan dan meninggikan agama Allah.
- Ibnus Sabil – musafir yang kehabisan bekalan dalam perjalanan atau semasa memulakan perjalanan dari negaranya yang mendatangkan pulangan yang baik kepada Islam dan umatnya atau orang Islam yang tiada perbekalan di jalanan.
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan memperkenalkan khidmat guaman percuma untuk kes mahkamah syariah kepada golongan asnaf di negeri itu sebelum akhir tahun ini.
Yang Dipertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata ia merupakan kerjasama strategik Maidam, Persatuan Peguam Syarie Negeri Terengganu dan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu dalam membantu golongan asnaf yang memerlukan.
“Hasil perbincangan awal, Maidam akan membiayai kos guaman golongan asnaf itu dan lebih istimewa lagi, peguam syarie juga bersetuju untuk mengurangkan kadar bayaran tersebut.
“Ia sebagai khidmat sosial peguam syarie untuk sama-sama membantu meringankan beban kewangan golongan asnaf menyelesaikan proses pendakwaan di mahkamah syariah secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan cek bantuan sebanyak RM25,000 kepada pesakit kronik anak mualaf hari ini.
Setakat 30 Jun, Maidam membelanjakan RM1.9 juta untuk keperluan golongan mualaf di Terengganu termasuk pembayaran bil hospital, ubat-ubatan dan keperluan asas lain.
Shaikh Harun berkata sekarang, khidmat guaman percuma disediakan Biro Bantuan Guaman, namun kes mahkamah semakin lama semakin bertambah dan pihaknya mengambil inisiatif ini untuk membantu mempercepatkan proses.
“Keutamaan diberi kepada golongan asnaf yang tidak berkemampuan untuk membayar khidmat guaman bagi proses perceraian mereka yang jumlahnya melebihi RM1,000 dan ke atas (bergantung kepada kes).
“Maidam sangat prihatin dengan keperluan golongan asnaf dan khidmat guaman percuma ini diharap dapat membantu mereka menjalani kehidupan sebelum, semasa dan pasca perceraian yang lebih selesa,” katanya.
Diharapkan dengan adanya bantuan seperti ini dapat mengurangkan beban asnaf-asnaf yang terlibat untuk menanggung kos guaman terutamanya di Terengganu.