Apa itu erti kehidupan? Setakat mana perjalanan kehidupan yang telah anda corakkan
Sesetengah daripada masyarakat yang datangnya daripada latar belakang yang berbeza mempunyai pemikiran yang berlainan mengenai kehidupan di dunia ini. Pemikiran yang kritis dan inovatif juga tidak dimiliki oleh semua golongan manusia kerana perbezaan yang terdapat dalam cara mereka menjalani kehidupan mereka itu sendiri adalah tidak sama.
Permulaan Kehidupan
“Saya berasal dari keluarga kelas menengah atas. Bapa saya adalah Pengerusi sebuah syarikat perkilangan dan mempunyai kilang-kilang di Malaysia, China, dan seluruh dunia. Saya dibesarkan dikelilingi oleh benda-benda yang mahal, jadi saya tidak merasakan sesuatu yang berbeza mahupun istimewa mengenainya.
Kebanyakan orang yang hidup di dalam golongan masyarakat mewah cenderung untuk bergaul di antara mereka sahaja. Mereka berfikir dengan mempunyai beg tangan yang lebih mahal, mereka adalah lebih baik daripada sesiapa sahaja.
Jika di fikirkan kembali, semua perkara di atas adalah penting bagi saya. Kemudian saya melalui waktu-waktu yang sukar di dalam perniagaan dan tidak mampu lagi untuk memiliki perkara-perkara tersebut, jadi saya telah terbiasa dengan perkara ini. Ya, anda boleh memiliki beg tangan Dior, tetapi ia menyembunyikan siapa diri anda.
Contohnya seperti, anda memakai t-shirt Dior di badan anda, tetapi siapakah anda? Anda seperti iklan yang berjalan, dan bukan diri anda yang sebenar. Ia menjadi salah satu daripada personaliti anda. Saya tidak mahu bersembunyi di sebalik perkara-perkara ini, saya mahu orang melihat saya untuk siapa saya yang sebenar.
Zaman Universiti
Apabila saya berada di universiti di London, ibu bapa saya tidak memberikan wang yang cukup untuk saya menyara diri ketika berada disana, maka saya terpaksa bekerja. Saya bekerja di pawagam dan memulakan perniagaan katering kecil-kecilan untuk menampung perbelanjaan saya di sana.
Di sana tubuh saya semakin kurus kerana hanya pencuci mulut seperti puding sahaja yang dijadikan makanan seharian saya untuk memastikan wang yang dikeluarkan dapat dijimatkan untuk membeli keperluan lain.
Saya dan rakan-rakan yang kekurangan dari segi kewangan juga sentiasa berkumpul dan berkongsi untuk membeli pek sandwic yang mengandungi dua bahagian roti untuk dibahagikan di antara kami.
Saya bertemu dengan suami saya ketika kami belajar di London bersama-sama. Dia belajar di Imperial, dan saya di UCL. Apabila saya bertemu dengannya, saya menyedari bahawa cara pemikiran kami adalah sama.
Permulaan dalam bidang keusahawanan
Kami merasakan bidang keusahawanan adalah satu-satunya cara yang dapat kami ceburi untuk menyumbangkan segala idea fikiran kami dengan jayanya.
Pengembaraan keusahawanan kami adalah usaha kreatif dan intelektual kami dalam berfikir di luar kotak dan menganggap pekerjaan yang bergaji tidak akan memberi saya kepuasan dalam berfikir secara kreatif seperti apa yang saya kehendaki.
Kami telah bersama selama 18 tahun, dan memulakan perniagaan pertama kami bersama-sama 15 tahun yang lalu.
Kami telah merancang dan mempunyai mempunyai setengah daripada sedozen perniagaan,beberapa perniagaan berjaya dibangunkan dan beberapa lagi gagal.
Kini kami adalah pengasas bersama sebuah aplikasi yang menyediakan perkhidmatan pembersihan kepada isi rumah yang diberi nama Maideasy. Kami hanya menggunakan perkhidmatan tempatan, dan kebanyakan pekerja kami adalah daripada kumpulan B40 (Keuntungan bawah 40%).
Aplikasi Maideasy
Bekerja dengan kumpulan B40 ini benar-benar membuka mata saya. Mereka membuat saya menyedari bahawa kebanyakan mereka sukar untuk mempunyai perkara yang dengan mudah dimiliki oleh kita, seperti tempat tinggal, kehidupan ibu bapa yang stabil, makanan, dan pendidikan. Dengan memiliki semua perkara ini anda akan berasa yakin untuk menjalani kehidupan. Namun tidak bagi kumpulan B40 ini kerana mereka tidak memiliki keistimewaan seperti itu.
Salah seorang pekerja kami merupakan seorang ibu tunggal dengan dua orang anak. Dia tidak mempunyai wang untuk membayar rumah sewanya dan akan ditendang keluar oleh tuan rumah jika masih tidak melangsaikan hutang mereka. Oleh itu, kami meminjamkan RM300 dan sebuah telefon pintar kepadanya supaya dia boleh memulakan kerja sebagai pembersih.
Namun seawal dia memulakan pekerjaan sebagai pembersih, dia tidak mempunyai sesiapa untuk menjaga anak-anaknya. Kami mendapati dia meninggalkan anak-anaknya sendirian yang berusia 3 tahun dan 5 tahun di dalam bilik ketika dia bekerja. Akhirnya, dia kembali tinggal bersama kedua ibu bapaynya di Seremban dan ibu bapanya yang akan membantu dia menjaga anak-anaknya jika dia bekerja. Dia bernasib baik kerana Maideasy ada beroperasi di Seremban, jadi dia boleh menguruskan kawasan tersebut.
Kelainan dalam perjalanan kehidupan
Saya membaca sebuah buku yang dipanggil ‘Scarcity’ yang ditulis oleh dua orang profesor MIT yang bercakap tentang cara manusia berfikir. Buku ini menjelaskan bahawa setiap otak mempunyai ruang yang terhad.
Bagi kebanyakan orang kumpuan B40, mereka perlu membuat banyak keputusan. Siapa yang akan menjaga anak saya, adakah saya akan mempunyai kerja esok, dari manakah datangnya hidangan yang seterusnya ? Oleh itu, apabila mereka mempunyai terlalu banyak perkara dalam fikiran mereka, mereka tidak dapat mencari penyelesaian untuk perkara yang paling mudah.
Sebagai contoh, pekerja akan berkata, ‘oh telefon saya tidak mempunyai bateri la.’ Kemudian kami katakan, belilah powerbank . ‘Oh motosikal saya rosak’. Kemudian kami katakan, pergi la ke garaj. Mereka tidak boleh membuat keputusan seperti itu, bahkan keputusan yang paling kecil menjadi masalah kepada mereka.
Kami pergi ke PPR (Projek Perumahan Rakyat, flat kos rendah) untuk meminta orang ramai di sana jika mereka ingin menjadi pekerja bagi MaidEasy. Anda akan terkejut dengan perkara-perkara yang tidak dapat mereka lakukan. Saya telah bertemu satu pekerja yang tidak tahu bagaimana untuk keluar dari kawasan tempat tinggalnya melebihi 5km. Dan pekerja kedua – seseang yang tidak tahu cara menggunakan telefon pintar. Pekerja ketiga tidak tahu cara menggunakan Waze atau GPS.
Oleh itu, membuat sesuatu keputusan kompleks adalah terlalu sukar bagi mereka, jadi andalah yang boleh membantu memudahkan mereka. Maideasy membantu memudahkan proses membuat keputusan bagi mereka.
Cara seseorang itu berfikir datangnya daripada pengetahuan yang dipelajari dalam menjalani kehidupan mereka seharian. Semakin banyak yang dilakukan semakin banyak juga yang dapat dipelajari. Oleh itu, kita sebagai seorang manusia perlu mendidik diri kita untuk mencuba berfikir secara kreatif dan inovatif untuk masa hadapan yang lebih baik.