Ikram Dan Perjuangan Menentang Seksisme Dan Rasisme
IKRAM cuba menyelamatkan diri mereka daripada dikaitkan dengan tuntutan golongan liberal. Mereka menyebut, ayuhlah kita fokus kepada tuntutan utama, bukan yang sampingan-sampingan yang di-hijack oleh golongan liberal.
Ayuhlah kita lihat kepada tuntutan utama:
“Membantah korupsi, seksisme, rasisme, diskriminasi, sikap biadap, pendakwaan terpilih” Saya ingin fokus kepada seksisme dan rasisme sebagai topik perbincangan penulisan ini. Terma memainkan peranan yang amat penting. Hari ini, terma-terma yang diperkenalkan barat digunakan sebagai slogan perjuangan demokrasi. Terma seperti rasisme dan seksisme sering digunakan oleh barat sebagai sebahagian daripada perjuangan equality atau kesamarataan.
IKRAM menyertai demo ini dengan satu harapan bahawa mereka juga dapat membanteras “rasisme” dan “seksisme”. Malang sekali mereka tidak faham bahawa terma-terma tersebut membawa konotasi yang bercanggah dengan asas-asas Islam. Memandangkan terma-terma ini adalah daripada barat, maka definisinya juga harus terikat dengan penciptanya:
1) Seksisme. Seksisme boleh didefinisikan sebagai prejudis atau diskriminasi terhadap sesuatu jantina hanya kerana jantina mereka. Mengikut golongan liberal, apabila kita membezakan seseorang sebagai wanita, lelaki, dan trans, terutama dalam perundangan, maka ia adalah satu bentuk penindasan dan ketidak adilan. Dalam islam, memang kita mengamalkan seksisme, yakni membezakan hukum bagi wanita dan lelaki. Wanita dan lelaki memang jelas mempunyai syariat yang berbeza. Lihat sahaja pembahagian harta pusaka yang tidak sama rata sebagai contoh pembahagian mengikut jantina, bahkan aurat pun berbeza mengikut jantina. Ini adalah seksisme yang diamalkan oleh Islam dan kita sebagai umat Islam langsung tidak punyai isu tentang itu kerana ia adalah Syariat daripada Allah, sebagai rahmat kepada sekalian alam.
Apabila IKRAM turut serta menentang seksisme, akhirnya ia akan memakan perjuangan diri sendiri. Golongan liberal akan terus menggunakan terma ini untuk mengubah perundangan Islam, dan seterusnya mengubah hukum-hakam dalam Islam. Yang sepatutnya diperjuangkan ialah membela hak wanita tertindas dan memerlukan bantuan, bukan menentang seksisme.
2) Rasisme. Rasisme juga adalah satu terma barat yang berbeza maknanya dengan As-sobiyyah. Rasisme bermaksud membezakan atau mendiskriminasikan seseorang berdasarkan bangsa.
Sejarah Islam dipenuhi dengan kegemilangan yang ditegakkan berasaskan bangsa. Kita lihat sahaja khilafah umaiyyah, abasiyyah dan uthmaniyah, semuanya adalah sistem-sistem yang berasaskan bangsa. Malah 4 khalifah awal adalah berasal daripada quraisy, selari dengan hadith لأئمة من قريش yang mana Nabi SAW sendiri menyebut bahawa kepemimpinan adalah daripada Quraisy. Bahkan dalam perang sendiri, Nabi membahagikan batallion-batallion mengikut kabilah. Kabilah ini lebih terperinci lagi daripada Bangsa kerana ia adalah suku dalam sesuatu bangsa. Mengikut terma barat, ini adalah satu bentuk diskriminasi bangsa atau rasisme.
Islam mengajar kita dengan terma assobiyyah. Sahabat pernah bertanya kepada Nabi SAW: apakah itu assobiyyah? Rasulullah SAW menjawab, ان تعين قومك على ااظلم yakni “apabila kamu membantu kaummu keatas kezaliman”. Apabila IKRAM mengangkat slogan rasisme, maka slogan tersebut akan memakan syariat Islam tersendiri. Para liberalis akan menggunakan ia sebagai peluang untuk menunjukkan diskriminasi Islam sepanjang pemerintahan khalifah bahkan akan menjadi hujah untuk mengatakan bahawa hadis nabi juga rasis, jadi kita tidak perlu ikut hadis. Perkara ini tidak pelik jika disebut oleh orang seperti Siti Kasim. Bahkan, perlembagaan kita juga bercanggah dengan nilai rasisme kerana mengangkat sesetengah bangsa di atas bangsa yang lain. Jadi agak janggal apabila IKRAM menyebut hendak menentang rasisme pada masa yang sama menyebut kepentingan menjaga keluhuran perlembagaan.
Apabila IKRAM bersetuju dengan terma-terma seperti rasisme dan seksisme, secara tidak langsung ia memberi peluang bagi liberal untuk memasukkan agenda mereka kerana terma-terma tersebut sememangnya menguatkan agenda mereka untuk mengangkat nilai liberal sekaligus menjatuhkan institusi Islam dan dominasi Islam sebagai ideologi utama di Malaysia. Jadi tidak pelik mereka mampu hijack demonstrasi baru-baru ini. Jadi nasihat saya buat IKRAM, gunakan terma-terma sendiri dan definisikanlah terma yang digunakan dengan jelas supaya tidak memakan perjuangan sendiri. Akhirnya jika anda teruskan begini, yang menang ialah golongan liberalis.