#JusticeForBabySyifaa : Ayah Baby Syifaa Tuntut Keadilan Sewajarnya Untuk Anak, Didakwa Dijerut Bukan Terjerut
Kisah seorang bayi perempuan yang didakwa mati terjerut ketika berada di taska kini menjadi bualan hangat netizen. Tanda pagar #JusticeForBabySyifaa turut tular di beberapa platform media sosial bagi menuntuk keadilan bayi berusia setahun tiga bulan ini.
Bapa mangsa, Yuseri Yusoff dalam hantarannya di laman Facebook semalam diberitahu oleh pengasuh bahawa anaknya meninggal akibat terjerut buai dalam keadaan tergantung.
Namun dia rasa ragu kerana baginya kesan jerutan yang terdapat di leher bayi perempuannya tidak kelihatan seperti kain buai yang berbentuk, malah kesannya seolah-olah daripada wayar atau kabel.
“Kesan lebam pada leher Baby Syifaa adalah kesan tali wayar atau kabel. Selain itu, tiada kesan “jaring” pada leher Baby Syifaa,” katanya di Facebook.
Ayahnya semakin yakin apabila telah meminta pandangan pakar forensik luar negara. Mereka turut bersetuju bahawa kesan lebam berbentuk garisan mengelilingi leher mangsa bukannya akibat jerutan kain tetapi terhasil daripada jerutan tali, wayar atau kabel.
Oleh itu, beliau meminta pihak berkuasa untuk menyiasat kes ini lebih lanjut agar nasib anaknya terbela.
“Hari ini adalah hari ke 32 hari permergian Baby Syifaa dan memandangkan pengasuh belum dibawa untuk dibacakan pertuduhan di mahkamah malah pengasuh tidak ditahan reman sejak hari pertama kejadian.
“Aku mohon supaya kes kematian Baby Syifaa disiasat semula dan diklasifikasi sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
“Aku akan membuat permohonan rasmi kepada AGC dengan menghantar surat supaya kes diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Aku bersandarkan hujah-hujah dan pandangan pakar forensik serta gambar kesan pada leher Baby Syifaa,” kata bapa mangsa.
Difahamkan bahawa siasatan kes kematian bayi berusia setahun tiga bulan ini telah dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan.
Sama-sama kita doakan agar kes ini dapat diselesaikan dengan segera agar nasib anak kecil ini terbela.