Tips Merancang Persiapan Perjalanan


Percutian antara aktiviti yang memerlukan kita melakukan pelbagai perancangan, termasuk bajet agar tidak berlaku pembaziran serta memastikan percutian lancar tanpa masalah. Berikut, beberapa Tips Merancang Persiapan Perjalanan yang boleh dijadikan panduan memaksimumkan bajet:

tip rancang persiapan untuk bercuti

Pemilihan lokasi melancong

SEKARANG persiapan melancong juga boleh dibuat menggunakan internet, seperti memilih lokasi, membanding harga dan mendapat gambaran lokasi pelancongan terbabit. Ada beberapa laman web yang boleh membantu kita membuat persiapan melancong, seperti agensi pelancongan EZ Travel atau pun agent-agent yang mengendalikan pakej pelancongan serta pakej penginapan. Malah melalui laman web agensi-agensi terbabit juga disediakan pilihan hotel yang boleh diduduki sepanjang percutian, disamping tempahan tiket kapal terbang secara online yang memudahkan kita tanpa perlu keluar rumah dan mengharungi kesesakan lalu lintas. Pilih negara yang menawarkan pakej percutian murah bagi mengelak pembaziran. Tiada salahnya jika pakej yang dipilih murah tapi diisi dengan pelbagai aktiviti menarik sepanjang percutian. Oleh itu, sebelum memutuskan untuk ke suatu destinasi selidik terlebih dulu tempat- tempat menarik yang ada di sana agar kepuasan ketika bercuti boleh dirasai sepenuhnya.  

Buat tempahan lebih awal

Industri pelancongan banyak bergantung kepada keadaan ekonomi sesebuah negara serta permintaan pelancong samada tempatan atau asing dan sehubungan itu, lebih baik menempah tiket penerbangan awal, beberapa bulan sebelum tarikh kita melancong. Tempoh itu membolehkan kita merancang percutían dengan teliti supaya tidak mengalami masalah, sama ada sebelum, ketika atau selepas percutian. Jika lewat membuat tempahan atau pada saat-saat akhir, mungkin berlaku kesesakan dan kita sukar mendapat tiket serta penginapan, mungkin tidak sempurna.

Keperluan sebelum melancong

SEBOLEH-bolehnya kenal pasti tempat yang ingin dilawati dengan mencari maklumat lanjut yang lebih lengkap mengenai tempat yang ingin dilawati, seperti bahasa, pakaian, persekitaran dan cuaca supaya dapat menyesuaikan diri apabila tiba disana nanti. Cari juga peta yang menunjukkan keseluruhan tempat itu yang boleh digunakan jika kita tersesat ketika berjalan seorang diri atau tiba-tiba terpisah dgn kumpulan lawatan.

tip rancang persiapan untuk bercuti

Maklumat pengenalan diri

PASTIKAN juga segala barang maklumat diri seperti visa, pasport dan maklumat penting lain disimpan sebaik mungkin supaya tidak hilang atau dicuri ketika melancong. Dokumen pengenalan dan perjalanan amat penting ketika berada di luar negara dan hendaklah sentiasa dibawa bersama ke mana sahaja. Jangan mudah percaya dgn pemandu pelancong jika ada yg mengatakan dokumen perjalanan atau pengenalan, terutama passport boleh ditinggalkan di hotel dan tidak perlu dibawa bersama. Pemandu pelancong tidak mempunyai kuasa menghalang pihak berkuasa menahan anda yang tiada passport.Pastikan anda menyimpan nombor telefon konsulat dan kedutaan Malaysia bagi memudahkan anda jika menghadapi masalah.  

Bagasi

PASTIKAN beg yang dibawa kukuh, mudah dibawa dan tidak mudah dibuka. Jika pandai merancang seperti menghadkan pakaian, anda tidak memerlukan beg besar yang pastinya memudahkan anda bergerak. Ketika di lapangan terbang, jangan tinggalkan bagasi anda tanpa diawasi bagi mengelakkan dicuri atau menjadi mangsa sindiket penyeludupan. Begitu juga ketika di lobi hotel. Bagi yang bujang tanpa suami atau isteri dan anak-anak, ramai yang memilih menggunakan beg sandang kerana mudah dibawa dan selamat.  

Pakaian

PASTIKAN keadaan cuaca tempat yang bakal dikunjungi bagi memudahkan kita merancang pakaian yang hendak dibawa kerana selain menjimatkan bagasi, pakaian juga perlu sesuai dengan cuaca serta aktiviti yang bakal kita jalani di lokasi pelancongan. Jika melancong ke kawasan panas, tidak perlu membawa jaket tebal tetapi jika melancong ketika musim sejuk, pastikan pakaian musim sejuk, termasuk sarung tangan tersedia. Pastikan anda membawa sekurang-kurangnya satu pakaian renang dan satu kasut tambahan bagi mengelak terpaksa mengeluarkan perbelanjaan berlebihan bagi membeli barang terbabit.

Wang dan tiket

JIKA melancong ke luar negara, pastikan anda menempah tiket balik kerana sesetengah negara tidak membenarkan pelancong masuk tanpa tiket balik yang sudah ditempah. Pastikan anda membawa wang simpanan untuk kecemasan secukupnya dan simpan ditempat selamat. Jika berlaku kecemasan, seperti dirompak atau kehilangan passport, hubungi konsulat atau kedutaan Malaysia yang berdekatan.  

tip rancang persiapan untuk bercuti

Pengangkutan

Dapatkan maklumat mencukupi mengenai tempat atau negara yang ingin dilawati supaya lebih selesa dan mudah bergerak serta merancang aktiviti dan tempat yang bakal dilawati. Dapatkan juga maklumat secukupnya mengenai semua jenis pengangkutan, termasuk bas, teksi dan kereta api meliputi kadar tambang, kawasan liputan dan masa perjalanan. Jika perlu menyewa kenderaan, pastikan ia disewa daripada syarikat yang sah dan berlesen. Pilih pengangkutan paling murah serta pemandu pelancong yang mengetahui selok belok kawasan percutian untuk mengelakkan ditipu serta sesat.  

Perbelanjaan

Anda juga perlu mengetahui kadar tukaran wang negara yang ingin dilawati supaya sesuai dengan bajet yang anda sediakan serta tidak tertipu ketika menukar wang. Mengetahui kadar tukaran wang membolehkan anda merancang pembelanjaan, terutama ketika membeli-belah. Selain itu juga, anda boleh memilih menyediakan sendiri makanan bagi menjimatkan belanja tetapi ia jarang dilakukan kecuali mereka yang ingin melakukan aktiviti lasak ketika bercuti.  

Rate Serendah RM0.06 sen

Rate Serendah RM0.06 sen

Lebih jimat jika bercuti secara berkumpulan

Bercuti secara berkumpulan banyak keistimewaan, terutama keselamatan. Sekurang-kurangnya kita rasa selamat berada di tempat orang bersama rakan yang boleh saling membantu jika menghadapi masalah.

Melakukan aktiviti perkhemahan

Bagi mendapat kepuasan lebih ketika bercuti, anda juga boleh menambah aktiviti lasak, seperti berkhemah kerana selain menjimatkan, mampu memberi pengalaman baru berada di tempat orang.

#Artikel ini ditulis oleh Ismi Ismail

Satu komen untuk “Tips Merancang Persiapan Perjalanan”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat