Bela atau Hukum? Doktor Gigi Palsu Riak Selepas Dibebaskan


Siapa tak kenal ‘doktor gigi’ yang tengah hangat sekarang di media sosial? Seorang perempuan graduan Kolej Volasional, Nur Farahanis Ezatty Adli?

Apa Dah Jadi? Fakta Kes Nur Farahanis Ezatty Adli

  1. Pada tarikh 29 September, Nur Farahanis telah mengaku bersalah mengusahakan klinik pergigian tanpa sebarang sijil atau pengajian dalam bidang kedoktoran gigi dan kelayakan untuknya membuka klinik pergigian.
  2. Mengikut Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586), tertuduh telah menjalankan ‘klinik pergigian’ swasta di Bakti Homestay, Jalan Bukit Katil pada 25 Januari yang lalu telah dilaporkan yang tidak didaftar.
  3. Dia yang didakwa melanggar undang-undang berkenaan telah didakwa di bawah subseksyen 4(1) Akta 586 dan boleh dihukum mengikut subperenggan 5(1)(a)(i) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM300,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
  4. Wanita itu kemudiannya dijatuhkan hukuman denda sebanyak 70,000 Ringgit Malaysia bagaimanapun gagal membayar denda tersebut kerana tidak mampu;
  5. Farahanis kemudiannya menjalani hukuman penjara 6 bulan sebagai gantirugi berikutan gagal membayar denda yang telah ditetapkan oleh hakim mahkamah rendah.
  6. Semasa hakim menjatuhkan hukuman, dilaporkan wanita itu menumbuk dinding kerana berang akan hukuman yang dikenakan ke atas beliau.

Pembelaan Yang Membuatkan Netizen Berang

Rata-rata pengguna laman sosial, terutama Facebook hari ini berang dan membangkang tindakan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang membantu doktor gigi palsu dengan alasan yang tidak kuat untuk menolong orang yang teraniaya.

“Farahanis ialah wanita bijak yang membantu rakan-rakannya untuk membetulkan braces (yang dipakai oleh rakan-rakannya) hasil dari apa yang dia (Farahanis) belajar melalui Youtube. Kami rasa kami perlu menolongnya dan kami percaya ada beberapa sebab lain yang baik untuk membantu dirinya. Saya taknak ulas tentang denda (hukuman) yang dijatuhkan ke atas beliau cuma saya rasa kami patut menolong seseorang yang sedang berusaha untuk membebaskan diri dari kemiskinan dan cabaran hidup,” kata Datuk Nadzim Johan seperti memetik laporan News Strait Times.

PPIM dan Team Dragon dikatakan bekerjasama membantu mengumpul RM70,000 untuk membayar denda yang dikenakan kepada tertuduh.

Ini adalah salah sedikit luahan netizen tentang tindakan PPIM yang membela wanita tersebut.

“Shame on you #PPIM. Bela orang yang bersalah. Lepas ni lagi banyak kes FAKE BRACES. Good Job @PPIM. Nama je Persatuan Pengguna Islam Malaysia Tapi tak tahu beza HALAL dan HARAM dalam ISLAM,” – Rezai’e Azlan Mulliadi, Facebook.

 

“Ingat kami ni para dentist sengaja nak dengki-dengki ke? Fikir dululah nyawa. Nk kena AIDS, HIV, HEPATITIS silakan. Tahu tak instrument yang doktor-doktor YouTube ni pakai tak disteril pun! Hah eloklah. Kali ni PPIM pula tolong kutip derma lepaskan malaun ni. Where is your integrity? #PPIM, siasat dulu. Fahamkan dulu. Jangan sampai penipu dan penganiaya orang ni dibela buta-buta!” – Nur Alwani Abd Aziz, Facebook

Ini pula luahan seorang doktor gigi Iqbal Rosli di laman Facebooknya.

Hari paling menyedihkan sepanjang aku jadi doktor gigi. Orang yang menipu dalam perkhidmatan pergigian, dibantu untuk dibebaskan oleh persatuan yang sepatutnya membela pengguna. MEMALUKAN. Macam mana penipu ini boleh dibantu bayarkan denda? Kenapa tak bantu orang-orang yang ditipu oleh budak ni? Tak habis-habis kau nak kata kami kejar KPI.

Budak ni buat salah, kau reti bahasa ke tidak? Belajar pasang braces ikut YouTube? Kau gila? Lepas tu caj bukan main mahal. Sesuka hati buka klinik gigi tak ada lesen.Kau ingat kitorang ni tunggul ke apa? Belajar macam nak mati umur 24 baru jadi doktor gigi, tapi budak ni umur 20 dah ada klinik gigi?

Kau ingat keluarga dia saja yang miskin? Duit 70 ribu tu boleh bantu orang lainlah weh. Persatuan pengguna apa benda kalau bantu PENIPU? Kesian mangsa yang kena tipu dengan budak ni. Kesian doktor gigi kena maki. Kesian 70 ribu boleh disalurkan untuk rawatan kanser. Kesian persatuan pengguna dah terpesong hala tuju. Kesian geng bikers kena kelentong.


Implikasi Kesihatan Yang Merbahaya Tentang Doktor Gigi Palsu!

Halaman Facebook Public Health Malaysia menyiarkan satu kenyataan mengenai bahaya komplikasi memakai pendakap gigi palsu.

  1. Gigi merupakan satu struktur tubuh yang tiada galang ganti. Letaklah gantian gigi emas berlian sekalipun pasti tidak sama dengan gigi asal. Antara komplikasi Fake Braces yang biasa dilihat adalah gigi yang ‘terlajak tarik’sehingga menyebabkan akar gigi terdedah dan gigi longgar.
  2. Selain itu, gusi yang bengkak dan berdarah lebih mudah dijangkiti kuman. Kuman ini berisiko untuk masuk ke saluran darah dan menjelajah ke seluruh tubuh badan. Jika kuman tersebut terenap di injap jantung, struktur injap jantung boleh rosak dan menyebabkan sejenis penyakit injap jantung yang dikenali sebagai Infective Endocartis.
  3. Struktur injap jantung yang rosak mudah pecah dan serpihan tersebut akan dibawa ke otak lalu menyebabkan STROKE atau KEMATIAN.

Kementerian Kesihatan juga telah mengeluarkan kenyataan tentang bahaya doktor gigi ‘black market’ ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang diambil daripad Sin Chew Daily berkata, kerajaan memandang serius masalah itu kerana semakin ramai pesakit yang mendapat perkhidmatan doktor gigi palsu ini perlu melakukan rawatan lain kerana telah menyebabkan mereka mengalami kesan dan komplikasi serius.

Antara rawatan perkhidmatan haram yang tidak akan dibenarkan tanpa kelulusan adalah mencabut gigi, membuat gigi palsu, ortodontik, penskaleran dan penggilapan gigi (cuci gigi) dan “whitening strips”.

Beliau berkata, pesakit boleh mengalami ‘high-risk’ kesakitan dan jangkitan seperti ulser mulut, gigi longgar atau rosak, gusi bengkak dan bernanah, selain berisiko dijangkiti AIDS dan Hepatitis.


Riak selepas dibebaskan! Apa Pendapat Pembaca?

Riak, tidak tahu malu dan berlagak! Itulah kecaman yang diterima oleh Nur Farahanis susulan tularnya rakaman video gadis berusia 20 tahun itu yang menjadi topik hangat di media sosial.

Ini adalah salah sedikit apa yang diperkatakannya di dalam video itu.

“Jadi terima kasih pada yang sentiasa support, yang cuba menjatuhkan pun terima kasih sebab tanpa awak semua tanpa yang support, tanpa yang menjatuhkan, saya tidak akan kat di sini hari ini. Saya tidak akan berjaya”

“Dan, terima kasih dan terima kasih kepada semua-semua yang terlibat, kepada semua yang menjatuhkan tu terima kasih kerana membuatkan saya yang lebih dikenali.

Dan yang bertambah kaya dan berjaya. Alhamdullilah syukur, berkat doa mak bapak saya, yang sentiasa support saya. Tanpa awak semua saya tiada kat sini, terima kasih,”katanya dalam video yang tular itu.


Hukum atau Bela?

Berikut kenyataan Ketua Unit Pergigian Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Malaysia (I-Medik),  Dr Nabilah Mohd Yaakob mengenai isu ‘fake brace’ atau pendakap palsu gigi, yang mana pesalah telah dijamin oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Berikutan kes wanita tersebut yang dilepaskan dari penjara 6 bulan atas bantuan NGO seperti PPIM, PPEM dan orang awam, pihak I-Medik merasakan ianya bukanlah tindakan wajar untuk membiarkan pesalah laku ini bebas dan diberi peluang kedua. Malahan kita bimbang sekiranya perkara ini berulang lagi, pesalah laku sudah lali dengan hukuman yang dikenakan undang-undang, hanya kerana mendapat sokongan belakang orang ramai.

Nota daripada penulis:

Ada sebab kenapa mahkamah menjatuhkan hukuman yang tinggi kepada yang tertuduh. Rawatan gigi atau mana-mana rawatan kesihatan wajib untuk mempunyai kelulusan kerana ia boleh melibatkan nyawa orang ramai. Mungkin dalam kes Nur Farahanis Ezatty Adli ini bernasib baik tidak ada apa-apa implikasi yang telah berlaku kepada pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan daripadanya. Sepatutnya wanita ini belajar dari kesilapannya, bukanlah riak dengan kesalahan yang telah dibuatnya.

Masyarakat perlu diberi kesedaran akan kepentingan mendapatkan rawatan profesional berbanding rawatan yang indah khabar dari rupa. Biar mahal, asal selamat.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat