Memasang Dashcam Di Kenderaan Merupakan Satu Trend Yang Positif-MIROS
Trend pemasangan dashcam di kenderaan sendiri terutama golongan muda dilihat sebagai satu perkara yang positif.
Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia(MIROS), Dr Siti Zaharah Ishak berkata, fungsi dashcam yang mampu merakam setiap apa yang berlaku semasa pemanduan dapat dijadikan sebagai maklumat tambahan jika berlaku kemalangan.
Sebagai contohnya, apabila berlakunya satu kemalangan, pada mulanya ia dikatakan terjadi kerana kecuaian pemandu. Namun selepas siasatan dilakukan melalui rakaman dashcam, kita dapati kemalangan berlaku kerana faktor lain seperti tayar meletup sehingga menyebabkan kenderaan hilang kawalan.
Pemasangan dashcam juga mampu merealisasikan usaha MIROS dan Kementerian Pengangkutan untuk menjadikan rakyat sebagai mata dan telinga dalam membantu memberikan maklumat mengenai persekitaran jalan raya di Malaysia.
Baru-baru ini Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Look Siew Fook berkata walaupun menyedari kebaikan yang boleh didapatkan melalui dashcam, namun kerajaan belum bersedia untuk mewajibkan setiap kenderaan di Malaysia mempunyai dashcam kerana tidak mahu membebankan pengguna.
Dr Siti Zahrah juga berkata, inisiatif yang dilakukan sendiri oleh pemilik kenderaan untuk memasang dashcam patut diberikan pujian kerana ianya sedikit sebanyak dapat membantu memberikan informasi yang penting kepada pihak berwajib.
Beliau juga berpendapat pemasangan dashcam juga perlu dipasang pada kenderaan keselamatan seperti bomba, kereta polis dan jentera bomba. Setiap kejadian yang berlaku pasti dapat dirakam dan mungkin membantu dalam melancarkan operasi pasukan penyelamat.
“Adakalanya ambulans memerlukan ruang untuk lalu di jalan raya dengan pantas bagi menyelamatkan nyawa pesakit tetapi ia dihadang oleh kenderaan lain. Melalui rakaman dashcam, kita dapat mengenal pasti pemandu-pemandu yang tidak bertoleransi itu dan seterusnya membantu pihak berkuasa mengambil tindakan,” katanya.