Betul Ke Tabiat Anak Menggesel Gigi Berlaku Akibat Gangguan Jin? Ini Penjelasan Doktor Gigi Mengenai Bruxism


Pada minggu lepas, netizen dikejutkan dengan dakwaan seorang ustaz selebriti yang mengatakan bumi tak bergerak. Namun, beberapa hari ini kecoh pula di media sosial apabila seorang pengamal perubatan Islam mengatakan anak yang mempunyai tabiat menggesel gigi pada waktu malam adalah disebabkan gangguan.

Tidak hanya itu, ustaz tersebut turut mendakwa anak sebegini biasa menunjukkan ciri-ciri lain seperti degil, boleh nampak apa yang orang lain tak nampak dan susah nak mengalah.

Justeru dia mengesyorkan ibu bapa untuk baca membaca doa tertentu atas kepala anak sambil berhajat agar anak menjadi hamba yang taat kepada Allah.

Perkongsian video tersebut dilihat mendapat perhatian netizen sambil mencatatkan 50k tontonan di laman Facebook serta 78.8k perkongsian.

Bagi menjelaskan isu sebenar di sebalik kejadian menggesel gigi ini, seorang doktor gigi dari Kementerian Kesihatan Malaysia telah tampil berkongsi fakta mengenai tabiat yang dikatakan berlaku akibat gangguan jin.

Menerusi hantaran di Facebook, Dr Mohd Khairul Izwan memaklumkan beliau terpanggil untuk membetulkan persepsi ini agar ibu bapa lebih jelas dan tidak panik gara-gara memikirkan ank mereka mungkin sedang diganggu jin.

tabiat anak menggesel gigi

Tabiat Anak Menggesel Gigi Adalah Normal

Dalam terma pergigian, tabiat menggesel gigi disebut sebagai bruxism. Ia boleh terjadi kepada orang dewasa mahupun kanak-kanak.

Dari sudut fisiologi, adalah normal untuk kanak-kanak di bawah usia 6 tahun untuk menggesel-gesel gigi walaupun ketika tidur pada waktu siang.

Berdasarkan dapatan kajian, dianggarkan kira-kira 2 hingga 3 daripada 10 kanak-kanak boleh mengalami tabiat menggesel-gesel gigi dan boleh bermula seawal usia anak 6 bulan.

tabiat anak menggesel gigi adalah normal

Kredit : Locus Dental Care

Faktor Yang Mendorong Kepada Bruxism di Kalangan Kanak-Kanak

Berbanding dengan orang dewasa yang mempunyai tabiat bruxism akibat stres, rasa gementar atau anxiety yang berlebihan, kanak-kanak pula didapati menggesel gigi akibat rasa tidak selesa.

Ia dipercayai berlaku ketika kanak-kanak sedang berada dalam fasa pertumbuhan gigi sama ada gigi susu mahupun gigi kekal.

Sesetengah kanak-kanak juga boleh mengalami ketidakselesaan atau rasa sakit di bahagian gusi semasa pertumbuhan gigi. keadaan ini disebut sebagai “teething”.

Disebabkan kanak-kanak yang masih kecil belum pandai mengadu rasa sakit yang dialami. Maka sebahagian daripada mereka akan menggeselkan gigi sebagai salah satu kaedah untuk mengurangkan rasa tidak selesa.

Selain menggesel gigi, anak-anak juga boleh menunjukkan tingkah laku lain seperti menarik-menarik telinga sebagai respons kepada rasa sakit yang dialami.

Selain itu, bruxism di kalangan kanak-kanak juga boleh berlaku akibat masalah kesihatan seperti cerebral palsy atau tindak balas bagi ubat-ubat tertentu.

Bolehkah Tabiat Anak Menggesel Gigi Diubati ?

Biasanya tabiat anak menggesel gigi akan reda dengan sendiri secara perlahan-lahan selepas gigi selesai tumbuh. Justeru ibu bapa tidak perlulah risau dan beranggapan anak terkena gangguan jin.

Walau bagaimana pun, jika tabiat ini berlarutan sehingga anak mencecah usia belasan tahun atau meningkat remaja, ia boleh menjadi petanda awal yang anak mungkin mengalami stres atau anxiety berlebihan. Rawatan lanjut mungkin diperlukan bagi mengawal keadaan daripada menjadi lebih serius.

Di hujung hantaran tersebut, Dr Khairul juga sempat menegaskan bahawa beliau tidak menentang ilmu perubatan Islam malah menggalakkan umat Islam untuk mengamalkan doa dan bacaan ayat suci Al-Quran.

Namun bagi kes ini, beliau berpendapat bahawa bukan semua perkara perlu dikaitkan dengan gangguan makhluk halus. Hal ini kerana ia boleh menimbulkan rasa panik dan fahaman yang salah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat