Kisah Inspirasi Untuk Pasangan Yang Belum Ada Anak


Kisah inspirasi untuk pasangan yang belum ada anak

 

“Saya sudah berkahwin 4 tahun. Dan masih tiada anak. Dan saya OK”

Artikel ini panjang. Namun percayalah, teruskan membaca, saya jamin anda akan perolehi sesuatu yang sangat bermanfaat.

29 Julai 2011, saya sah bergelar suami kepada isteri saya, semestinya saya seperti anda yang lain, sama juga seperti majoriti insan lain, mengimpikan sebuah keluarga yang bahagia. Saya mengimpikan untuk memiliki anak seperti orang lain juga, saya mengimpikan untuk bergelar ayah, saya mengimpikan untuk dipanggil ‘Abi’. Saya mengimpikan untuk memiliki, menjaga dan mendidik anak-anak saya dengan didikan terbaik.

Kini sudah 2015, lebih 4 tahun sudah kami berkahwin, dan kami masih belum dikurniakan cahaya mata.

Apa pandangan orang ramai?
Ramai yang kasihankan kami, hingga kami kasihan kepada mereka kerana kasihankan kami. Ada rakan-rakan yang memberikan tips, nasihat, tidak kurang yang bagi produk untuk bantu kami. Tidak dilupa, ada juga yang menyarankan untuk bertemu doktor, bidan, tukang urut, ustaz, dan lain-lain. (Terima kasih kerana anda semua prihatin)

Pelbagai diagnosis yang saya terima. Pada mulanya saya sangkakan yang kami tidak sihat, namun apabila pakar mengesahkan yang kami sihat, mulalah kedengaran tekaan-tekaan yang mengatakan ini semua berpunca dari gangguan makhluk halus, saka, dan bermacam-macam lagi. Jujurnya, saya pun sudah tak ingat berapa banyak tips, nasihat, dan tekaan yang sudah saya terima.
bayi-2-630x328

Pada awalnya, kami sungguh tertekan…Saya sebagai lelaki, saya mampu mengawal emosi saya. Sedih, namun sorok. Teringin, namun sorok. Geram, namun sorok. Kecewa, namun sorok. Lain pula halnya dengan isteri saya, sebagai wanita yang dikurniakan naluri keibuan yang lemah lembut, pastinya keadaan diri yang masih tidak memiliki anak cukup menampar benaknya.

Ada yang datang bertanya, dan menunjukkan muka pelik “Eh, dah lama kahwin tak dapat anak lagi???” Kemudian dia terus berlalu pergi. Beliau tanya satu soalan yang berdurasi 1 saat sahaja, tapi cukup untuk buat kami sedih selama 1 minggu. “Bila nak mengandung ni?”, sedih lagi 1 minggu. “Bila la umi awak nak jadi nenek ni?” sedih lagi 1 minggu. Hehe, sungguh senang kerja mereka, datang menghancurkan hati kami dalam 1 saat sahaja, kemudian terus berlalu pergi jumpa kawan-kawan dan bergelak-sakan menonton drama lucu. Dan kami berselubung duka untuk entah ke berapa kalinya. Ya, pada masa itu saya rasa geram.Itu pada awalnya.

Selepas 4 tahun… kami sudah ada perspektif yang berbeza. Ilmu, kematangan dan pengalaman cukup untuk menguatkan langkah kami.

Rate Serendah RM0.06 sen

Rate Serendah RM0.06 sen

Kami sedar, malah saya sendiri kerap menyebutkan perkara ini dalam ceramah saya, bahawasanya Qada’ dan Qadar Allah itu adalah ujian, amanah, dan ianya adalah 100% hak Allah. Ini bukan berpunca dari tersalah makan ke, gangguan saka ke, apa ke, ini adalah satu ujian yang Allah bagi kepada kami, ujian ‘tidak memiliki anak’. Bukan kami sahaja diuji sebegini, semua manusia pun diuji.

Sepertimana orang lain, masing-masing ada ‘medan tempur’ sendiri. Analogi mudah, seperti tentera. Kita lihat tentera ada macam-macam jawatan dan posisi. Ada pegawai, ada tentera di lapangan tempur, ada di bilik operasi, ada jaga komunikasi, ada yang pandu jet pejuang, ada yang sediakan peluru, ada yang pandu trak, ada yang sediakan makanan, ada yang memberi arahan, ada yang merangka strategi peperangan. Masing-masing diberikan ‘medan tempur’ sendiri, kerjanya lain-lain, namun matlamatnya sama iaitu untuk memenangi peperangan dan mencapai kejayaan.
images

Jika orang kata kami tiada anak itu adalah ujian, ya, ia memang satu ujian. Dan itulah ‘medan tempur’ kami, di mana Allah ingin lihat bagaimana kami menjadi hamba yang soleh apabila diletakkan di dalam ‘medan tempur’ tersebut. Mampukah kami menguasai medan tempur ini, dan akhirnya mencapai kejayaan di akhir pertempuran ini? Allah tak bagi kami anak, Allah bagi kami kesukaran di sini dan sana, namun Allah juga bagi 1001 rahmat yang sebenarnya berganda-ganda lagi banyak dari setitik kesukaran yang kami hadapi. Maka, adakah wajar kami bersedih dan tidak bersyukur? Semestinya tidak!

Allah bagi kami nikamat yang banyak. Di usia muda kami sudah memiliki pekerjaan yang stabil, malah memiliki perniagaan yang sangat hebat, kami memiliki rakan-rakan yang baik, ahli keluarga yang sangat baik, kesihatan yang baik, kami memiliki rumah dan kereta idaman kami, kami diberi ruang untuk berjumpa dan mengenali individu hebat di Malaysia, kami sentiasa dikurniakan fast-track apabila kami berbuat sesuatu untuk mencapai impian kami, setiap program dan ceramah saya mendapat sambutan hebat, ramai orang suka kami, ramai orang sayang kami, ramai orang hormat, kagum, malah ada yang nak jadi macam kami. Dan semuanya bukannya kebetulan, itu semua kurniaan Allah. Itulah rupa ‘medan tempur’ kami. Di situlah kami bertempur.

Ujian kami adalah ‘tidak memiliki anak’, tetapi memiliki banyak lagi nikmat. Maka Allah nak uji kami, bagaimana kami uruskan hidup kami yang macam sekarang ini?

Dan kami percaya, orang yang memiliki anak juga adalah satu ujian. Semestinya ujiannya tak kurang hebatnya, kena jaga anak, didik anak, hantar anak pergi sekolah, ajarkan anak tentang agama, bina akhlak anak, dan macam-macam lagi, itu ‘medan tempur’ mereka. Sama juga macam seorang lelaki yang beristeri seorang dan seorang lelaki yang beristeri ramai. Semestinya kehidupan, cabaran dan ujian mereka tidak sama, sebab masing-masing memiliki rupa ‘medan tempur’ yang berlainan.

Namun di akhirnya, tidak kira walau bagaimanapun rupa ‘medan tempur’ kita, apa yang kita mahu adalah kejayaan dan kebahagiaan di akhir pertempuran itu.
bayi-630x381

Lihatlah Nabi Ayub diuji dengan penyakit sopak di seluruh badannya, Siti Asiah diuji dengan ditakdirkan menjadi isteri kepada Firaun, Nabi Nuh diuji dengan isteri dan anak-anak yang derhaka, malah Nabi Muhammad diuji dengan kewafatan putera-puteranya. Mereka juga diuji dengan ujian yang sungguh hebat! Persoalannya, adakah mereka berduka, berputus asa, dan berhenti ‘bertempur’?

Anda faham tak apa yang saya cuba sampaikan?

Pasakkan dalam minda kita, tak kira bagaimanapun rupa ujian yang Allah bagi kepada kita, kita kena terima ketentuan ini dengan redha, dan selesaikan ujian itu dengan sebaiknya. Mungkin awalnya kita goyah dan jatuh, namun bangkitlah, teruskan. Jangan berhenti. Biarlah di garisan penamat nanti, kita menang dan cemerlang. Jalankanlah amanah dan laksanakanlah tugasan, bertempurlah dengan hebat di ‘medan tempur’ itu.

Wahai mereka yang tiada anak.
Wahai mereka yang ada anak.
Wahai mereka yang kaya dan miskin.
Wahai mereka yang berjaya dan gagal.
Wahai mereka yang alim dan jahil.
Wahai mereka yang tidak kira apa ujian sekalipun yang anda hadapi sekarang.
Bertabahlah, lakukannya sebaiknya, terus buru kejayaan dunia dan akhirat.
Semoga berjaya semua!

Kerana seorang guru tidak memandang rupa kertas ujian yang diberikan kepada muridnya, tetapi dia memandang jawapan muridnya, untuk diberikan markah.Dan, kerana Allah tidak memandang bentuk ujian yang Dia berikan kepada kita, tetapi Dia memandang hasil usaha kita untuk mencapai redhaNya, untuk diberikan syurga.

Artikel ini bukan untuk minta simpati, bukan untuk mengeluh.Saya cuma nak ajak anda semua rasa OK dengan apa saja ujian yang anda terima hari ini. Dan saya, sejujurnya saya SANGAT OK

Sekian.

# Artikel ini ditulis oleh SYAFIQ FADELI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat