4 Kelebihan Berpuasa Pada Bulan Sya’ban Beserta Dalil
Kedatangan bulan Sya’ban amat dinanti-nantikan oleh umat Islam kerana bulan Sya’ban merupakan bulan yang mulia, bulan untuk beribadah dan fasa untuk umat Islam memperbaiki diri sebelum memasuki bulan Ramadhan. Bulan Sya’ban merupakan bulan yang terletak di tengah-tengah antara dua bulan yang penuh keberkatan iaitu, bulan Rejab yang telah disaksikan peristiwa Isra’ kepada Nabi Muhammad SAW dan baginda dimikrajkan Allah SWT. Manakala bulan Ramadhan pula merupakan bulan yang mewajibkan seluruh umat Islam di seluruh dunia untuk berpuasa selama sebulan.
Bulan Sya’ban penuh kemuliaan dan keberkatan serta merupakan satu daripada empat bulan yang dinyatakan Allah SWT sebagai bulan yang dihormati sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus”.
(Surah at-Taubah : 36)
Ahli tafsir menafsirkan bahawa empat bulan yang dimaksudkan dalam kalimah (arba’ata Hurum) ialah bulan Rejab, Sya’ban, Ramadhan dan Muharam. Imam at-Thabrani ada meriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. apabila tiba bulan Rejab, bulan tersebut telah didoakan oleh baginda Rasulullah SAW supaya diberkati bulan Rejab dan bulan Sya’ban serta Ramadhan berikutnya. Doa baginda yang bermaksud:
“Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan Ramadhan ”.
Apakah kelebihan berpuasa pada bulan Sya’ban?
Jika disebut tentang kelebihan berpuasa pada bulan Sya’ban, ternyata banyak dalil yang menunjukkan galakan berpuasa pada bulan Sya’ban termasuk amalan Rasulullah SAW. Antaranya:
Pertama: Daripada Abu Salamah RA berkata, aku bertanya kepada Aisyah R.Anha tentang puasanya Nabi SAW. Lantas beliau menjawab:
كانَ يَصومُ حتَّى نَقولَ قَد صامَ ويُفطِرُ حتَّى نَقولَ قد أفطَرَ ولم أرَهُ صامَ مِن شَهْرٍ قطُّ أَكْثرَ مِن صيامِهِ من شعبانَ كانَ يَصومُ شَعبانَ كُلَّهُ كانَ يَصومُ شعبانَ إلَّا قَليلًا
Maksudnya: “Beliau biasanya berpuasa sampai kami mengatakan sungguh telah berpuasa (terus). Dan beliau berbuka sampai kami mengatakan sungguh beliau telah berbuka. Dan aku tidak melihat beliau berpuasa yang lebih banyak dibandingkan pada bulan Sya’ban. Biasanya beliau berpuasa pada bulan Sya’ban semuanya, dan biasanya beliau berpuasa pada bulan sya’ban kecuali sedikit.”
[Riwayat Muslim (1156)]
Kedua: ‘Aisyah RAnha memberitahu Abu Salamah:
لَمْ يَكُنْ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ شَهْرًا أَكْثَرَ مِنْ شَعْبَانَ فَإِنَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ
“Nabi SAW tidak pernah berpuasa pada suatu bulan yang lebih banyak dari bulan Sya’ban. Beliau berpuasa pada bulan Sya’ban seluruhnya.”
[Riwayat al-Bukhari (1834)]
Dalam memahami hadis ini, terdapat beberapa perbezaan pendapat dikalangan para ulama. Sebahagian daripada mereka menyatakan kadangkala Rasulullah SAW berpuasa penuh, dan adakalanya Rasulullah SAW berpuasa pada sebahagian besar dari keseluruhan bulan Sya’ban. Manakala sebahagian lagi berpendapat menyatakan bahawa Rasulullah SAW hanya berpuasa sebahagian besar dari bulan Sya’ban dan tidak pernah berpuasa untuk keseluruhan bulan Sya’ban.
Dari perbezaan pendapat yang timbul ini, al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah menguatkan pendapat yang menyatakan bahawa Rasulullah hanya berpuasa pada sebahagian besar dari keseluruhan bulan Sya’ban dan bukan keseluruhan dari bulan Sya’ban. Beliau menukilkan perkataan Imam Ibn al-Mubarak:
جائر في كلام العرب إذا صام أكثر الشهر أن يقول صام الشهر كله ويقال قام فلان ليلته أجمع ولعله قد تعشى واشتغل ببعض أمره
“Menurut konteks bahasa Arab, apabila seseorang berpuasa pada sebahagian besar dari sesuatu bulan maka boleh dikatakan dia berpuasa sebulan penuh. Dikatakan si fulan solat sepanjang malam padahal ada kemungkinan dia masih makan malam serta sibuk dengan urusan lain.”
Ini dikuatkan lagi dengan hadis-hadis yang lain sebagaimana disebutkan di atas daripada ‘Aisyah yang mafhumnya,
“Aku tidak pernah mengetahui Rasulullah SAW berpuasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan.”
[Hadis Riwayat al-Bukhari (1833)]
Juga berdasarkan kefahaman yang dapat diambil daripada sabda Rasulullah SAW:
لَا يَتَقَدَّمَنَّ أَحَدُكُمْ رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ أَوْ يَوْمَيْنِ إِلَّا أَنْ يَكُونَ رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمَهُ فَلْيَصُمْ ذَلِكَ الْيَوْمَ
Maksudnya:“Jangan salah seorang di antara kamu mendahului puasa Ramadhan dengan puasa sehari atau dua hari sebelumnya melainkan bagi orang yang sudah biasa berpuasa pada hari tersebut, maka bolehlah dia berpuasa pada hari tersebut.”
[Riwayat al-Bukhari (1781)]
Maka, apa yang dapat difahami di sini adalah kita disunnahkan supaya memperlebihkan lagi puasa sunnah di dalam bulan Sya’ban berbanding bulan-bulan selainnya. Tetapi tidak dianjurkan untuk berpuasa sebulan penuh sebagaimana pendapat yang lebih tepat.
Ketiga: Daripada A’isyah R.Anha, beliau mengatakan,
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ: لاَ يُفْطِرُ، وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ: لاَ يَصُومُ، فَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ إِلَّا رَمَضَانَ، وَمَا رَأَيْتُهُ أَكْثَرَ صِيَامًا مِنْهُ فِي شَعْبَانَ
Maksudnya: “Terkadang Nabi SAW puasa beberapa hari sampai kami katakan: Beliau tidak pernah tidak puasa, dan terkadang beliau tidak puasa terus, hingga kami katakan: Beliau tidak melakukan puasa. Dan saya tidak pernah melihat Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam berpuasa sebulan penuh kecuali di bulan Ramadhan, saya juga tidak melihat beliau berpuasa yang lebih sering ketika di bulan Sya’ban.
[Riwayat Bukhari (1969) dan Muslim (1156)]
Antara sebab Rasulullah SAW berpuasa pada bulan Sya’ban pada kebanyakkan harinya telah dinyatakan sendiri oleh Baginda SAW.
شعبانُ بين رجبَ ورمضانَ يغفلُ الناسُ عنه تُرفعُ فيه أعمالُ العبادِ فأُحِبُّ أن لَا يَرْفَع عَمَلِي إَلَّا وأنَا صَائِمٌ
Maksudnya: Bulan Sya’ban, ada di antara bulan Rajab dan Ramadhan, banyak manusia yang melalaikannya. Saat itu amal manusia diangkat, maka aku suka jika amalku diangkat ketika aku sedang puasa.
[Riwayat An-Nasai, 1/322 dalam kitab Al-Amali. Hadith Hasan]
Keempat: ‘Usamah Ibn Zaid pernah bertanya kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa pada suatu bulan sebagaimana engkau berpuasa pada bulan Sya’ban?” Rasulullah menjawab:
ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ
Maksudnya:“Sya’ban adalah bulan yang terletak di antara Rejab dan Ramadhan yang sering dilupakan oleh manusia. Ia adalah bulan yang di dalamnya amal-amal perbuatan akan diangkat ke sisi Tuhan semesta alam. Maka aku lebih suka apabila amalku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa.”
[Riwayat al-Nasa’i (2357)]
Secara keseluruhannya, umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan lagi amalan-amalan sunnah khususnya berpuasa pada bulan Sya’ban. Di samping mempertingkatkan amalan sunnah yang lain, seperti bersedekah dan sebagainya, galakkan dan anjuran berpuasa daripada Rasulullah SAW perlu dijadikan pedoman dan panduan dalam kehidupan kita agar kehidupan kita mendapat keberkatan daripada Allah SWT. Wallahua’lam.
Sumber rujukan: muftiwp.gov.my