Kisah Pesakit Main Biola Ketika Sedang Jalani Pembedahan Otak
Mungkin ini adalah pertama kali kita mendengar sesi pembedahan yang memerlukan pesakit untuk memainkan biola.
Berlaku di Hospital King’s College pada Januari 2020, pesakit ini diminta untuk berbuat sedemikian bagi memastikan tindak balas pergerakan tangan dan koordinasi kemahiran bermain biola tidak terjejas semasa rawatan tersebut.
Pertama Kali Pesakit Main Biola Dalam Sejarah Hospital King’s College
Dalam sejarah prosedur pembedahan yang dijalankan di hospital ini, pesakit pernah dikejutkan semasa pembedahan untuk jalani ujian pertuturan. Namun ini adalah kejadian pertama kali di mana pesakit diminta untuk bermain alat muzik.
Operasi pembedahan bersejarah ini berjaya membuang tumor yang tumbuh di otak Dagmar Turner, seorang pemain biola untuk Isle of Wight Symphony Orchestra.
Mendedikasikan hidupnya pada muzik, Dagmar telah menceburkan diri dalam dunia orkestra selama lebih 40 tahun.
Namun, wanita ini disahkan menghidap ketumbuhan dalam otak selepas diserang sawan ketika menyertai persembahan orkestra pada tahun 2013.
Pemuzik berusia 53 tahun ini pada awalnya diberikan bius namun telah dikejutkan pada pertengahan prosedur.
Berdasarkan kenyataan rasmi Hospital King’s College, tumor di bahagian otak pemain orkestra ini berjaya dibuang dari bahagian kanan frontal lobe, iaitu berhampiran dengan kawasan otak yang mengawal pergerakan halus tangan kiri pesakit.
Pembedahan ini telah diketuai oleh Professor Keyoumars Ashkan, pakar neurosurgeon di hospital tersebut yang bertanggungjawab untuk membuka tempurung kepala pesakit terlebih dahulu sebelum disedarkan oleh pakar bius.
Professor Ashkan yang juga memegang kelulusan muzik dan merupakan pemain piano profesional merupakan orang penting yang merangka rancangan teliti bagi membuang tumor dan pada yang sama mengekalkan kebolehan pesakit main biola seperti biasa.
Professor Ashkan akui operasi ini perlukan kepakaran serta ketepatan tinggi kerana melibatkan saraf otak yang sangat halus.
“Kita juga faham kepentingan bermain biola buat pesakit. Kami berjaya mengeluarkan 90% daripada tumor dan pada yang sama mengekalkan fungsi tangan kirinya.
Kami berbesar hati atas kejayaan pembedahan ini. Pesakit juga akan dibenarkan untuk pulang selepas 3 hari.“
Hospital King’s College merupakan antara pusat perubatan terbaik di London yang tawarkan pembedahan otak.
Selain kes Dagmar Turner, hospital ini dianggarkan terlibat dalam kira-kira 400 pembedahan pembuangan tumor setiap tahun.