Datuk T. Subromaniam Dilantik Sebagai Ketua Pengarah Kastam Baharu

Sumber Rujukan : AstorAwani 24 Mac 2017

Pelantikan Ketua Pengarah Kastam baharu iaitu Datuk T. Subromaniam berkuat kuasa hari ini, demikian umum Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa.

Datuk T. Subromaniam, 58 yang sebelum ini Timbalan Ketua Pengarah Kastam(Penguatkuasaan/Pematuhan) telah menggantikan Datuk Seri Khazali Ahmad yang bersara.

Subromaniam telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam lebih 33 tahun dengan mula menyertai perkhidmatan Penguasa Kastam pada 29 Julai 1984.

“Beliau (Subromaniam) berpengalaman luas dalam bidang pengurusan pentadbiran, pengurusan cukai dan penguatkuasaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Subromaniam pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Kastam Siasatan (Bahagian Penguatkuasaan) dan Ketua Penolong Pengarah Kastam Cawangan Siasatan.

“Saya percaya dengan pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki akan membolehkan beliau (Subromaniam) melaksanakan tanggungjawab ini dengan berkesan dan mampu meneruskan visi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam menyediakan perkhidmatan kastam bertaraf dunia,” katanya.

Ali bagi pihak kerajaan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Khazali di atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau kepada perkhidmatan awam dan negara selama lebih 36 tahun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat