Aktiviti Pembelian RON95 oleh Nombor Plat Asing Makin Berleluasa, KPDNHEP Sedia Ambil Tindakan
Sejak sempadan negara dibuka kepada negara jiran pada 1 April lalu, Malaysia kian dibanjiri oleh warga asing.
Selain melihatkan gelagat warga asing yang menaikkan kenderaan menggunakan jack kereta untuk ‘tingkatkan’ kapasiti minyak di media sosial, aktiviti pembelian RON95 oleh nombor plat asing di stesen minyak didapati semakin ligat.
Kenderaan dengan nombor plat asing sepatutnya menggunakan RON97 yang dijual pada harga RM 3.91 seliter.
Pembelian RON95 Oleh Nombor Plat Asing Dipantau KPDNHEP
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Rheal Pengguna (KPDNHEP) Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro berkata seramai 200 anggota penguatkuasa akan membuat pantauan dan melaksanakan pemeriksaan agar ketirisan melibatkan barang kawalan terutamanya petrol dan diesel tidak berlaku.
“Kesemua stesen yang diperiksa diberi peringatan agar patuhi undang-undang berkaitan Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 yang melibatkan pembelian RON95 oleh nombor plat asing.
Mereka dibenarkan membeli diesel sekali dalam sehari yang dihadkan kepada 20 liter sahaja di mana-mana stesen minyak dalam jarak 25 kilometer (km) daripada pintu sempadan Malaysia-Singapura dan dibenarkan membeli Petrol RON97 tanpa had dengan syarat dimasukkan terus ke tangki kenderaan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.
Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan pihak kementeriannya telah mengarahkan semua KPDNHEP negeri yang bersempadan dengan Singapura dan Thailand untuk mempergiat pemantauan dan pemeriksaan di samping mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961(Akta 122) dan (Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974).
Akta itu memperuntuk penalti tidak melebihi RM1 juta atau hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali terhadap individu manakala perbadanan atau syarikat berdepan denda tidak melebihi RM2 juta.
Presiden PDAM Saran Sistem Baru Untuk Kawal Pembelian
Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Khairul Annuar Abdul Aziz berkata adalah tidak mungkin untuk tenaga kerja stesen minyak untuk sentiasa memantau semua kenderaan yang membeli RON95 di stesen minyak.
Bagi memastikan RON95 hanya digunakan oleh rakyat Malaysia, stesen minyak mungkin perlukan sehingga 10 kakitangan pada satu-satu masa.
“Jika kami dibekalkan dengan dana, kami boleh gunakan lebih ramai kakitangan. Jika tiada, kami tidak mampu,” ulas Khairul.
Justeru itu, Khairul menyarankan sebuah sistem pembayaran menggunakan tag nano diperkenalkan bagi menghalang pembelian RON95 menggunakan kad kredit asing.
Media dari negara jiran pula melaporkan lebih 30 kenderaan diarah berpatah balik dari pusat-pusat pemeriksaan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada dua hari pertama sempadan Singapura-Malaysia dibuka semula melalui laluan darat.
Hal ini kerana kenderaan-kenderaan berdaftar di Singapura itu mempunyai kurang daripada tiga suku minyak sebelum menuju masuk ke Malaysia.
Ia merupakan syarat bagi pengembara dari Singapura sebelum boleh meneruskan perjalanan merentasi sempadan.
Pengembara perlulah mengisi minyak di perhentian terakhir iaitu stesen minyak di Marsiling.
Jika anda ternampak kereta dengan nombor pendaftaran asing mengisi petrol RON95 di stesen minyak berhampiran, anda juga boleh ambil tindakan segera. Ambil foto kenderaan berkenaan, nama stesen minyak dan hantarkannya ke Whatsapp 019-2794317 di talian KPDNHEP atau hantarkan aduan di e-aduan.kpdnhep.gov.my/kepenggunaan