Netizen Pertikai Kredibiliti Pemuda 23 Tahun Menyandang Jawatan Pengarah Bagi 4 Syarikat, Siapa Azri Azerai Sebenarnya ?


Sedang rata-rata masyarakat bergelut dengan gaji yang tidak setimpal serta isu ketetapan gaji sebanyak RM 1,500 yang membimbangkan banyak syarikat, seorang anak muda mendapat perhatian warganet atas pencapaiannya yang luarbiasa.

Nama beliau mula jadi sebutan apabila Sarawak Consolidated industries Berhad (SCIB) mengumumkan Azri Azerai sebagai salah satu pengarah bebas yang baru dilantik.

Setelah digali dengan lebih dalam, Azri terlebih dahulu berpengalaman memegang jawatan ahli lembaga serta pengarah eksekutif bagi 3 syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia. Mungkin kedengaran agak mustahil namun beliau capai semua ini dalam masa 7 bulan sahaja !

Netizen yang menyifatkan pengalaman kerjanya yang terlalu gah ini agak mencurigakan. Selain mempersoalkan kredibiliti pemuda berusia 23 tahun ini, kisah mengenai Azri juga mengundang banyak kritikan warganet.

Rasanya ini adalah pertama kali kita dengar tentang kisah seorang yang cukup muda memegang beberapa jawatan penting dalam syarikat.

Kelulusan dan Pengalaman Kerja Azri Azerai Dipertikai

Beliau yang berkelulusan ijazah sarjana muda dari London Institute of Banking and Finance juga berpengalaman menjadi pelatih di Maybank Investment Bank Berhad.

Kelulusan yang diperoleh Azri ini turut dipertikaikan oleh sesetengah netizen yang berpendapat ranking universiti itu lebih rendah berbanding Universiti Malaya.

Kredit : Twitter @Mulut_Cabai

Berbanding orang lain yang terpaksa bekerja puluhan tahun untuk bergelar ahli lembaga, Azri pula dikatakan terus dilantik serta-merta sebagai ahli lembaga sebaik sahaja menyertai sesebuah syarikat. Adakah beliau benar-benar layak atau beliau ada batu loncatan tersendiri ?

Sejak dilantik sebagai ahli lembaga pengarah bagi syarikat besar Bintai Kinden pada Julai 2021, Azri dipercayai telah terlibat dalam banyak rancangan korporat.

Antaranya ialah membangunkan tanah industri dekat KLIA bersama Charter Built Sdn Bhd, berkolaborasi bersama Institut Jantung Negara untuk bangunkan vaksin Covid-19 dan berjaya peroleh saham bernilai RM 50 juta dalam Johnson Medical International Sdn Bhd, iaitu sebuah syarikat berfokuskan perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal.

Setelah tiga bulan menyertai Bintai Kinden Group, beliau dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pegawai Eksekutif yang memegang $8.92 juta atau 2.34% saham syarikat.

Dah Jadi Ahli Lembaga Pengarah Sejak Graduasi Pada 2021

Selain bergelar ahli lembaga pengarah Bintai Kinden pada Julai 2021, Azri dilantik pula menjadi ahli lembaga pengarah bukan eksekutif bagi dua syarikat iaitu Serba Dinamik dan NWP Holdings.

Pada tahun lepas, KPMG mendakwa terdapat aliran wang yang mencurigakan dalam syarikat Serba Dinamik. Ini menyebabkan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia untuk ambil tindakan ke atas Serba Dinamik.

Kesannya, empat ahli lembaga Serba Dinamik letak jawatan ketika itu. Ekoran itu, Serba Dinamik pun melantik Azri untuk mengisi satu daripada dua kerusi pengarah bebas bukan eksekutif (INE) baharu pada November lalu.

azri azerai dilantik sebagai pengarah serba dinamik November lepas

Mengenai MGRC, jawatan Azri disusun sebagai Pengarah Eksekutif MGRC sejak 16 Februari 2022 memandangkan Bintai Kinden merupakan pemegang saham terbesar MGRC. Ekoran rombakan ini, kedudukan Azri di Bintai Kinden juga dinaikkan kepada Pengarah Eksekutif.

Selepas itu, barulah dia dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Sarawak Consolidated pada Mac 2022. Difahamkan ketika ini, beliau masih lagi bergelar pengarah eksekutif bagi Malaysian Genomics Resource Centre Berhad (MGRC) dan Bintai Kinden.

Azri Baru Sandang Satu Lagi Jawatan Pengarah !

Yang terbaru pula, The Edge Market melaporkan Azri kini telah melepaskan jawatan di NWP Holdings seminggu lepas dan kini dilantik sebagai pengarah bebas bukan eksekutif bagi Caely Holdings Sdn Bhd.

Senang betul dia lompat-lompat syarikat, ya. Jawatan besar-besar pula tu !

Jadi menurut sumber terkini, jawatan yang dipegang Azri buat masa ini ialah pengarah bagi 5 syarikat iaitu :

  1. Bintai Kinden Corp Sdn Bhd
  2. Serba Dinamik Holdings Bhd
  3. MGRC Bhd
  4. Sarawak Consolidated Industries Bhd
  5. Caely Holdings Sdn Bhd

Azri Azerai Berjaya Sebab Kabel Bapa ?

Melihatkan latarbelakang kerjaya Azri yang mustahil untuk dicapai pada usia mudanya,  ramai netizen yang menyimpulkan kejayaan Azri Azerai adalah hasil dari bantuan bapanya, Datuk Seri Noor Azerai Ahmad, seorang ahli perniagaan terkemuka di Malaysia.

Kalau nak tahu, bapanya pernah mencadangkan kapal persiaran yang boleh terbang atau Multipurpose Wing-In-Ground Effect (WIG).

azri azerai dikatakan dapat menyandang jawatan besar atas bantuan bapanya

Datuk Seri Noor Azerai (dua dari kiri)

Teknologi ini dipercayai muncul semasa Perang Dingin sebagai salah satu jentera peperangan milik USSR. Bot yang dilengkapi teknologi WIG ini dibangunkan di Melaka pada tahun 2015. Menurut Ketua Menteri Melaka ketika tu, Datuk Seri Idris Haron:

“Pengeluaran bot terbang ini tertumpu kepada pelanggan komersial terutama dari luar negara atau operasi membabitkan pihak keselamatan. Buat masa ini syarikat ini beroperasi di Masjid Tanah di atas tapak seluas dua hektar.

Azri Berterima Kasih Pada Bapa

Azri sedar dirinya kini jadi bualan netizen apabila mendapati sebuah artikel dari The Edge Markets telah disiarkan mengenainya. Mengetahui perkara ini, Azri tampil di Facebook untuk menceritakan serba sedikit kisah di sebalik kejayaannya.

Menerusi hantaran tersebut, pertama sekali Azri mengucapkan terima kasih pada ibu bapanya terutamanya bapanya yang telah mendedahkan dia pada dunia korporat dan perniagaan pada usia muda.

azri azerai berterima kasih pada bapanya

Dia juga bertuah kerana diberi peluang untuk menambah jaringan di kalangan ahli perniagaan hebat yang menjadi mentor sepanjang kariernya.

Baginya, kunci kepada perkembangannya dalam hidup ialah dengan cara belajar dan bergaul dengan orang yang lebih pakar. Dia juga bersyukur kerana berada dalam persekitaran yang membantu membentuk dirinya sekarang.

Meskipun kredibilitinya dipertikai, namun keupayaan Azri untuk menyandang 5 jawatan besar dalam satu masa adalah satu pencapaian yang cukup hebat. Semoga Azri menjadi pemangkin bagi ramai lagi anak muda berkecimpung dalam dunia korporat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat