Pupusnya Harimau Di Malaysia



HARIMAU sering diangkat sebagai lambang kekuatan dan keberanian. Justeru, tidak hairanlah mengapa gambar harimau digunakan sebagai Jata Negara bahkan beberapa syarikat korporat di negara ini.

Haiwan yang menjadi kebanggaan negara ini turut diangkat oleh pasukan bola sepak kebangsaan dengan menggelar diri mereka sebagai Harimau Malaya.

Insiden seekor Harimau Malaya atau nama saintifiknya, Panthera tigris jacksoni dewasa dirempuh oleh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) di Kerteh, Terengganu baru-baru ini membuka mata banyak pihak berhubung survival mamalia tersebut.

Pemburu haram, penerokaan hutan, permintaan sebagai hidangan eksotik dan perubatan tradisional menyebabkan mamalia itu berdepan dengan pelbagai bentuk penganiayaan dan kekejaman manusia.

download

 

Rakus

 

Lebih menyedihkan, Dana Perlindungan Haiwan (WWF-Malaysia) mendedahkan, kajian yang dijalankan di tiga kawasan teras harimau di Semenanjung Malaysia hanya tinggal antara 250 hingga 340 ekor Harimau Malaya.

“Aktiviti pemburuan haram yang berleluasa melambangkan sikap tamak dan rakus terhadap haiwan ini amat membimbangkan,” kata Pengarah Eksekutif WWF-Malaysia, Datuk Dr. Dionysius Sharma.

Beliau ketika dihubungi menjelaskan, di Malaysia, kira-kira 50 peratus hutan adalah kawasan hutan simpan dan tempat yang sesuai untuk spesies harimau ini membiak. Jika aktiviti pemburuan haram tidak terkawal walaupun wujud undang-undang sedia ada, populasi harimau ini akan menurun.

Pada masa sama, penurunan mendadak populasi haiwan pemangsa seperti rusa juga menyumbang kepada masalah ini.

“Hal ini berlaku kerana kebanyakan mereka yang mendapat dan memiliki lesen serta permit untuk memburu terlalu rakus memburu haiwan pemangsa harimau ini.

“Jadi, jika populasi pemangsa semakin berkurangan, maka harimau secara relatifnya akan bertindak balas terhadap sumber makanan mereka,” jelas Sharma.

Misalnya, kebiasaannya harimau akan makan rusa dan boleh bertahan antara dua hingga tiga hari, namun jika sumber tersebut berkurangan dan sukar untuk didapati, akhirnya harimau ini hanya bergantung kepada haiwan-haiwan pemangsa lain yang lebih kecil.

Secara tidak langsung, tenaga dan sumber makanan hariannya juga terhad.

“Di hutan tidak sama dengan zoo atau pusat-pusat konservasi kerana makanan disediakan setiap hari. Di hutan, mereka perlu menangkap dan mencari pemangsa sendiri,” jelasnya.

Dionysius menjelaskan, kerancakan pembangunan negara selari dengan misi Malaysia menyandang status negara maju menjelang tahun 2020 turut mewujudkan tekanan ke atas sumber semula jadi terutamanya hutan.

 

download (1)

 

Hilang habitat

Kerancakan pembinaan infrastruktur seperti jalan raya serta bangunan-bangunan baharu menyumbang kepada berlakunya gangguan terhadap ekosistem dan ekologi habitat haiwan liar ini secara tidak langsung.

Tambah Dionysius, aktiviti pembalakan hutan secara berleluasa turut menyumbang kepada berlakunya kemerosotan populasi mamalia ini. “Kebiasaannya pihak-pihak yang melakukan pembalakan secara berleluasa ini tidak menutup semula hutan tersebut. Impaknya, hutan yang menjadi tempat perlindungan mereka terdedah kepada kehilangan habitat asal.

“Keadaan ini menyebabkan haiwan-haiwan liar ini terpaksa keluar ke jalan-jalan utama dan merayap untuk mencari makanan di kawasan-kawasan baharu yang boleh didiami,” katanya.

Pada masa kini, Malaysia sudah mempunyai satu pelan induk yang dirangka melibatkan pihak kerajaan iaitu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama pihak WWF-Malaysia untuk tujuan rangkaian ekologi dan penambahbaikan ekosistem semula jadi.

Menerusinya, pihak terbabit telah berjaya mengenal pasti 37 kawasan spot hutan yang menjadi kawasan utama terutama Harimau Malaya di seluruh Semenanjung Malaysia selain menggariskan langkah-langkah untuk memulihara dan meningkatkan fungsi hutan tersebut.

Menurut Ketua Pengarah, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abd. Rasid Samsudin berkata, pihaknya bersama WWF-Malaysia sentiasa melakukan pelbagai inisiatif bagi memastikan kelangsungan habitat hidupan liar ini sentiasa terpelihara.

Permit

PEMBALAKAN berleluasa antara faktor yang menyebabkan habitat terganggu.


“Pelbagai inisiatif pemuliharaan telah dijalankan seperti mewartakan beberapa kawasan sebagai hutan simpan kekal. Pembinaan jejambat dan laluan khas bagi sambungan hutan untuk lintasan hidupan liar ini juga sebagai salah satu inisiatif.

“Beberapa kawasan hutan dan koridor lain tidak begitu bernasib baik kerana kerancakan pembangunan atau penubuhan ladang-ladang baharu. Walau bagaimanapun, jika koridor tertentu tidak sesuai untuk lintasan hidupan liar, hubungan alternatif perlu dikenal pasti dan dipulihara. Ia bertujuan untuk faedah jangka masa panjang hidupan liar dan sumber hutan yang membekalkan air, udara segar dan perkhidmatan ekosistem lain seperti pencegahan banjir.

“Langkah-langkah lain seperti papan tanda amaran dan penanda tahap kelajuan di lokasi-lokasi strategik dan jalan-jalan atau lebuh raya utama juga menyumbang kepada insiden kemalangan hidupan liar.

“Dalam pada itu, WWF-Malaysia menasihatkan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi had laju dan peka dengan persekitaran apabila memandu di lebuh raya terutama di kawasan hutan,” jelasnya.

Pada masa sama, WWF-Malaysia serta pihak kerajaan pusat menyeru semua kerajaan negeri supaya mematuhi pelan induk bagi memastikan kelangsungan dan kejayaan rangkaian ekologi yang dibangunkan.

Langkah-langkah dan tindakan segera perlu diambil bagi mengatasi permasalahan ini.

Strategi dalam meningkatkan aspek penguatkuasaan amat dititikberatkan dengan cara berhenti mengeluarkan permit kepada individu-individu atau pihak terbabit untuk memburu haiwan-haiwan pemangsa yang menjadi sumber makanan utama harimau tersebut.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pelin­dung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, langkah-langkah bijak perlu diambil bagi memastikan sistem ekologi dan ekosistem semula jadi dapat dilindungi dan dikekalkan untuk kepentingan semua pihak.

“Orang ramai disaran untuk membuat panggilan secara terus kepada Wildlife Crime Hotline di talian 019-356 4194 jika ada sebarang aduan atau maklumat berkaitan pemburuan haiwan liar terutama harimau secara haram.

“Pada masa sama, agensi-agensi kerajaan terutamanya pihak polis dan askar harus sentiasa meningkatkan penglibatan dalam pemantauan dan penguatkuasaan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

“Pendidikan dan penyelidikan berterusan berkaitan harimau dari segi pembangunan ekologi dan biologi serta berkaitan isu sosial perlu diteruskan dan diperkemaskan dari semasa ke masa,” jelasnya.

Sementara itu, Perikatan Konservasi Harimau Malaysia dalam kenyataan akhbarnya menyeru rakyat negara ini supaya bangkit menentang eksploitasi hidupan liar dan hutan serta melaporkan jenayah hidupan liar. Pada masa sama, pertubuhan itu juga mengajak orang awam meluangkan masa dan tenaga sebagai sukarelawan untuk program-program pemuliharaan.

“Menyelamat harimau bukan tanggungjawab sebahagian agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan saja,” menurut kenyataan akhbar tersebut.

Sementara itu, menurut jurucakap Zoo Negara, jumlah Harimau Malaya yang masih hidup di institusi itu hanyalah sembilan ekor. “Kepupusan harimau menyebabkan proses pembiakannya sukar dijalankan, apatah lagi jangka hayatnya hanya antara 15 hingga 20 tahun,” katanya ketika dihubungi.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat