Tips Mendidik Anak Supaya Cintakan Al-Quran


Al-Quran secara istilahnya membawa maksud kitab suci umat Islam yang di dalamnya berisi pelbagai firman-firman Allah SWT yang diturunkan kepada Rasulullah SAW oleh malaikat Jibril sebagai mukjizat. al-Quran kekal relevan sepanjang zaman dan sebagai panduan kehidupan setiap orang Islam.

Ibu bapa mana yang tidak mahukan anak-anak mereka menjadi hafiz dan hafizah. Apa yang diperlukan bagi membolehkan anak-anak menjadi hafiz dan hafizah adalah dengan mendidik mereka mendalami al-Quran sejak kecil lagi. Dengan sebab itu, penerapan rasa cinta terhadap al-Quran bermula dari kecil amatlah perlu bagi ibu bapa laksanakan agar terbit rasa ingin menghafal kelak.

Bahkan ianya tidak mustahil untuk mendidik mereka sejak dari kecil lagi kerana mereka ibarat kain putih yang suci bersih, ibu bapalah yang mencorakkan mereka ke arah kebaikan. Bermula daripada awal, ibu bapa dapat menanamkan rasa cinta yang menggebu di dalam hati sanubari anak-anak terhadap al-Quran dengan melakukan beberapa tip.

Tambahan lagi, daya ingatan mereka juga amat tajam dan pastinya akan membantu proses penghafalan mereka kelak. Bukan setakat anak-anak dapat menghafal, kita sebagai ibu bapa ni juga dapat manfaat yang banyak daripada bacaan surah-surah dari al-Quran.

Cuma, untuk artikel kali ini, bagaimana kita mahu anak-anak juga mencintai al-Quran kalau diri sendiri tidak menunjukkan contoh terbaik. Lakukan tip berikut untuk mendidik anak-anak mencintai al-Quran.

1. Ibu dan ayah mesti rajin mengaji

Sebagai permulaan, ibu dan ayah perlulah menerapkan nilai kerajinan dalam diri secara konsisten untuk mengaji al-Quran di rumah. Jika sering dilakukan di hadapan anak-anak, insya Allah pintu hati mereka akan terbuka untuk mengikuti jejak langkah ibu bapa yang selalu bersama al-Quran.

Untuk praktikalnya, mungkin ibu bapa boleh cuba untuk mengaji pada setiap hari selepas solat maghrib berjemaah atau bersendirian, maka anak-anak kecil terutamanya akan teruja untuk ikut serta sekali bersama.

2. Dedahkan anak melihat video surah-surah al-Quran

Anak-anak kecil kini majoritinya sangat teruja menonton video siri kartun yang pelbagai yang boleh didapati secara atas talian dengan mudah. Alangkah baiknya jika ibu bapa boleh cuba terapkan pada awalnya untuk mereka dengan memperdengarkan alunan zikir-zikir kalamullah iaitu ayat suci al-Quran melalui tontonan video-video bacaan sheikh tempatan mahupun luar negara seperti bacaan oleh Qari Malaysia, Dr Anuar Hasin atau Sheikh Mishary Rashid Alafasy di Youtube.

Sedari untuk sekian lamanya nanti mereka akan suka mendengar alunan ayat suci Quran apabila sudah terbiasa diperdengarkan, baik di rumah mahupun di radio kereta. Sekarang zaman canggih, ibu bapa boleh sahaja memuat turun secara atas talian ataupun boleh juga dapatkan CD ayat suci al-Quran di kedai berhampiran.

3. Perdengarkan bacaan ayat al-Quran

Sentiasa membacakan surah-surah ayat lazim seperti Al-Fatihah, An-Naas, Al-Falaq dan Al-Ikhlas pada bila-bila masa sahaja kepada anak terutama semasa dia sedang bermain, makan dan berehat.

Apabila sentiasa diperdengarkan bacaan surah-surah tersebut, lama-kelamaan anak akan menghafalnya dan turut sama membacanya kelak.

4. Ceritakan kisah-kisah dari al-Quran

Kini, sangat mudah dan pantas sekali untuk ibu bapa boleh dapatkan bahan bacaan berunsurkan kisah-kisah dari al-Quran kerana terdapat pelbagai terbitan di pasaran.

Kisah-kisah daripada al-Quran dan Hadis seperti perjuangan nabi-nabi dan iktibar daripadanya banyak dijual. Laras bahasa yang digunakan juga mudah-mudah dan senang difahami kerana grafik dan susunan dalaman buku yang penuh dengan karakter, berwarna-warni membuatkan kanak-kanak teruja untuk membelek serta membacanya.

Bagi ibu bapa pula, mereka boleh membacakan untuk anak-anak dalam pelbagai cara nada tarikan agar anak-anak lebih seronok mendengarnya bersama sambil belajar.

Percayalah yang anak-anak anda akan lebih mencintai al-Quran apabila mereka tahu makna dan kisah dalam kitab suci tersebut itu sendiri.

5. Belikan al-Quran khas untuknya

Sebagai pembakar semangat, tak salah ibu bapa laburkan sedikit wang anda dengan membelikan al-Quran khas untuk anak anda. Baik di kedai-kedai buku mahupun jualan atas talian, kini mudah untuk didapati kerana semakin banyak al-Quran dicetak. Tambahan pula di dalamnya terdapat hukum tajwid yang didatangkan bersama warna yang membezakan untuk kelancaran para pembaca. Tapi harus ingat, tidak semua cetakan adalah berdaftar dan perlu mendapatkan kelulusan di bawah Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ).

Dengan harapan, biar ia menjadi semangat kepadanya untuk rajin membaca al-Quran dan seterusnya untuk masa hadapan mereka dapat mentadabbur dan mentazakkur ayat suci al-Quran menggunakan al-Quran yang dihadiahkan.

6. Ajar baca surah sebelum tidur

Sebelum tidur ajar anak-anak untuk membaca surah-surah ayat lazim. Beritahu mereka, ia adalah sunnah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW dan sebagai pendinding diri daripada gangguan syaitan.

7. Al-Quran menjadi teman dalam kubur

Beritahu anak, jika kita rajin membaca al-Quran setiap hari maka apabila kita meninggal dunia dan ditanam di dalam kubur nanti, al-Quran akan menjadi teman dan tidak meninggalkan kita keseorangan dalam keadaan apa sekali pun. Ini adalah salah satu mukjizat dan syafaat al-Quran kepada kita yang sentiasa menjaganya.

8. Al-Quran mukjizat terbesar

Jangan lupa memberitahu kepada anak tentang kehebatan al-Quran. Di dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Pada hari Kiamat nanti, di hadapan Allah SWT tidak akan ada syafaat yang mempunyai taraf yang lebih tinggi daripada al-Quran”.

Ibu bapa yang berjaya menerapkan dengan penerapan nilai cintakan al-Quran kepada anak-anak sejak dari kecil adalah ibu bapa yang benar-benar inginkan ‘hadiah’ kelak daripada Allah SWT di syurga. Umum sedia maklum bahawa cabaran membawa ayat suci daripada langit ini bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan seberapa banyak usaha yang kuat untuk merealisasikan dan melahirkan anak-anak yang benar-benar memahami al-Quran dan cintakan ia melalui proses tadabbur dan tazakkur al-Quran. Kesabaran, ketekunan dan perancangan perlu diusahakan untuk mencapai misi mulia ini. Wallahua’lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat