Dari Bilik Hotel Paling Banyak Hingga Wang Kertas Terbesar di Muka Bumi, Ini 9 Rekod Dunia Yang Dipegang Malaysia
Untuk memecahkan rekod dunia bukanlah perkara yang mudah. Ia memerlukan kemahiran serta dedikasi yang tinggi untuk mendapat pengiktirafan bertaraf antarabangsa.
Jangan pandang Malaysia sebelah mata tau! Sebenarnya negara kita pun tak kurang hebatnya sebagai pemegang beberapa rekod dunia.
Nak tahu rekod apa yang pernah dicapai oleh negara ? Jom kita semak 9 rekod dunia yang dipegang Malaysia !
9 Rekod Dunia Yang Dipegang Malaysia
1. Hotel Terbesar Dengan Bilik Terbanyak
Jika anda pernah ke Genting Highland, anda pasti tahu yang ia merupakan lokasi bagi salah satu hotel terbaik dunia. Bukan sahaja dilengkapi dengan kasino bertaraf dunia dan taman tema, Genting Highland juga menempatkan hotel terbesar dengan bilik terbanyak di muka bumi !
Memiliki 7,351 bilik hotel yang beroperasi sepenuhnya untuk penginapan pelancong, First World Hotel di Resort World Genting, Pahang merupakan pemegang rekod sebagai hotel terbesar dengan bilik paling banyak di dunia.
Pada awal pelancaran hotel ini sekitar tahun 2002, hotel ini mempunyai 6,118 hotel sahaja. Namun, kapasiti ini meningkat dengan tambahan 1,233 bilik hotel pada tahun 2015 dengan pembangunan Tower 2 Annex di hotel tersebut.
Pembaharuan ini melayakkan First World Hotel untuk diiktiraf oleh Guiness World Record bagi kategori ini dan sekaligus merebut status The Venetian Resort Las Vegas di Amerika Syarikat yang sebelum ini memegang status hotel terbesar dengan 7,092 bilik hotel dari tahun 2008 hingga 2015.
2. Roundabout Terbesar di Dunia
Dengan diameter 3.4 kilometer serta 15 susur masuk dan keluar, Roundabout Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang terletak di Putrajaya diiktiraf oleh Guiness World Record sebagai roundabout terbesar di dunia pada tahun 1999 sejurus selepas ia siap dibina.
Tidak hanya bersaiz besar semata-mata, malah bulatan ini didapati melancarkan lagi pergerakan trafik di bandar Putrajaya. Menariknya, kawasan pertengahan bulatan juga menempatkan Istana Melawati, Taman Putra Perdana Malaysia serta hotel 5 bintang.
3. Vending Machine Terbesar Di Dunia
Pada tahun 2013, Berjaya Times Square melakar rekod dunia dengan membina vending machine atau mesin layan diri terbesar.
Mesin seberat 3,500 kilogram dengan ketinggian 32 kaki 3 inci ini mengambil masa lebih daripada 6 bulan untuk dibina. Ia beroperasi dengan cara yang sama seperti vending machine bersaiz biasa iaitu dengan memasukkan token untuk mendapatkan kapsul.
4. Pemegang Nombor 1 Paling Lama Dalam Ranking Squasy Dunia
Bila berbicara tentang arena sukan tempatan, salah satu sukan yang menjadi kebanggaan negara semestinya squasy.
Pencapaian Datuk Nicol David dalam bidang squasy ternyata telah mengangkat nama negara sebagai peneraju terhebat sukan ini selama bertahun-bertahun.
Datuk Nicol mencatatkan rekod dunia apabila berjaya mengekalkan kedudukan nombor 1 paling lama di dunia selama 106 bulan sejak tahun 2016. Rekod terdahulu dipegang oleh pemain skuasy New Zealand iaitu Susan Devoy yang kekal dalam kedudukan nombor 1 selama 105 bulan.
5. Menara Kawalan Lapangan Terbang Tertinggi di Dunia
Pencapaian negara dalam pembinaan mercu tanda tidak perlu disangkal lagi. Selain pembinaan bangunan tinggi, namun tahukah anda Malaysia juga memiliki menara kawalan lapangan terbang tertinggi di dunia ?
Dengan ketinggian 133.8 meter tinggi, menara kawalan trafik udara atau Tower West di KLIA2 dinobatkan sebagai menara kawalan tertinggi di dunia. Dengan menelan belanja sebanyak RM 55 juta, menara ini siap dibina pada 30 April 2013 serta dilengkapi dengan 33 tingkat dan rooftop bagi membantu dalam kawalan trafik udara yang kian meningkat di KLIA.
6. Wang Kertas Terbesar Di Dunia
Satu lagi pencapaian Guiness World Record yang dipegang Malaysia adalah penghasilan wang kertas terbesar pada tahun 2017.
Sehelai wang kertas bernilai RM 600 dihasilkan bagi memperingati peristiwa kemerdekaan negara ke-60 serta Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu.
Diperkenalkan kepada umum pada 29 Disember 2017, wang kertas berukuran 22 cm lebar dan 37 cm panjang muncul sebagai wang kertas sah terbesar di dunia. Wang kertas unik ini juga diberikan warnanya tersendiri sambil mempamerkan wajah semua Yang di-Pertuan Agong yang pernah ditabalkan sejak negara mencapai kemerdekaan.
7. Resort Dengan Kolam Renang Terbanyak
Port Dickson terkenal sebagai pusat pelancongan yang popular dengan keindahan pantai serta pelbagai tarikan pelancong. Namun, tahukah anda, salah satu resort di Port Dickson juga pernah diiktiraf oleh Guiness World Record ?
Rekod ini dipegang oleh Lexis Hibiscus sebagai resort yang menempat 643 kolam renang peribadi. Pencapaian ini diiktiraf pada 14 Oktober 2016 apabila resort ini menepati syarat saiz kolam renang yang ditetapkan iaitu dengan berkeluasan minimum 1.5 meter X 2 meter.
8. Menara Berkembar Dengan Jambatan Tertinggi
Meskipun tidak lagi bergelar bangunan tertinggi di dunia, namun Menara Berkembar Petronas kekal sebagai pemegang Guiness World Record sebagai bangunan berkembar tertinggi di dunia. Bangunan 88 tingkat yang dirasmikan pada tahun 1996 ini kekal sebagai mercu tanda popular negara ini.
Meskipun nampak kecil dari jauh, jambatan yang menghubungkan antara dua bangunan ini sebenarnya berukuran 58 meter dengan berat 750 tan metrik !
Bukan sahaja menjadi tempat yang terbaik untuk melihat panorama indah ibu kota, malah jambatan ini mempunyai fungsi yang penting sebagai laluan kecemasan dengan menghubungkan tingkat 41 dan 42 bangunan ini.
9. Smash Terpantas Oleh Pemain Badminton
Selain squasy, badminton juga menjadi salah satu kebanggaan negara dalam arena sukan. Di samping pencapaian rekod dunia berturut-turut oleh Datuk Lee Chong Wei, Malaysia turut menyaksikan sebuah lagi pencapaian Guiness World Record dalam bidang badminton.
Pada 28 May 2013, pemain badminton negara, Tan Boon Heong muncul sebagai pemegang rekod dunia apabila mencatatkan smash terpantas di dunia kategori lelaki dengan kelajuan 493 km/j di Saitama Jepun. Tan Boon Heong yang kini sudah bersara juga merupakan salah satu pemain badminton terbaik dalam sejarah sukan Malaysia.
Sehingga ke hari ini, smash yang penuh kuasa dari Tan Boon Heong masih belum dapat ditandingi oleh mana-mana pemain badminton bertaraf dunia.
Walaupun negara kita kecil, namun ia tidak melunturkan semangat negara dalam mencapai pengiktirafan bertaraf dunia.
Segala pencapaian hebat negara kita membuktikan kemampuan Malaysia untuk bersaing dalam peringkat global. Diharap semua pencapaian ini dapat menjadi pembakar semangat buat rakyat Malaysia untuk terus menyerlah di mata dunia. Malaysia Boleh !