Hari Malaysia : Meraikan Perpaduan Dalam Pelbagaian – Daily Rakyat

Hari Malaysia : Meraikan Perpaduan Dalam Pelbagaian


Hari Malaysia disambut pada 16 Sept setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia di tarikh yang sama pada tahun 1963. Sebagai rakyat Malaysia,kita dilahirkan berbeza dan ini menjadikan kehidupan kita berwarna warni dan ceria. Oleh itu penting bagi kita untuk menghargai nilai nilai perbezaan ini dan menghormati kepelbagaian tersebut.

Langkah Memupuk Perpaduan Kaum

Perpaduan adalah kunci kepada kejayaan negara. Kepelbagaian agama, budaya dan adat resam sesuatu kaum haruslah dihormati dan dipelihara. Contohnya, melalui cara mereka berpakaian, amalan beragama dan perayaan.

Selain itu, memantapkan penggunaan bahasa Melayu khususnya dalam sistem pendidikan sama ada di peringkat sekolah termasuk sekolah vernakular hingga ke peringkat pendidikan tinggi. Perpaduan kaum juga boleh dipupuk melalui amalan bersukan dan menjaga kestabilan politik.

Kepelbagaian Agama, Budaya Perlu Dihormati

Malaysia mempunyai masyarakat berbilang agama dan budaya yang pada asasnya hidup secara aman dan damai. Kepelbagaian ini satu keunikan yang sepatutnya dirai dan menjadi kebanggaan rakyat kita.

Tradisi dalam kalangan rakyat Malaysia yang sama-sama menyambut Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Krismas, Deepavli dan Gawai Dayak merupakan peluang terbaik untuk memanfaatkan semua kaum dari segi memupuk keharmonian, keamanan dan perpaduan. Keharmonian dalam kemajmukan ini menjadikan Malaysia negara yang sering dicontohi masyarakat antarabangsa, namun sebagai negara dengan rakyat berbilang kaum dan budaya, masyarakat kita kadangkala berdepan isu sensitif yang boleh menggugat ketenteraman dan keharmonian.

Kebebasan Amal Cara Hidup Asal

Melalui kepelbagaian ini, terdapat kebebasan bagi kaum lain mengamalkan cara hidup asal mereka. Inilah sifat paling demokratik pada sistem pemerintahan di negara ini. Dengan ini, kaum lain walaupun menjadi kelompok minoriti, tidak sesekali memiliki status rendah.

Kaum Cina sebagai contoh boleh mengamal dan mewariskan budaya mereka dalam bentuk asal, selain boleh ikut terbabit secara aktif dalam semua institusi negara, sama ada politik, ekonomi mahupun pendidikan. Ini sudah tentu dibolehkan walaupun ia menegaskan pembahagian majoriti-minoriti, tetap memastikan kaum lain ikut dirangkum dalam proses pembangunan negara.

Kukuhkan Perpaduan Melalui Kepelbagaian Agama

Kepelbagaian agama yang terdapat di Malaysia harus digunakan sebaiknya bagi mengeratkan lagi perpaduan antara semua lapisan masyarakat. Apabila masyarakat lebih terbuka untuk mengenali dan memahami serta meraikan kepelbagaian agama, ia akan mengukuhkan lagi persefahaman antara kaum dan agama.

Masyarakat perlu mengamalkan prinsip semangat perkongsian, elemen hormat-menghormati, hargai perbezaan satu sama lain serta mengamalkan sikap toleransi. Sebab itu perbezaan agama perlu dihargai demi membina sebuah negara yang lebih hebat pada masa akan datang.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Terkini @ Daily Rakyat