Nak Kahwin? 10 Perkara Yang Wajib Disediakan Terlebih Dahulu

Sumber Rujukan : Baitul Jannah

Perkahwinan atau pernikahan dalam Islam adalah suatu perkara yang sangat dituntut. Nikah menurut bahasa ialah bertemu, berkumpul dan bercampur. Menurut istilah syarak pula ialah Ijab dan Qabul (‘aqad) yang menghalalkan persetubuhan antara lelaki dan perempuan yang diucapkan oleh kata-kata yang menunjukkan nikah, menurut peraturan yang ditentukan oleh Islam.

Allah سبحانه وتعالى berfirman:

وَمِن كُلِّ شَىْءٍ خَلَقْنَا زَوْجَيْنِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

 “Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami) akan kebesaran Allah.” – Surah Adz-Dzariyaat 51; Ayat 49

Keinginan untuk berkahwin adalah fitrah manusia, yang bererti sifat pembawaan manusia sebagai makhluk Allah SWT. Akan tetapi, ada beberapa perkara yang perlu dititik beratkan untuk pasangan yang hendak membina mahligai cinta ini supaya dapat mewujudkan ketenteraman, ketenangan dan kesejahteraan hidup berumah tangga. Bukan sekadar pelamin dan majlis yang mewah, tetapi kita harus fikir kehidupan bersama kelak.


1. KEWANGAN

Bagi isteri, “Duit suami duit saya, duit saya duit saya.” Dan, fakta itu suami perlu akui dan jangan persoalkan. Keseluruhan duit suami perlu dihalakan kepada keperluan isteri dan duit isteri adalah untuk kegunaan isteri. Terpulang kepada isteri jika redha untuk membantu.

2. RUMAH

Jangan habiskan semua duit untuk belanja kahwin dan bercuti semata-mata. Tinggalkan sedikit untuk buat deposit rumah sama ada menyewa atau beli. Apabila menyewa, carilah yang mampu untuk dibayar setiap bulan. Tinggal cuma berdua, tak perlu yang besar-besar. Duit yang ada boleh disimpan untuk membeli rumah sendiri nanti.

3. KERETA

Kalau dulu seorang pakai satu kereta, mungkin jika mahu berjimat boleh sahaja digunakan satu kereta untuk ke pejabat (jika laluan ke pejabat munasabah). Atau, suami menggunakan motor dan isteri berkereta. Semuanya demi penjimatan masa depan! Dan ia bagus juga untuk eratkan hubungan kerana banyak yang boleh dibualkan ketika berdua di dalam kereta.

4. JADUAL/MASA

Hidup berdua tidak boleh lagi buat aktiviti seperti zaman bujang. Pulang ke rumah sesuka hati. Jangan jadikan rumah seperti hotel semata-mata, sedangkan masa banyak dihabiskan di luar rumah, melepak dengan kawan-kawan. Tetapkan satu waktu setiap hari bekerja (contoh, selepas Maghrib), suami dan isteri
mesti sudah ada di rumah.

5. KERJAYA

Fahami kerjaya pasangan sebelum berkahwin lagi supaya kamu tidak tertipu dan mengharapkan sesuatu yang tidak nyata. Ada tuntutan kerja pasangan yang memakan masa hingga larut malam/awal pagi, ada pula yang bosnya mengganggu sampai ke rumah. Jadi, apabila berkahwin dengan pasangan, ‘nikahi’ dulu cara kerjanya.

6. BAKAL ANAK

Selesai urusan suami isteri, bersedia pula menunggu kemunculan orang ketiga yakni anak sendiri. Terutamanya, kalau isteri bunting pelamin. Dan, perlu ingat zaman sekarang membesarkan anak bukan
setakat dua tiga puluh ringgit. Perlu ada kos untuk perbelanjaan bersalin, susu, lampin, menghantar anak ke taska, insurans, pendidikan dan sebagainya.

7. AKAUN BERSAMA

Saya amat suka kalau antara suami dan isteri tidak menyimpan rahsia perihal duit gaji kerana apabila
berkongsi hidup, maka kita harus berkongsi banyak ‘benda’. jangan sorok-sorokkan setiap duit yang masuk dan keluar supaya pasangan tahu sebesar mana ekonomi rumahtangganya. Kalau banyak, boleh disimpan, kalau sedikit, ada perbelanjaan yang boleh dikurangkan.

8. MAKAN

Ada isteri sentap apabila suami selalu memuji air tangan ibunya. Isteri perlu rajin mengkaji ‘lidah’ suami.
Ketahui apa yang suami suka dan tidak. Sesekali jenguk dapur untuk memasak kerana kata orang mahu pikat hati suami, tawan dulu perutnya. Air tangan isteri itu ada azimat yang tiada pada wanita lain. Waktu makan juga antara momen terbaik mengeratkan hubungan suami dan isteri. Mengapa tidak makan malam
diperuntukkan untuk bersama pasangan kita dan bukan lagi sendiri-sendiri.

9. KOMUNIKASI

Komunikasi umpama jambatan menghubungkan antara suami dan isteri. jika komunikasi tidak berkesan, jambatan akan reput dan jika dibiarkan tanpa dibaiki ia boleh runtuh. Bukan mudah dua individu yang selama ini dibesarkan dalam dua budaya dan didikan berbeza hidup bersama. jadikan setiap hari yang dilalui adalah satu proses pembelajaran untuk menjadi lebih baik dan perbaiki komunikasi yang lemah dengan bercakap hati ke hati.

10. MAKANAN BATIN

Tuntutan batin bukan seks semata-mata. Ia berkaitan dengan permainan perasaan, hati dan jiwa. Sebolehnya, kekalkan kemesraan bulan-bulan pertama perkahwinan untuk tahun-tahun seterusnya, walau sampai berkedut 1000. Tidak kira suami atau isteri, selalulah belai-membelai, berkucupan walau bukan untuk tujuan seks, puji-memuji, bergurau-senda dan apa sahaja yang boleh membahagiakan perasaan pasangan. Lakukan! Kerana itu juga ibadah membawa pahala.


Sebahagian para pemuda ada yang merasa bingung dan bimbang untuk berkahwin. Salah satu sebabnya adalah kerana belum mempunyai pekerjaan. Dan yang telah mempunyai pekerjaan pun tetap ada perasaan bimbang juga. Sebahagian mereka tetap ragu nilai gajinya.

Dalam fikiran mereka, “Apakah gaji ini cukup untuk berkeluarga dengan gaji sekian?” Ayat dibawah merupakan jawapan buat mereka yang ragu untuk melangkah ke jinjang pernikahan kerana alasan ekonomi. Yang perlu ditekankan kepada para pemuda dalam masalah ini adalah kesanggupan untuk memberi nafkah, dan terus bekerja mencari nafkah memenuhi keperluan keluarga.

“Dan kawinkanlah orang-orang yang sendirian diantara kamu dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan perempuan. jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha Luas (Pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui”. (An Nuur: 32)

Allah akan menolong mereka yang menikah. Allah Maha Adil, apabila tanggungjawab para pemuda bertambah – dengan kewajipan memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya, maka Allah akan memberikan rezeki yang lebih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat