Dulu Produk Minyak Wanginya Pernah Dicampak, Kini Yusuf Taiyoob Digelar Raja Kurma
Terdapat banyak perkara yang menandakan tibanya bulan Ramadhan. Antaranya ialah berlegarnya iklan popular Yusuf Taiyoob di kaca TV dan corong-corong radio.
Jenama Yusuf Taiyoob sudah tidak perlu diperkenalkan lagi di Malaysia. Ia boleh dikatakan antara jenama kurma paling laris pada setiap bulan Ramadhan.
Namun, sudahkah anda mengenali orang penting di sebalik kurma berbisik ini ? Kalau nak tahu dengan lebih lanjut, teruskan membaca !
Datuk Seri Yusuf Taiyoob Diuji Dengan Pelbagai Cabaran Sebelum Berjaya
Usahawan kelahiran Pulau Pinang ini sebenarnya sudah mula berkecimpung dalam bidang perniagaan sejak tahun 1979.
Datuk Seri Yusuf Taiyoob yang kini berusia 62 tahun takkan pernah lupakan cabaran dan dugaan sebelum mencapai tahap sekarang. Beliau masih ingat produknya pernah dicampak dan pernah dihalau ketika ingin mempromosikan minyak wangi adunan sendiri di Kuala Lumpur.
Sejurus tamat pengajian, beliau mula menjual minyak wangi keluaran jenamanya sendiri, Yusuf Cosmetics untuk dijual kepada pelancong di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
Pelbagai masalah melanda sehingga perniagaannya lingkup selepas dua tahun. Ini menyebabkan beliau mengalami tekanan yang teruk sehingga kesihatannya terjejas.
Namun, kegagalan pertama bukanlah pengakhiran buat Datuk Seri Yusuf Taiyoob. Beliau bangkit sekali lagi dengan memulakan bisnes baru.
Kali ini, beliau memilih untuk menjual rempah ratus dan kekacang. Disebabkan kekangan modal ketika itu, beliau terpaksa menumpang berniaga di kedai milik datuknya di Georgetown, Pulau Pinang.
Perniagaan kedua juga dilihat tidak begitu rancak pada mulanya. Ada juga beberapa ketika beliau tidak berjaya menjual langsung produk sehingga terpaksa merayu kepada pelanggan untuk membeli.
Tanpa mengenal erti putus asa, Datuk Seri Yusuf Taiyoob tetap teruskan berniaga. Lama-kelamaan bisnes beliau mula dikenali dan semakin mendapat kepercayaan pelanggan.
Dari situ, beliau pun mula bangunkan syarikat dengan nama sendiri, Yusuf Taiyoob Sdn Bhd pada tahun 1988. Kilangnya yang gah berdiri di Bukit Minyak, Seberang Perai, Pulau Pinang boleh menempatkan produk sebanyak 7,000 tan metrik dalam satu-satu masa !
Setelah hampir 3 dekad membangunkan jenama Yusuf Taiyoob, kini kurma berbisik ini berjaya dijual sebanyak 4,000 tan setiap tahun ! Pelanggannya pula tidak terhad dalam Malaysia sahaja, malah jenama ini turut mendapat permintaan luar negara seperti Thailand, Indonesia, Singapura dan Brunei.
Selain jenis kurma yang popular seperti Safiya, Waseem dan Safina, Yusuf Taiyoob sebenarnya memasarkan lebih 30 jenis kurma! Kurma-kurma ini dimport khas dari negara Timur Tengah seperti Arab Saudi, Dubai, Mesir, dan Iran.
Ramai orang mungkin menyangka bahawa produk perniagaan beliau hanyalah kurma semata-mata. Sebenarnya, jenama Yusuf Taiyoob turut menjual produk lain seperti kekacang, cuka, buah-buahan kering dan minyak zaitun.
Perniagaan Yusuf Taiyoob juga berjalan sepanjang tahun, bukan hanya pada bulan Ramadhan seperti apa yang orang ramai sangkakan.
Iklan Kurma Berbisik Bawa Tuah !
Iklan Yusuf Taiyoob yang sudah berkumandang di radio sejak lebih 15 tahun ini nyata cukup ikonik dan cukup terkenal di kalangan rakyat Malaysia.
Dalam sebuah temubual bersama The Edge, Datuk Seri Yusuf memberitahu bahawa beliau ingin hasilkan sebuah iklan yang berbeza dan catchy untuk serlahkan produknya.
Beliau juga inginkan iklan tersebut dimainkan ekslusif pada bulan Ramadhan sahaja supaya orang ramai dapat mengingati produk ini pada bulan puasa dan Hari Raya Aidilfitri.
Ternyata iklan kurma berbisik ini berjaya meninggalkan kesan yang mendalam kepada segenap rakyat Malaysia sehingga ke hari ini.
Menerusi iklan yang ikonik ini, produk kurma Yusuf Taiyoob terus menjadi pilihan pengguna tempatan kerana kualiti serta harganya yang berpatutan. Kini produk kurmanya sudah menjadi makanan wajib setiap kali Ramadhan menjelma.
Kesungguhan Datuk Seri Yusuf untuk bangunkan jenamanya sendiri perlu dicontohi. Walaupun perniagaannya pernah gagal teruk, namun beliau bangkit kembali dan kini bergelar Raja Kurma Malaysia membawa jenama yang dikenali ramai !