5 perkara yang anda perlu tahu tentang KORONAVIRUS


Novel Koronavirus (nCoV) adalah virus yang menjadi punca wabak di Wuhan, China.  Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah dimaklumkan berkenaan beberapa kes radang paru-paru di Bandar Wuhan, China pada 31 Disember 2019 .

Virus ini tidak pernah dihadapi sebelum ini dan tidak sepadan dengan mana-mana virus lain. Ia sekaligus menimbulkan kebimbangan kerana tidak tahu bagaimana virus itu memberi kesan kepada manusia kerana ia adalah merupakan virus yang baru.

Pada 7 Januari, pihak berkuasa China mengesahkan bahawa mereka telah mengenal pasti virus baru tersebut.  Virus baru ini adalah sejenis koronavirus yang merupakan anggota keluarga virus yang merangkumi selsema biasa dan virus seperti SARS dan MERS. Virus ini dinamakan “2019-nCoV” atau novel koronavirus. Sama seperti koronavirus yang lain, ia berasal daripada haiwan.

Kebanyakan mereka yang dijangkiti virus ini, majoriti adalah daripada pesakit yang bekerja dan sering berbelanja di Huanan Seafood Market, Wuhan. Pada mulanya, para pengkaji ketika itu berpendapat ia mungkin berlaku dikalangan mereka yang menjual makanan itu sahaja dan tidak melibatkan orang lain. Akan tetapi, bilangan pesakit telah meningkat secara mendadak dan kebanyakan tidak pernah ke pasar tersebut. Maka pihak kesihatan China telah mengisytiharkan bahawa penyakit ini boleh merebak sesama manusia.

1. Apa Simptom dan Tanda Novel Koronavirus

Pesakit yang dijangkiti Novel Koronavirus akan mempunyai simptom berikut:

  • Demam
  • Batuk
  • Sesak nafas

Pesakit akan mengambil tempoh antara 2 hingga 14 hari untuk menunjukkan simptom-simpton tersebut (berdasarkan virus MERSCoV merupakan salah satu jenis koronavirus yang menyebabkan jangkitan paru-paru).

2. Bagaimana koronavirus berjangkit?

Sama seperti selsema, nCoV merebak melalui titisan apabila seseorang bersin ataupun batuk. Kemudiannya titisan tersebut merebak ke mana-mana permukaan dan disentuh oleh orang lain, maka individu itu akan dijangkiti virus tersebut apabila mereka menyentuh bahagian mulut, hidung dan mata dengan tangan yang telah dijangkiti. Oleh itu, adalah sangat penting untuk anda memastikan kebersihan sentiasa terjaga apatah lagi selepas berada di tempat awam.

Individu dari semua peringkat umur berisiko untuk dijangkiti oleh nCoV. Suruhanjaya kesihatan Wuhan telah memaklumkan di mana pesakit-pesakit yang telah dijangkiti melibatkan individu berumur 15 hingga 88 tahun. Malah, individu yang mempunyai imun sistem yang lemah juga berpotensi untuk dijangkiti novel koronavirus.

3. Cara ujian pengesahan

Tiada ujian atau alat yang mudah untuk mengesan virus ini buat masa sekarang. Semua sampel daripada pesakit perlu dihantar ke Makmal Kesihatan Awan Kebangsaan(MKAK) dan Institute Of Medical Research(IMR) untuk membuat ujian.

Sampel akan diambil daripada sapuan tekak, hidung dan darah pesakit.

Kehadiran virus akan dikesan dengan menggunakan teknik Polymerase Chain(PCR) untuk mengesan kehadiran genetik virus di dalam sampel tersebut.

4. Cara pencegahan dan rawatan

Oleh sebab virus ini masih baru lagi, maka tiada lagi vaksin untuk mengelakkan penyakit novel koronavirus ini. Dengan mengelakkan diri daripada terdedah kepada virus ini adalah pencegahan yang terbaik buat masa ini.

Anda juga dikehendaki melakukan aktiviti pencegahan seperti dibawah untuk mengelakkan jangkitan dan penyebaran penyakit melalui udara:

  • Sentiasa membasuh tangan atau gunakan ‘hand sanitizer’ dengan kerap untuk membersihkan tangan.
  • Elakkan daripada menyentuh mata, hidung, atau mulut menggunakan tangan yang kotor.
  • Elakkan berdekatan dengan mereka yang sakit terutamanya batuk dan demam.
  • Elakkan ke tempat awam ketika anda sakit.
  • Tutup mulut dan hidung ketika anda batuk atau bersin dengan menggunakan tisu.
  • Pakai topeng muka ketika ke tempat awam. Pastikan topeng dipakai dengan betul iaitu bahagian putih di dalam, biru di luar.

Dibawah merupakan infografik daripada Kementerian Kesihatan Malaysia tentang langkah-langkah melindungi diri.

5. Cara rawatan

Tiada lagi sebarang ubat seperti ubat antibiotik atau ubat antiviral yang terbukti dapat membunuh virus nCoV ini atau untuk menyembuhkannya.

Hanya rawatan sokongan yang akan diberikan kepada pesakit. Sebagai contoh jika pesakit demam, maka akan diberikan ubat demam, jika pesakit mengalami sesak nafas akan dberikan oksigen.

Sistem imun badan pesakit sendiri akan berusaha untuk melawan penyakit tersebut hingga sembuh. Tetapi malang buat mereka yang mempunyai masalah imun sistem seperti pesakit kanser, pesakit kencing manis, mereka yang berumur atau kanak-kanak, kerana golongan ini lebih mudah menghadapi komplikasi yang boleh menyebabkan kematian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat