Tak Mustahil Malaysia Turun Salji ! Warganet Gempar Dengan Fenomena Salji Turun di Gunung Kinabalu
Warganet digemparkan dengan fenomena salji turun di Gunung Kinabalu. Menurut laporan akhbar tempatan, salji dilaporkan turun dari Sayat-Sayat hingga ke puncak Gunung Kinabalu.
Fenomena yang berlaku selama tiga minit itu cukup menggemparkan pendaki serta malim yang berada di kawasan tersebut.
Jelas seorang pelatih yang menyaksikan kejadian salji pada pagi ini, Hajiri Sulumin, 47 cukup terkejut dengan kejadian ini. “Ia sememangnya salji seperti kepingan ringan dan bukanlah seperti ketulan ais yang berat”.
Lelaki yang berpengalaman menjadi pelatih selama 11 tahun juga mengulas bahawa kejadian itu bukan pertama kali berlaku sepanjang dia berkhidmat kerana fenomena sama pernah berlaku pada tahun 2018.
Salji Turun di Gunung Kinabalu Bukan Perkara Mustahil
Mengulas tentang fenomena alam yang sedang heboh diperkatakan di media sosial, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah mengulas bahawa kejadian salji turun bukan suatu perkara yang mustahil di kawasan tanah tinggi seperti Gunung Kinabalu.
“Biasanya, hanya fros iaitu lapisan wap ais seakan debu atau ketulan ais sahaja yang terbentuk di Gunung Kinabalu. Kita boleh melihat proses pembekuan sehingga terhasilnya ketulan ais di atas permukaan batu-batu sejuk.
Menurutnya, salji boleh turun apabila suhu udara mencecah kosong darjah Celcius selain terdapat kelembapan udara yang mencukupi.
Tetapi dalam keadaan cuaca tertentu salji boleh tertentu iaitu ketika suhu sejuk di bawah takat beku dan kelembapan mencukupi selain keadaan angin yang agak perlahan di sesuatu kawasan”.
Suhu Rendah Dipercayai Menjadi Punca Salji Turun di Gunung Kinabalu
Sementara itu, Penolong Pengarah Taman Kinabalu Justinus Guntabid berkata, salji didapati turun sekitar kilometer 7 hingga ke puncak gunung.
Seperti negeri lain yang rata-rata turut mengalami penurunan suhu akibat peralihan monsun, kawasan Gunung Kinabalu juga didapati merekodkan suhu yang lebih rendah.
Menurut Justinus, keadaan cuaca yang lebih sejuk berbanding kebiasaannya dipercayai menjadi punca fenomena berkenaan.
“Mengikut rekod suhu dari jam 2.00 pagi hingga 10.00 pagi, suhu dicatakan berada di sekitar 6.9 hingga 12.3 darjah Celsius manakala tahap kelembapan pula ialah 52 hingga 62 peratus.
“Kejadian kali ini sememangnya luar biasa kerana kebiasaannya hanya hujan ais atau pembekuan di sekitar kawasan puncak, apa yang dilihat pagi ini, ia benar-benar salji,” katanya ketika dihubung.
Kejadian menakjubkan ini mendapat reaksi yang berbeza dari warganet. Rata-rata ramai yang kagum dengan fenomena ini.
Tak kurang juga ada yang mencemburui pendaki-pendaki bertuah yang dapat menyaksikan fenomena alam yang sangat asing di negara iklim Khatulistiwa ini.
Mengikut rekod cuaca tempatan, salji pernah dilaporkan muncul di puncak Gunung Kinabalu pada tahun 1975 dan 1993.
Ini sekaligus menjadikan Gunung Kinabalu sebagai satu-satunya tempat yang bersalji di Malaysia. Disebabkan faktor cuaca, adalah mustahil bagi tempat-tempat lain di Malaysia untuk turun salji.