Terkini : Lebih 200 Warga Ukraine Terkorban, Zelenskyy Umum Perintah Berkurung Sehingga Isnin di Kyiv


Bagi mempertahankan ibu negara serta melindungi keselamatan warga Ukraine, Zelenskyy telah umumkan perintah berkurung terhadap bandar tersebut sehingga hari Isnin jam 8.00 pagi.

Ini bagi menggantikan tempoh perintah berkurung yang ditetapkan dari 10.00 malam hingga 7.00 pagi sejak negara tersebut diserang.

Perintah berkurung terbaharu ini diumumkan berikutan serangan roket yang memusnahkan sebuah bangunan apartmen di Kyiv.

Zelenskyy juga sempat berkongsi perkembangan pasukan ketenteraannya yang berjaya mematahkan percubaan pasukan tentera Rusia yang ingin menakluk ibu kota Ukraine, Kyiv.

Kyiv kini dikatakan berada dalam keadaan terkawal selepas reda dari pertempuran dahsyat sehingga memaksa warga setempat berlindung di keretapi bawah tanah.

Kredit Foto : DailyMail

Tidak lama selepas itu, pasukan tentera Rusia juga dilaporkan telah melancarkan roket pada menara kawalan berhampiran Lapangan Terbang Zhuliany sehingga menyebabkan 2 orang awam terkorban.

Menteri Dalam Negeri, Anton Heraschenko juga membidas sekeras-kerasnya mengenai dakwaan yang mengatakan tentera Rusia tidak menyentuh infrastruktur awam, sebaliknya tentera Rusia dikatakan telah memusnahkan sekurang-kurangnya 40 buah pusat kemudahan awam.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Ukraine turut mengesahkan seramai 1,200 orang awam termasuk 33 kanak-kanak terlibat dalam kecederaan ekoran serangan bertubi-tubi dari pasukan ketenteraan Rusia.

Menurut DailyMail, seramai 219 warga Ukraine dilaporkan telah terkorban sejak peperangan diisytiharkan oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Masih tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda untuk reda daripada pergolakan perang, situasi Ukraine kini sedang menjadi tumpuan dunia.

Jutaan warganet juga tidak jemu mengikuti perkembangan negara ini secara rapat melalui media sosial.

Pengguna media sosial juga dilihat giat dalam menunjukkan penyatuan solidariti sambil menyeru agar serangan terhadap Ukraine dihentikan serta-merta.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat