Rekod Flying Doctor Masih Bertahan
Jegatesan yang di anugerahkan Tokoh Sukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Anugerah Sukan Negara 2015. Rahsia kejayaan beliau dalam sukan dan akademik ialah “Suka Persiapan Awal”. Beliau kongsikan sikit pengalaman beliau ketika menjadi seorang penuntut di Universiti Singapura pada 1962-1967. Kejayaan yang beliau kecapi sekarang memerlukan sedikit pengorbanan masa, tenaga dan yang paling penting kebijaksanaan untuk menguruskan masa.
Penampilan sulung di Sukan SEAP ke-2 di Yangon ketika umurnya 17 tahun, nama Tan Sri Dr M Jegathesan mula dikenali selepas merangkul tiga pingat emas sekali gus menjadi titik tolak kepada pencapaian olahraga legenda yang dikenali dengan jolokan The Fyling Doctor itu.
“Saya memenangi pingat emas pertama di kejohanan antarabangsa dalam karier olahraga saya adalah pada Sukan SEAP di Yangon. Saya berumur 17 tahun ketika itu dan karier saya dalam olahraga terus meningkat sejak itu,” katanya yang memenangi acara 200 meter, 400m dan 4x400m di Myanmar.
Peningkatan dalam kerjaya Jegathesan yang ketika itu masih seorang penuntut tidak terhenti apabila dalam edisi Sukan SEAP seterusnya yang diadakan di Kuala Lumpur menyaksikan pencapaian terbaiknya apabila membawa pulang empat pingat emas – 100m, 200m, 4x100m dan 4x400m.
Kejayaan di tanahair itu turut menyaksikan The Flying Doctor itu mencatat sejarah sebagai pelari pecut pertama negara yang merangkul pingat emas berganda dalam acara 100m dan 200m.
Menang 19 Emas
“Olahraga negara berada di zaman kegemilangan pada edisi awal temasya itu. Kami mencapai kemuncaknya pada Sukan SEAP 1965 apabila Kuala Lumpur menjadi tuan rumah.
“Kami memenangi keseluruhan 19 pingat emas (daripada keseluruhan 42 pingat). Kami juga melakukan pencapaian yang bagus pada temasya yang dianjurkan di Kuala Lumpur selepas itu (14 emas pada 1971),” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perubatan Majlis Olimpik Asia (OCA).
Pencapaian skuad olahraga negara di Sukan SEA bagaimanapun semakin menurun dengan yang terbaru negara sekadar membawa pulang tiga pingat emas pada temasya di Singapura pada dua tahun lalu.
“Saya berharap kejayaan yang dikecapi negara pada Sukan SEA terutama sekali ketika negara menganjurkannya bakal menjadi peringatan yang kita mampu melakukannya sekali lagi di sini. Ini adalah masanya yang sudah lama ditunggu-tunggu,” katanya.
Pencapaian Jegathesan bagaimanapun berterusan di peringkat yang lebih tinggi apabila dia memenangi emas di Sukan Asia 1962 Bangkok dalam acara 200 meter dan melayakkan diri ke tiga edisi Sukan Olimpik di Rom (1960), Tokyo(1964) dan Mexico (1968).
Pada Olimpik Mexico, dia juga melakar sejarah apabila mara ke pusingan separuh akhir acara 200m dan mencatatkan masa 20.92 saat bagi disenaraikan dalam rekod kebangsaan yang kekal sehingga ke hari ini.
Pencapaian skuad olahraga di Sukan SEA Kuala Lumpur
- 1965 -> 19 Emas
- 1971 -> 14 Emas
- 1977 -> 12 Emas
- 1989 -> 12 Emas
- 2001 -> 8 Emas
Profil Beliau
Jegathesan
Nama : Datuk Dr Jegathesan Manickavasagam
Tarikh Lahir : 2 November 1943
Isteri : Datin Lee Hong
Anak : Ashelee, Shirene dan Nicky
Pencapaian
Sukan SEAP 1961 -> Pingat emas 400m, 200m dan 4x400m
Sukan SEAP 1965 -> Pingat emas 100m, 200m, 4x100m dan 4x400m
Perkhidmatan Kerajaan
Ketua patologi HKL (1985-88)
Pengarah Institut Kajian Perubatan (IMR)(1988-93)
Timbalan Ketua Pengarah (kajian dan sokongan teknikal) Kementerian kesihatan(1993-98)
Penasihat Perubatan Majlis Kajian dan Pembangunan Kesihatan UNDP di Geneva.
“Saya Berharap kejayaan yang dikecapi negara pada Sukan SEA terutama sekali ketika negara menganjurkannya bakal menjadi peringatan yang kita mampu melakukanya sekali lagi di sini. Ini adalah masanya yang sudah lama di tunggu-tunggu”
M Jegathesan,
Bekas atlet
olahraga Negara