Akui Sukar Untuk Cari Sekolah Untuk Anak Istimewa, Ahmad Idham Bina Sekolah Pendidikan Khas, Bakal Tawar Pelbagai Kemudahan


Impian pelakon dan pengarah terkenal, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri untuk membuka sekolah pendidikan khas bersama isteri kini tercapai.

Beliau yang bakal menjalinkan kerjasama dengan beberapa tadika swasta di seluruh Malaysia turut bersyukur dapat merealisasikan hasrat besar ini.

Dengan usaha ini, beliau berharap akses terhadap sekolah pendidikan khas dapat diperluaskan buat kanak-kanak yang memerlukan.

Ahmad Idham Mulakan Inisiatif Demi Kemudahan Ibu Bapa Yang Ada Anak Istimewa

Sebagai bapa kepada anak istimewa, beliau cukup faham kepayahan yang terpaksa dihadapi oleh golongan ibu bapa ini.

Ahmad Idham akui beliau terpanggil untuk lakukan inisiatif ini kerana tidak mahu ibu bapa lain turut merasai kesukaran untuk menghantar anak-anak istimewa mereka ke sekolah bagi mendapatkan pendidikan awal.

“Alhamdulillah semalam telah termeterai memorandum persefahaman antara Sekolah Pendidikan Khas Eden Firdaus bersama Tadika Sinar Indah Berkat di Ampang.

Hampir 20 tahun yang lalu, susah untuk saya dan isteri cari Sekolah Pendidikan Khas untuk anak saya, Ahmad Firdaus . Saya yakin dan percaya mereka yang ada anak istimewa pasti pernah melaluinya sama seperti saya,” ulas Ahmad Idham.

Berkongsi berita gembira ini di laman Instagram beberapa hari lepas, beliau percaya anak-anak istimewa memerlukan sistem pendidikan khas yang sistematik dan komprehensif bagi mendidik mereka berdikari terutamanya dalam aspek pengurusan diri.

ahmad idham

Sekolah Pendidikan Khas Bakal Sediakan Pelbagai Kemudahan

Dalam hantaran tersebut, Ahmad Idham turut memaklumkan inisiatif ini juga bakal menyediakan pelbagai kemudahan tidak hanya kepada anak-anak istimewa, malah buat para ibu bapa dan pendidik yang terlibat.

“Saya juga mahu menyediakan khidmat saringan percuma bagi membantu ibu bapa mendapatkan pra diagnosis mengenai kelewatan anak dari segi akademik, mewujudkan program sokongan bersama komuniti ibu bapa yang ada anak istimewa.

Dan juga menyediakan latihan untuk guru mendalami ilmu pengajaran kepada anak istimewa dan melaksanakan program kekeluargaan dari masa ke masa,” jelas Ahmad Idham.

Berkongsi lanjut, Ahmad Idham kini mulakan inisiatif tersebut di Ampang dan bercadang untuk kembangkannya ke seluruh Malaysia. Justeru itu, beliau mohon doa dari semua agar misinya dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat