Ibu Bapa Perlu Ambil Tahu Tentang 5 Perkara Berkenaan Ubun-Ubun Bayi


Biasanya, kepala bayi baru lahir mempunyai bentuk pelik dan terdapat satu bahagian yang sangat lembut yang dikenali sebagai ubun-ubun atau fontanelle. Rata-rata ibu bapa sangat risau untuk mendukung bayi mereka. Mesti ramai yang tak tahu tentang sebenarnya ubun-ubun ini juga boleh menjadi salah satu petanda kepada kesihatan bayi. Jadi, mari ketahui lebih lanjut mengenai beberapa perkara berkenaan ubun-ubun bayi.

Berikut 5 Perkara Berkenaan Ubun-Ubun Bayi:

1. Fungsi ubun-ubun bayi

Ubun-ubun atau fontanelle merupakan celah lembut antara tengkorak bayi. Bahagian ini terbentuk apabila tulang kepala bayi masih lembut dan dalam proses untuk bercantum.

Pernahkah kita terfikir kenapa bayi yang baru lahir mempunyai ubun-ubun? Ini kerana kepala ialah bahagian tubuh bayi yang paling besar. Oleh yang demikian, tengkorak yang lembut dan tidak bercantum sepenuhnya dapat membantu memberi ruang agar kepala bayi lebih fleksibel dan dapat melalui salur lahir dengan mudah.

Selain itu, ubun-ubun juga memberi ruang kepada otak bayi untuk berkembang dengan pesat, terutama dalam usia 2 tahun pertamanya.

2. Terdapat 2 ubun-ubun pada kepala bayi

Mungkin kita hanya perasan ubun-ubun yang berada di bahagian atas kepala berdekatan dahi bayi. Ini kerana saiznya lebih besar dan boleh dilihat dan dirasa dengan mudah. Ia digelar anterior fontanelle  atau ubun-ubun besar dan berbentuk seperti layang-layang.

Tetapi, sebenarnya terdapat satu lagi ubun-ubun kecil di bahagian belakang kepala bayi yang dikenali sebagai posterior fontanelle atau ubun-ubun kecil. Saiznya sedikit berbeza dari ubun-ubun besar. Ia berbentuk tiga segi dan agak sukar untuk dirasai. Adakala anda hanya akan dapat merasakannya apabila anda meraba kepala bayi dengan teliti.

perkara berkenaan ubun-ubun bayi

3. Bilakah ubun-ubun akan tertutup?

Ubun-ubun akan tertutup sendirinya dan bercantum apabila tulang kepala bayi semakin membesar.

Secara umumnya, ubun-ubun kecil atau posterior fontanelle yang terletak di belakang kepala bayi akan mula tertutup seawal enam minggu kelahirannya.

Manakala, ubun-ubun besar atau anterior fontanelle pula tidak akan tertutup dengan sempurna sehingga umur bayi melewati satu tahun, biasanya menjelang 18 bulan.

4. Ubun-ubun yang normal

Jikalau anda perasan, bayi yang sedang menangis mungkin akan menampakkan rupa bentuk ubun-ubun yang sedikit timbul. Anda tak perlu panik, selagi ianya kembali ke bentuk normal apabila bayi bertenang.

Selalunya, ubun-ubun ini akan berdenyut seperti mana detak jantung bayi. Di samping itu, ia juga normal kerana adanya pembuluh darah yang berdenyut pada bahagian kepala bayi.

5. Apa yang perlu diperhatikan

Apa yang ibu bapa perlu beri perhatian adalah sekiranya ia kelihatan tidak normal walaupun bayi dalam keadaan biasa. Di antara beberapa masalah termasuklah:

i) Ubun-ubun terlalu mendap / timbul

Menurut kajian, ubun-ubun yang terlalu mendap mungkin menunjukkan bayi mengalami dehidrasi, manakala ubun-ubun yang terlalu timbul boleh menjadi simptom meningitis.

ii) Ubun-ubun Terlalu Besar

Ubun-ubun yang terlalu besar dan tidak tertutup dalam jangka masa yang normal mungkin merujuk kepada petanda kondisi tertentu seperti hypothyroidism, sindrom Down atau riket.

iii) Ubun-ubun Terlalu Cepat Tertutup

Biasanya perkara ini jarang berlaku. Namun kes begini tidak boleh dipandang remeh. Ini kerana ia boleh menimbulkan masalah craniosynostosis, di mana ia akan mempengaruhi perkembangan otak serta bentuk kepala bayi.

Kesimpulan

Rata-rata ibu bapa yang pertama kali mendukung bayi mungkin akan berasa takut untuk memegang bayi, apatah lagi merasa ubun-ubunnya. Namun anda tak perlu risau kerana bayi tidak akan berasa sakit apabila anda menyentuh bahagian ubun-ubunnya. Bahkan, ia boleh menjadi petanda kesihatan yang penting untuk pengetahuan para ibu bapa.

Yang paling penting, sentuhlah dengan lembut dan berhati-hati ya!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat