Malaysia Berpeluang Teroka Potensi Tenaga Nuklear

Sumber Rujukan : Ifwan 23 Mar 2017

Tenaga nuklear bakal dibina di Malaysia jika rakyat boleh menerima dan mengikut kesesuaian keperluan. Ini adalah salah satu aspek-aspek yang di lihat sebelum sebarang keputusan untuk membina atau memiliki loji nuklear di Malaysia dibuat.

Malaysia boleh meneroka potensi penjanaan kuasa nuklear berikutan harga sumber tenaga itu amat stabil dalam jangka masa panjang berbanding bahan bakar lain.

Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA), Datuk Seri Dr Zaini Ujang, berkata penjanaan tenaga nuklear menggunakan bahan asas utama iaitu uranium yang bekalannya masih banyak di dunia.

“Jumlah uranium diperlukan di loji jana kuasa nuklear juga tidak banyak berbanding tenaga elektrik yang dapat dihasilkan”.

“Sebagai contoh, sebuah stesen jana kuasa yang terletak di dalam kawasan hanya seluas 4.2 kilometer persegi, mampu menjana tenaga elektrik amat besar (cukup untuk keperluan lapan juta rumah),” katanya yang mengetuai lawatan ke Loji Jana Kuasa Nuklear Ikata, di sini semalam.

Yang turut menyertai lawatan itu ialah KSU Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Mohd Azhar Yahaya; Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah; Timbalan Ketua Pengarah (Sektoral) Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Allahuddin Anuar dan Ketua Eksekutif Malaysia Nuclear Power Corporation (MNPC), Dr Mohd Zamzam Jaafar.

Dalam rangka lawatan bertujuan memahami penggunaan tenaga nuklear Jepun itu, delegasi Malaysia turut dibawa melawat Stesen Jana Kuasa Nuklear Kashiwazaki Kariwa di Niigata dan kilang pengeluaran reaktor loji nuklear Mitsubishi Heavy Industries – Kobe Shipyard & Machinery Works di Kobe.

Program diselaraskan MNPC itu dibuat atas jemputan Pusat Kerjasama Antarabangsa (JAIF) Forum Industri Atom Jepun (JICC).

Fahami Operasi Loji

Mengulas lanjut, Zaini menegaskan, kerajaan belum membuat sebarang keputusan membina jana kuasa nuklear dan lawatan dilakukan itu bertujuan memahami operasi loji berkenaan.

Katanya, kerajaan mengambil perhatian serius terhadap penerimaan rakyat dan kesesuaian dengan keperluan tenaga negara serta tahap keselamatan sesebuah loji jana kuasa nuklear, sebelum sebarang keputusan dibuat.

Jepun yang sudah lama menggunakan sumber tenaga nuklear juga masih berhadapan tentangan daripada sebahagian rakyatnya, katanya.

“Kita juga mahu mengkaji bagaimana Jepun menangani isu sebahagian masyarakat yang menentang penggunaan jana kuasa nuklear di negara itu terutama selepas bencana Fukushima pada tahun 2011,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat