Sambal Nyet Kini Berusia Setahun ! Khairul Aming Kongsi Kejayaan Jualan Sambal Nyet Mencecah Jutaan Ringgit Sepanjang Satu Tahun Pertama


Sedar tak sedar, sudah setahun berlalu sejak jenama sambal terkemuka oleh Khairul Aming, Sambal Nyet Berapi diperkenalkan kepada semua.

Berkongsi berita gembira kepada jutaan pengikutnya di Instagram dan Twitter, Khairul Aming menzahirkan rasa syukur di atas pencapaian produk sulungnya yang berjaya mencecah jualan sebanyak 540,000 botol sekaligus mencatatkan hasil jualan bernilai RM 7.5 juta.

 Influencer yang sangat terkenal dengan video masakan ini juga memaklumkan bahawa setakat ini beliau masih menumpukan jualan Sambal Nyet menerusi laman membeli belah Shopee di bawah nama Khairul Aming Brand sahaja.

Beliau juga teruja menerima 212,000 maklumbalas positif daripada pelanggan. Menurut Khairul, pengguna Shopee yang pernah mencuba sambal ini rata-rata memberikan 97% rating 5 bintang.

sambal nyet mendapat sambutan cukup hangat dari warganet

Khairul Aming Perkenalkan Kilang Sambal Nyet

Sempena sambutan 1 tahun Sambal Nyet dilancarkan, Khairul juga teruja untuk berkongsi kilang pembuatan Sambal Nyet yang menjadi kebanggaannya. Berkeluasan 14,000 kaki persegi, kilang Sambal Nyet bertempat di Kota Bharu, Kelantan iaitu tempat kelahiran Khairul Aming sendiri.

Bermula dari bawah, Khairul akui ia bukanlah satu proses yang mudah untuk membangunkan kilang ini.

Untuk memastikan operasi pembuatan Sambal Nyet berjalan dengan baik, beliau sendiri telah merancang pembangunan kilang dari pengubahsuaian sehinggalah ke urusan pembelian mesin  yang ditempah khas dari luar negara.

“Saya mengambil kesempatan membuka kilang ini untuk belajar proses pembuatan produk dari awal hingga akhir’,” ulas Khairul yang sudah melabur RM 1 juta bagi pembangunan kilang pertamanya.

“Kilang ini masih belum 100% siap. Sentuhan akhir seperti pemasangan wayar dan mengecat sedang dijalankan.

Kilang Sambal Nyet juga meletakkan sasaran untuk peroleh Sijil Halal dan MeSTi pada tahun ini”, ulas Khairul yang dikhabarkan bakal melancarkan produk kedua tidak lama lagi.

sambal nyet dihasilkan di kilang yang bertapak di kota bharu

Khairul juga sempat berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas sokongan luarbiasa terhadap sambal keluarannya ini.

“Sepanjang setahun ini banyak perkara yang telah kami pelajari . InsyaAllah kami akan gunakan pengalaman yang dilalui untuk menjadi lebih baik pada masa hadapan”, ujarnya.

Sehingga ke hari ini, fenomena Sambal Nyet masih belum reda daripada sambutan penggemar-penggemarnya apabila sentiasa habis dijual tidak kiralah 1000 botol atau 10,000 botol sekalipun setiap kali pesanan dibuka.

Ia bukanlah perkara yang memeranjatkan netizen kerana sambal pedas keluaran Khairul Aming ini pernah dilaporkan sold out sebanyak 10,000 botol dalam masa 3 minit sahaja !

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat