Tertipu Dengan Penjual Kereta, Lelaki Ini Menanggung Derita Kereta Sambung Bayar

Sumber Rujukan : Ahmad Zulhisyam

Ini kisah pengalaman saya. Pahit, tetapi saya mahu berkongsi agar anda tidak menjadi mangsa seperti saya.

Kesilapan saya tidak ambil tahu cara jual kereta yang sebenar, akhirnya menjerumuskan saya dalam satu aktiviti yang saya anggap sebuah sindiket kereta sambung bayar dan ditipu oleh pihak kedai menjual kereta terpakai.

Apa yang saya kesali, saya akui saya tidak tahu selok belok penjualan kereta dan apabila ditunjukkan surat sambung bayar, saya diberitahu surat itu adalah bagi penyerahan kereta sebelum nama ditukar. Sebab itu, pemilik syarikat berkenaan meminta saya datang semula untuk urusan tukar nama dua minggu selepas itu.

Antara perkara penting yang saya belajar ialah:

1. Kereta milik sendiri terutama yang masih terikat dengan bank tidak boleh diserahkan pada sesiapa saja. Tak kira macam mana sekali pun, kereta tu ibarat di bawah tanggungan kita. Biarpun kedai kereta ambil melalui urusan trade in, pastikan segala dokumen serta pertukaran nama sudah disempurnakan.

2. Jangan tertipu dengan skim sambung bayar kereta. Jangan bekerjasama langsung dengan mereka. Apa yang saya lalui lebih tiga tahun ini membuatkan saya membuat kesimpulan, kita tidak akan dilindungi sesiapa, termasuk pihak berkuasa.

3. Apabila buat laporan polis, follow up betul-betul. Pastikan anda kenal siapa IO kes anda.

*****

Berikut ialah RINGKASAN kronologi kes kereta saya:

FEB 2015: Saya berhasrat untuk menjual kereta jenis Hyundai Elantra. Jadi saya letak iklan di mudah dan carlist.my. Saya dihubungi oleh syarikat kereta terpakai Sri Jaya Motor World (SJMW), yang terletak di Ampang, KL. Mereka berminat untuk membantu saya menjual kereta berkenaan dan menyuruh saya tinggalkan kereta di premis bagi tujuan jualan. Katanya lagi, SJMW akan hubungi saya lagi 2 minggu untuk urusan full settlement dan tukar nama pemilik di JPJ.

MAC 2015: Syarikat SJMW masih belum hubungi saya. Jadi saya telah datang ke sana sekali lagi. Alangkah terkejut apabila saya diberitahu kereta itu telah dibuat SAMBUNG BAYAR. Saya terus jumpa owner SJMW, dikenali sebagai Dato T. Apabila saya minta dipulangkan kereta saya, Dato T minta saya bersabar dan datang semula minggu hadapan untuk serahan semula kereta.

Seperti dijangka, kereta berkenaan gagal diserahkan semula, tetapi terus digunakan sebagai sambung bayar kepada pelanggan SJMW.

MEI 2015: Saya buat repot polis untuk menyatakan saya ditipu dan memohon pihak polis bantu untuk menuntut kereta saya semula kerana sikap berdolak dalik pemilik kedai berkenaan yang secara jelas memperdaya saya menyebabkan saya menyerahkan kenderaan saya kepadanya.

JUL 2015: Rakan saya menasihatkan saya buat repot baru, dan memastikan ada IO yang akan mengambil perhatian terhadap repot anda. Jadi saya buat repot baru di Balai Polis Sri Petaling. Pihak polis berkata IO akan hubungi saya dalam masa terdekat. Dalam masa yang sama, saya kerap berulang pergi ke SJMW untuk terus menuntut kereta saya dikembalikan, namun tetap tidak berhasil. Mereka tetap memberi tempoh biarpun saya enggan. Kedudukan saya pada masa ini tersepit kerana saya tidak tahu di manakah kereta saya dan pemilik kedai itu enggan memberitahu siapakah individu yang membeli kereta itu melalui sambung bayar.

APR 2016: Saya berpindah rumah. Dari KL ke Pulau Pinang. Jadi, semakin sukar untuk saya terus menuntut kereta di premis syarikat SJMW dan untuk mendapatkan perkembangan terkini dari pihak polis.

SEP 2016: Setahun berlalu, tiada IO hubungi saya. Jadi saya follow up dengan menelefon balai polis. Dan pihak polis menyuruh saya menelefon bahagian komersil IPD Wangsa Maju. Pihak polis menyalahkan saya sebab tak follow up dengan pihak polis. Jadi selepas itu, saya sentiasa menelefon pihak polis sekurang-kurangnya sekali sebulan. Namun tiada perkembangan yang saya terima.

Antara maklumat ialah beberapa saman polis bersabit kereta berkenaan. Maklumat itu menunjukkan kereta berkenaan berada sekitar Sepang, Selangor.

JAN 2017: Saya mengadu ke JPJ untuk bantu saya block roadtax kereta berkenaan. Namun pihak JPJ tak benarkan saya berbuat demikian. Malah pihak JPJ tidak akan bertindak apa-apa dengan kereta berkenaan.

Saya mengadu ke KPDNKK. Saya dimaklumkan oleh pegawai, KPDNKK tidak ada kuasa untuk membantu saya mendapatkan kereta berkenaan. Pada masa ini, saya semakin buntu kerana saya rasa semua agensi terlibat yang saya sangkakan dapat membantu saya, memberikan jawapan yang mengecewakan. Jadi, kepada siapa saya hendak mengadu?

MEI 2017: Dato T tidak lagi menjawab panggilan telefon dari saya. Apabila saya pergi ke ofis SJMW, dia tiada di sana. Apabila ditanya mengenai kereta saya, kakitangan di situ hanya menjawab tidak tahu dan perlu merujuk dengan Dato T.

JUN 2017: Seperti biasa saya terus menerus menelefon pihak polis. Kali ini, pihak polis (bukan IO kes) maklumkan saya yang syarikat berkenaan akan dihadap ke mahkamah pada Julai. Saya diberitahu ia adalah berkaitan kes penipuan jual beli kereta. Apabila saya tanya tentang kereta saya, pihak polis suruh saya bersabar dan tunggu keputusan mahkamah.

JUL 2017: Saya tak dimaklumkan keputusan mahkamah. IO kes terus berdiam diri. Pada pertengahan Julai, kecoh isu PPIM vs AGR. Apabila saya mengikuti kes itu, saya mula faham. Kereta saya takkan dapat kembali dengan bantuan pihak polis.

Pada masa ini, saya sedar, sebenarnya saya hanya membuang masa membuat laporan polis, mengadu kepada KPDNKK, JPJ mengenai penipuan yang dibuat oleh syarikat jual beli kereta berkenaan. Saya tertanya, adakah terdapat kelompongan pada undang-undang hingga menyebabkan syarikat kereta seumpama ini wujud dengan bebas? Saya juga tertanya, apakah ada lagi mangsa seperti saya? Tidak mustahil.

Bermula dengan itu, saya mula agresif mencari maklumat yang diperlukan untuk saya menjejaki kereta saya.

Selain itu, saya menghubungi pihak bank. Pihak bank bersetuju untuk keluarkan RO, dalam usaha membantu menarik kereta berkenaan, walaupun tunggakan belum melebihi 3 bulan. Saya sudah menghantar surat rasmi dengan lampiran repot polis.

OKT 2017: Saya buat repot kepada PPIM. Tiada maklum balas menelefon saya. Mungkin kes saya tidak glamer untuk mereka beri perhatian. Mungkin mereka merasakan kes saya terlalu kecil untuk diberi perhatian. Mungkin mereka perlu menukar slogan mereka dan tuliskan dengan jelas bahawa mereka tidak akan melayan kes kes kecil seperti saya ini. Sekurang-kurangnya tidaklah saya menunggu seperti buah tak jatuh. Harap jika anda yang mengenali bos PPIM, tagkan. Kot aduan saya tu ‘hilang’ atau ‘ghaib.’

NOV 2017: Bekas kerani SJMW menghantar whatsapp nombor telefon pembeli yang membeli kereta saya secara sambung bayar. Jadi saya terus menyerahkan info berkenaan kepada pihak polis, dengan harapan, polis boleh bertindak sebagai orang tengah, membantu saya mendapatkan semula kereta berkenaan. Saya juga meminta bantuan beberapa kenalan tarik kereta untuk menjejaki kereta saya.

DEC 2017: Saya sendiri pergi ke premis SJMW. Malang sekali, premis berkenaan telah dirobohkan, saya tidak tahu bagaimana lagi untuk berhubung dengan syarikat berkenaan.

MAC 2018: Buat pertama kali sejak Julai 2015, iaitu selepas 3 tahun, saya dihubungi sendiri oleh IO polis. Katanya, beliau ialah IO yang mengambil alih kes saya. Jadi saya menyerahkan lagi sekali semua info yang saya ada. Termasuk maklumat premis SJMW, nama owner, senarai sama dan nama orang yang sedang memandu kereta saya. Agak lama jika dihitung berapa hari dalam 3 tahun tu. Memang lama.

2 APR 2018: Saya ke IPD Wangsa Maju untuk berjumpa IO kes saya. Selepas sejam berada di ofis, IO masih gagal menunjukkan fail kes saya. Kemudian bos bahagian komersil, bersama IO kes berjumpa dan menerangkan tentang kes kereta saya yang berkait dengan banyak repot lain.

Saya diberitahu premis berkenaan telah diserbu pada Julai 2017, dan sebanyak 30 kereta dirampas, berbanding sejumlah 160 kereta, mangsa tipu syarikat yang sama. Kereta saya tidak dijumpai. Apabila ditanya kenapa saya tidak diberitahu tentang serbuan berkenaan sebelum ini, pihak polis maklumkan yang mereka hanya membuat sidang media. Dan berita berkenaan keluar di Berita Harian.

Pihak polis juga memberitahu kes dah settle. Sebab pihak polis tidak ada kuasa untuk mencari baki kereta yang masih belum dijumpai. Walau bagaimanapun, IO berkenaan meyakinkan saya, dia sendiri akan bantu saya mencari kereta berkenaan.

Saya juga pergi ke HQ bank di Bangsar. Saya dapati tidak ada tindakan tarik kereta atau RO dari pihak bank sejak saya membuat permohonan. Jadi saya menggesa lagi sekali supaya pihak bank bantu saya.

10 APR 2018: Saya menerima surat saman menyatakan tunggakan bank selama 6 bulan. Apabila saya menelefon pihak bank, mereka menyuruh saya bayar tunggakan 6 bulan dan saman berkenaan ditarik balik. Jadi saya bayar tunggakan 6 bulan sebanyak RM6,100. Dengan syarat, RO untuk tarik kereta saya tidak dihentikan.

19 APR 1018:- Saya menelefon sendiri orang yang sedang memandu kereta saya (berdasarkan nombor yang diberi oleb bekas kerani SJMW). Saya gelarkan dia sebagai Mr K. Dia mengaku dia membeli secara sambung bayar dari SJMW. Tetapi kereta saya telah dijual olehnya kepada rakannya, juga secara sambung bayar. Saya juga tidak pasti lokasi beliau. Berdasarkan saman terbaru, ada tertulis alamat Limkokwing University Cyberjaya.

Mr K mendakwa dia juga teraniaya. Downpayment yang diberi kepada SJMW sebanyak RM15,000. Jadi, untuk saya menebus kereta saya, saya perlu bayar amaun itu kepada Mr K. Mr K akan membantu saya mendapatkan semula kereta saya. Saya bersetuju tapi Mr K masih melengahkan perjumpaan antara saya dan pembeli baru.

Dalam masa yang sama, saya memohon bantuan IO, pihak polis, pihak bank, dan juga kenalan tarik kereta yang saya kenal melalui rakan yang membantu. Namun kereta saya dikatakan tidak dijumpai sekitar Cyberjaya.

Tambahan, IO kata dia baru nak hubungi Mr K, walaupun saya dah bagi nombor berkenaan sejak Nov 2017. Sejak itu, saya mula sedar polis tidak membantu saya mengesan kereta saya.

Saya terus mengharapkan pihak bank dan kenalan tarik kereta untuk terus mengesan dan menarik semula kereta saya.

23 APR 2018: Repot polis dibuat di balai polis Seberang Jaya. Untuk kebenaran pihak ketiga menarik kereta saya jika menjumpainya.

25 APR 2018: Saya jumpa maklumat lengkap Mr K melalui website Limkokwing University. Mr K ialah owner sebuah restoren di Cyberjaya. Saya berikan maklumat ini kepada pihak bank. Pihak bank kata esok baru isu RO. Esok baru nak isu RO?? Sejak itu, saya baru sedar, pihak bank juga tidak membantu saya mengesan kereta saya sejak dulu. Mereka hanya mahu wang kita.

29 APR 2018: Salah seorang kenalan tarik kereta yang bantu saya suruh saya buat repot baru di balai polis Ampang Jaya. Tujuannya bagi memudahkan beliau tarik kereta dengan backup IO yang dia mudah berhubung. Malangnya, baru saya tahu, beliau ialah kenalan tarik kereta yang tidak bertauliah sebab tiada permit. Pihak polis tidak benarkan saya buat repot kebenaran pihak ketiga menarik kereta berkenaan.

Sejak itu, saya rasa semua pihak iaitu polis, bank, geng tarik kereta, PPIM, JPJ, KPDNKK tidak boleh bantu saya mengesan dan menarik kereta berkenaan. Saya mula putus harapan.

3 MEI 2018: Selepas didesak berkali-kali, barulah Mr K bersetuju berjumpa saya. Saya menyerahkan wang diminta sebanyak RM15,000 bagi mendapatkan semula kereta saya. Dan beliau bantu saya menyerahkan semula kereta saya, di Cyberjaya. (Proses penebusan ini panjang. Ini cuma ringkasan)

******

Saya harap cerita ini jadi pengajaran untuk semua. Ambil tahu urusan jual beli kereta yang betul. Katakan TIDAK pada sambung bayar.

Sekian

 

Artikel ini dari FB Ahmad Zulhisyam 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat