“Kami Tidak Akan Berkompromi Dengan Mana-Mana Pihak Yang Cuba Untuk Burukkan Reputasi Universiti” – Naib Canselor Akan Ambil Tindakan Mengenai Isu Pensyarah Hina Pelajar B40


Berikutan insiden mengenai pensyarah hina pelajar B40 yang kini berlegar di media sosial, pihak UiTM dikhabarkan bakal  mengambil tindakan sewajarnya terhadap pensyarah tersebut.

Video yang tular sejak tengah malam tadi membuatkan netizen berang dengan sikap tenaga pengajar berpangkat doktor yang dilihat tidak sensitif dengan keadaan pelajar yang kurang berkemampuan.

Walaupun niat pensyarah tersebut memarahi pelajar adalah untuk memastikan setiap pelajar dapat mengikuti pembelajaran dengan lebih berkesan, rata-rata netizen tidak bersetuju dengan ungkapan pensyarah tersebut yang kasar dan merendahkan golongan kurang berkemampuan.

“Kau cakap dengan kakak kau, kalau dia ada gelang emas… pergi jual gelang emas tu pergi beli komputer..”

“Pasal itu aku tak boleh duduk dengan orang B40, dia lebih memikirkan pasal lain daripada pelajaran.”

Demikianlah beberapa ungkapan dari pensyarah yang kini tular di kebanyakan media sosial.

UiTM Keluarkan Kenyataan Media

Bagi menjawab isu yang sedang hangat diperkatakan di kalangan netizen ini, pihak UiTM telah mengeluarkan kenyataan media kepada umum.

Menerusi kenyataan tersebut, pihak universiti difahamkan sedang menyiasat isu ini dan bakal mengambil tindakan terhadap pensyarah terbabit.

Mengulas lanjut, Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Ts Dr Haja Roziah Mohd Janor berkata bahawa pihak universiti tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba untuk burukkan reputasi universiti.

Pensyarah Hina Pelajar B40

Pensyarah Hina Pelajar B40 Cerita Lama ?

Menerusi sebuah video yang dimuatnaik di UiTM Channel, Naib Canselor juga berpendapat mungkin ada ‘perancangan’ di sebalik isu tular ini.

Ia berikutan dengan maklumat terkini mengenai insiden tersebut yang difahamkan berlaku pada semester lepas, bukan baru-baru ini seperti yang dianggap orang ramai.

Naib Canselor turut menegaskan bahawa UiTM amat mengutamakan kebajikan seluruh warganya, khususnya pelajar bagi mendapatkan perkhidmatan yang terbaik demi persekitaran pendidikan yang kondusif.

Dalam kenyataan rasmi tersebut, Naib Canselor sempat menyeru kepada para pelajar yang berhadapan dengan sebarang masalah untuk menghubungi pihak fakulti dan universiti untuk mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan sewajarnya.

Sama-sama kita nantikan perkembangan terbaru tentang isu ini dan semoga perkara ini dapat diselesaikan sebaiknya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat