More Of The Same: Jika PH Menerima Pemimpin Dari BN, Di Mana Perubahan Yang Didambakan Rakyat?
Menurut pandangan sarjana Barat antara kritikan terhadap kelemahan sistem demokrasi ialah tiadanya pilihan sebenar.
Maksud mereka hanya parti politik sahaja yang berbeza, tetapi kebanyakan agenda perjuangan sama. Dengan kata lain lebih banyak kesamaan dari perbezaan antara parti politik yang bertanding. More of the same. Ini lebih ketara bagi sistem dua parti. Di Amerika Democrat lawan Republican. Siapa menang pun polisinya tiada beza ketara.
Bagaimana pula di negara kita? PH dah menang menewaskan BN. Apa yang rakyat mahukan? Saya yakin rakyat mahu kerajaan yang berlainan daripada BN. Rakyat mahu kita bina Malaysia yang baharu. Jika PH menawarkan pakej yang sama dengan BN, buat apa susah-susah tukar kerajaan. Kekalkan status quo lagi bagus.
Sebab itu rakyat khuatir jika PH menerima masuk bekas-bekas pemimpin dari BN ke dalam PH. Nanti akan dibuat perangai lama, mentaliti yang sama, dan cara pemerintahan yang sama. Di Mana perubahan yang didambakan rakyat? More of the same.
Di Johor khabarnya semalam PH dah sebut tak akan beri peruntukan kepada kawasan yang dimenangi BN. Saya ingat lagi dulu di Kelantan kerajaan pusat tak mau bagi peruntukan kepada kawasan pembangkang. Ini cara BN dulu. Jadi kalau PH ikut cara ini, di mana perubahan? More of the same.
Berpolitiklah cara matang. Peruntukan hak rakyat. Mereka bayar cukai. BN menang di kawasan itu, itulah pilihan rakyat. Hormatilah. PH sepatutnya berpolitik cara baru, tanpa dendam. Maka berilah peruntukan sama dengan kawasan PH. Ingatlah bahawa dalam kawasan yang BN menang tu ada juga penyokong PH. Adakah mereka sekali akan menerima hukuman? PH akan lebih dihormati dan disegani jika terus memberi peruntukan kepada kawasan yang dimenangi pembangkang. Percayalah. Inilah politik cara baharu di Malaysia baharu.
Semalam juga sudah ada posting tentang rungutan Rafizi bahawa lantikan 3 menteri baharu tak dapat restu PKR. Apa ni? Belum memerintah dah ada perselisihan. Jika betul pun kenapa tidak diselesaikan secara tertutup di meja rundingan? Kenapa dihebohkan kepada media? Sebagai orang politik masakan Rafizi tak tahu bahawa cybertrooper kerajaan lama (dibaca tali barut) masih ramai berkeliaran.
Kenapa beri mereka ruang untuk menembak curi? Kenapa memberi mereka ruang untuk membuat interpretasi yang salah yang boleh mempengaruhi persepsi rakyat? Ingatlah PH bukan lagi pembangkang. PH adalah kerajaan yang memerintah. Jadi kena bina persepsi yang meyakinkan, bukan menampakkan perselisihan antara sesama parti komponen.
Kalau asyik bercakar sesama sendiri berebut jawatan menteri, rakyat naik meluat kerana yang rakyat mahu ialah kerajaan yang solid, seiya sekata, yang berpadu membangunkan Malaysia baharu. Jika tidak, more of the same.
Dan bagi saudara-saudara saya dari UMNO pulak, inilah peluang untuk anda menjadi pembangkang yang bijak. Ingat anda kini pembangkang. Pembangkang bukan hanya kerjanya membangkang dan mencari salah PH. Jika itu anda lakukan, maka anda hanya mengulang fungsi pembangkang yang silap. More of the same.
Pembangkang yang fungsional adalah yang membawa suara rakyat. Yang betul kata betul, yang salah wajib diperbetul. Baru anda akan dilihat sebagai wakil yang bekerja untuk rakyat. Memang tugas anda lebih susah berbanding dengan semasa anda jadi kerajaan. Tapi ingat, rakyat akan bersama anda jika anda ikhlas. Dengan ini barulah anda akan mendapat kembali keyakinan dan sokongan rakyat.
Jika tidak, segala sistem demokrasi di negara ini akan menjadi more of the same, hanya warna bendera dan bentuk logo sahaja berubah…
Artikel ini adalah pandangan dari Prof Abdul Muati Ahmad