Didakwa Berpindah Milik Ke Syarikat Swasta, Ini Orang-Orang Penting di Sebalik MySejahtera


Ramai netizen yang mula rasa sangsi dengan status keselamatan aplikasi MySejahtera apabila YB Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan tentang penjualan MySejahtera kepada syarikat swasta.

Selain pemilikan aplikasi, aspek pengurusan aplikasi MySejahtera turut dipertikai apabila langkah kerajaan yang melakukan rundingan terus didedahkan berbanding sistem tender terbuka.

Sistem runding terus ini dilihat berat sebelah kerana lebih memihak kepada syarikat-syarikat serta individu yang dekat dengan pemerintah.

Isu ini mencetuskan kebimbangan tentang pengurusan data peribadi rakyat Malaysia yang sekaligus boleh mewujudkan penyalahgunaan maklumat kesihatan jutaan rakyat Malaysia.

Khairy Jamaludin, Menteri Kesihatan telahpun membuat kenyataan balas dengan mengatakan MySejahtera dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan dengan KKM sebagai pemilik utama termasuk semua data yang diterima MySJ. Pihak kerajaan serta KKM juga menjamin kerahsiaan data pengguna tidak akan dikongsikan kepada pihak ketiga.

Disebabkan kontroversi ini, maka timbul rasa ingin tahu siapakah pemilik MySejahtera yang berdiri di atas nama MySJ Sdn Bhd dan apa kaitan mereka dengan isu yang kini kecoh di sosial media ini.

Siapa Orang-Orang Penting Di Sebalik Pembangunan Aplikasi MySejahtera ?

Berikut merupakan antara pengarah yang disenarai dalam maklumat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi MySJ Sdn Bhd. :

1. Tan Sri Shahril Shamsuddin

tan sri shahril shamsuddin merupakan antara orang di sebalik pembangunan MySejahtera

Dikatakan sebagai antara orang paling penting dalam senarai, Tan Sri Shahril Shamsuddin adalah satu daripada dua nama yang disebut dalam kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Disebabkan kedudukan beliau sebagai bekas Ketua Pengarah Eksekutif bagi Sapura Energy, kenyataan tular itu menyebut Tan Sri Shahril sebagai salah seorang individu yang mempunyai kaitan politik dan perniagaan dengan beberapa parti di dalam kerajaan.

Meskipun jawatan tersebut sudah dilepaskan, beliau kekal sebagai pemegang saham bagi syarikat Sapura Energy sebanyak 12.94 % (2.07 bilion).

Untuk pengetahuan anda, Sapura Energy merupakan salah satu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mengalami kerugian terbesar dalam sejarah syarikat GLC iaitu sebanyak RM 8.9 bilion pada tahun lepas.

Selain itu, khidmat Tan Sri Shahril dalam Sapura Energy juga membolehkan beliau mendapat pengiktirafan besar seperti anugerah Legion d’Honneur dari Perancis pada tahun 2007 dan Ernst & Young Entrepreneur of the Year Award pada tahun 2009.

2. Tan Sri Dato’ Megat Najmuddin bin Dato’ Seri Dr Haji Megat Khas

Tan Sri Dato Seri Megat Najmuddin merupakan antara orang di sebalik pembangunan MySejahtera

Nama kedua yang disebut dalam kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Tan Sri Dato’ Megat Najmuddin ekoran kedudukannya yang tinggi dalam UMNO sebelum ini dan kini merangkul kedudukan besar dalam parti BERSATU.

Selain itu, Tan Sri Dato’ Megat juga merupakan pengerusi kepada satu lagi GLC terkemuka negara iaitu Sime Darby Plantation.

3. Raveendren a/l Ramamoothie

raveendren merupakan antara orang di sebalik pembangunan MySejahtera

Digelar sebagai ‘usahawan bersiri’ oleh United States Securities and Exchange Comission, Raveendren merupakan pengasas bersama KPISoft. Beliau juga merupakan Pengarah Urusan bagi firma  AN International.

Laman web Entomo menyebut Raveendren sebagai orang yang berpengalaman dalam pengurusan prestasi selama 20 tahun sementara profil LinkedIn beliau menyebut Raveendren sebagai Presiden, Pengarah Eksekutif serta pengasas bagi Entomo.

KPISoft/Entomo juga dikatakan sebagai syarikat tempatan yang berpangkalan di Singapura dan Raveendren juga dikatakan sedang berkhidmat di sana.

4. Anuar bin Rozhan

anuar rozhan merupakan antara orang di sebalik pembangunan MySejahtera

Pengasas bersama Entomo, Anuar bin Rozhan mempunyai 35 tahun pengalaman dalam pelbagai bidang perniagaan seperti Telekomunikasi, Oil and Gas, Industri Automotif.

Kepakaran beliau juga menyerlah dalam bidang Sumber Manusia sebagai Pengarah Eksekutif dan Badan Pengurusan Bersama bagi Human Capital Management Institute.

5. Tan Sri Dato’ Sri Liew Kee Sin

tan sri dato sri liew merupakan antara orang di sebalik pembangunan MySejahtera

Merupakan bekas Ketua Pengarah Eksekutif bagi SP Setia, Tan Sri Dato’ Sri Liew Kee Sin mula sertai EcoWorld pada tahun 2014 sebagai Pengarah Bukan Eksekutif sebelum bergelar Pengarah Eksekutif.

Hasil usaha beliau dalam pelbagai bidang termasuk perniagaan dan kemajuan hartanah menjadikan beliau dinobatkan sebagai UK-Malaysia Business Personality of the Year 2018 dalam anugerah British Chamber of Commerce.

6. Datuk Heah Kok Boon

datuk heah merupakan antara orang di sebalik pembangunan MySejahtera

Selain Tan Sri Dato’ Sri Liew, Datuk Heah Kok Boon juga berperanan dalam EcoWorld Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Kewangan.

Sebelum menyertai EcoWorld, beliau juga terlebih dahulu menyertai SP Setia sebagai Ketua Hal Ehwal Korporat sehingga tahun 2013.

Kaitan KPISoft/Entomo dan MYSJ Perlu Disiasat

Memetik kenyataan dari Datuk Seri Anwar Ibrahim Kementerian Kesihatan, dakwaan yang mengatakan aplikasi ini tiada kaitan dengan KPISoft/Entomo dan MySJ Sdn Bhd perlu diteliti dan disiasat.

Tambahan pula, kebanyakan orang berkepentingan bagi syarikat berkaitan dengan pembangunan aplikasi ini adalah dari individu yang mempunyai kaitan politik dan perniagaan dalam kerajaan.

Selain itu, sejumlah besar saham MySJ merupakan milik beberapa pengasas yang membangunkan aplikasi MySejahtera.

“Untuk mengatakan bahawa tiada kaitan antara KPISoft/Entomo dan MySJ Sdn Bhd adalah tidak jujur.” – Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagi mewujudkan keyakinan orang ramai kepada aplikasi ini, kerajaan dan kementerian berkaitan perlulah bersikap lebih telus. Ditambah pula aplikasi ini melibatkan data peribadi dan pergerakan harian jutaan rakyat Malaysia.

Menurut akhbar tempatan, isu ini akan dibentangkan semula dalam Dewan Negara. Sama-sama kita nantikan perkembangan mengenai isu ini dan semoga ia dapat selesaikan secepat mungkin untuk kebaikan bersama pada waktu pandemik ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat