Siapa KKB Papua Dan Kenapa Mereka Begitu Kejam Dengan Orang Indonesia ?


Tragedi yang menimpa 9 pekerja pencawang telekomunikasi di Papua cukup heboh diperkatakan di media sosial. Tiada siapa yang boleh bayangkan perasaan Nelson Sarira, satu-satunya mangsa yang terselamat ketika keseorangan menantikan bantuan.

Setelah 3 hari berlapar dan keseorangan, barulah Nelson diselamatkan menggunakan helikopter dan dibawa pergi dari tempat kejadian.

kkb papua telah menumpaskan 8 orang pekerja pencawang telekomunikasi

Kredit Foto : Berita Satu

Peristiwa hitam tersebut memberikan kesan cukup mendalam buat Nelson. Dikhabarkan Nelson mengalami trauma yang cukup teruk dan perlu berehat di rumah sebelum pulih sepenuhnya. Siapa yang tak trauma melihat rakannya dibantai dan dipenggal hidup-hidup ?

Sedang kisah Nelson berlegar di media sosial, warganet turut mempersoalkan perbuatan KKB Papua dan mengapakah mereka begitu kejam sehingga sanggup membunuh orang yang tidak bersalah.

Siapa KKB Papua ?

Sebelum kita fahami apa itu KKB, kita perlu ketahui kedudukan geografi tempat kejadian. Menurut laporan akhbar Indonesia, kejadian tersebut berlaku di Kapubaten Puncak, Papua, Indonesia.

Kepulauan  tersebut jelas menunjukkan sempadan menegak yang memisahkan Papua New Guinea dengan Indonesia.

KKB Papua berlelulasa di wilayah tersebut

KKB ialah nama singkatan bagi Kelompok Kriminal Bersenjata. Nama ini tidak direka oleh kumpulan ini malah sebaliknya digelar sendiri oleh kerajaan Indonesia kerana sifat mereka yang ganas dan sanggup mencederakan orang awam.

kkb papua adalah kumpulan pengganas yang kejam di indonesia

Bagaimana KKB Papua Terbentuk ?

Wilayah Papua berada di bawah naungan Indonesia. Namun, orang-orang Papua tidak bersetuju dan ingin berdiri sendiri.

Maka, hasrat mereka untuk menjadikan wilayah Papua sebagai sebuah negara kemudiannya mencetuskan Organisasi Papua Merdeka (OPM).

Presiden Indonesia pernah berunding dengan orang Papua supaya mereka kekal bersama negara tersebut. Presiden turut menawarkan dana setiap tahun untuk pembangunan Papua serta rakyatnya dengan syarat mereka tidak tinggalkan Indonesia.

Perjanjian ini diberi nama Otonomi Khusus (OTSUS). Papua bersetuju maka mereka pun terimalah dana daripada kerajaan Indonesia.

Namun media Indonesia menyebut dana memang sudah diberikan tetapi telah dimonopoli oleh golongan elit di Papua. Ini menyebabkan rakyat Papua tidak mendapat sebarang manfaat dan membangkitkan kemarahan mereka kepada kerajaan Indonesia.

Maka tercetuslah KKB Papua. Dalam erti kata mudah, KKB adalah kumpulan pengganas. Anggota KKB menganggap perbuatan mereka hanyalah semata-mata untuk menjadikan Papua sebagai negara berdaulat. Namun cara mereka sangatlah tidak berperikemanusiaan dan mengancam keselamatan orang awam.

Tragedi Berdarah di Khemah

Tragedi kematian 8 orang di Papua baru-baru ini melibatkan tiga pekerja Palapa Ring Timur Telematika (PTT), empat pekerja kontraktor syarikat dan seorang anggota masyarakat setempat yang menjadi pemandu arah.

Mereka difahamkan sudah berada di Papua sejak 3 bulan lepas untuk selesaikan tugas di pencawang. Sepanjang berada di situ, mereka tinggal di sebuah khemah yang cukup besar.

Lokasi khemah yang diserang KKB Papua Kredit : republika.co.id

Malang tidak berbau, khemah 9 orang pekerja ini telah diserang pada 2 Mac 2022 sekitar 4.00 pagi.

10 orang anggota KKB lengkap bersenjata telah mengepung khemah menyebabkan mereka tidak dapat lari. Bila sudah dikepung, mereka terpaksa duduk di dalam khemah sementara tunggu untuk berunding. Namun, tidak sempat berunding, mereka sudah dibantai dan disembelih dengan cukup kejam.

Nelson, satu-satunya mangsa yang terselamat kebetulan berada di hujung khemah sempat melarikan diri. Sewaktu menyelamatkan diri, dia telah dikejar oleh beberapa orang pengganas. Nelson yang sedang ketakutan terus lari ke dalam semak dan sembunyi di situ.

Mujurlah pengganas tidak menemukan Nelson yang sedang bersembunyi. Keadaan yang sangat gelap pada awal pagi cukup menyebelahi Nelson ketika itu.

Sebaik sahaja pengganas beredar, Nelson terdengar satu suara yang menyuruh Nelson naik ke atas bukit dan menyorok di sana.

Bukan sekali dua, malah berkali-kali suara tersebut didengar seakan bersungguh-sungguh meminta Nelson untuk naik ke bukit.

Tanpa berfikir panjang, Nelson pun pergi ke atas bukit walaupun takut tak terkata ketika itu.

Pada jam 7 pagi keadaan dilihat agak tenang dan pengganas pun sudah tidak kelihatan. Nelson pun turun dari bukit dan kembali  ke khemah untuk cuba hubungi talian kecemasan. Malangnya, barang berharga seperti telefon bimbit dan laptop semua sudah diambil oleh pengganas KKB.

Tinggallah Nelson keseorangan sehelai sepinggang dengan mayat rakan-rakannya yang bergelimpangan di dalam khemah.

Disebabkan tiada apa yang boleh dilakukan lagi di khemah, Nelson pun ambil sleeping bag dan selimut kemudian tinggalkan khemah serta rakan-rakannya yang terkorban.

Meskipun ketakutan, Nelson terus menuju ke salah satu pencawang milik syarikat tempatnya bekerja. CCTV yang berada di situ merupakan ikhtiar terakhir Nelson untuk minta pertolongan supaya dapat keluar dari situ.

Macam-macam Nelson buat untuk dapatkan perhatian melalui CCTV termasuklah pelbagai isyarat SOS dan papan tanda untuk minta tolong. Akhirnya 3 jam selepas itu, barulah ibu pejabat syarikat telekomunikasi di Jakarta perasan situasi getir Nelson di pencawang.

Situasi Nelson telah dimaklumkan kepada pihak polis dan angkatan tentera Indonesia. Selepas 3 hari (5 Mac 2022), barulah Nelson diselamatkan.

Memang benar operasi menyelamat mengambil masa yang lama. Namun ia bukanlah disengajakan, tetapi keadaan cuaca tidak mengizinkan pasukan menyelamat untuk pergi dapatkan mangsa.

Jasad-jasad kawan Nelson yang terkorban pula dibawa pulang pada 7 Mac berikutnya.

Kenapa KKB Sukar Ditangkap ?

Kegiatan tidak berperikemanusiaan KKB Papua bukanlah perkara baru di kalangan rakyat Indonesia. Menurut laporan media tempatan, kumpulan pengganas ini telah membunuh 59 orang awam yang tidak berdosa sepanjang 3 tahun lepas. Anehnya, KKB seolah dilihat sukar untuk ditangkap oleh pihak berwajib.

Jumlah mereka dikatakan cukup ramai. Penggunaan senjata juga digunakan secara terang-terangan dan wajah mereka tidak disembunyikan. Mengapa kegiatan mereka berleluasa sehingga ke hari ini?

Pegawai risikan tempatan, Ridlwan Habib menjelaskan terdapat beberapa faktor yang menyebabkan anggota KKB sukar untuk ditangkap.

“Kemampuan serangan KKB sebenarnya biasa-biasa sahaja, namun disebabkan oleh struktur geografi Papua yang bergunung dan berhutan menyukarkan lagi operasi tangkapan kumpulan pengganas ini,” jelas Ridlwan.

Selain itu, Ridlwan yakin masih ada pihak setempat yang memberikan perlindungan kepada anggota KKB Papua. Difahamkan, anggota KKB biasanya diberikan tempat berlindung sehingga sukar untuk ditangkap oleh pihak berkuasa.

Sesetengah pihak yang melindungi anggota KKB juga bertanggungjawab dalam membekalkan pelbagai jenis senjata buat kumpulan pengganas ini.

Tragedi yang berlaku di Papua membuktikan betapa pentingnya keamanan negara demi keselamatan orang awam. Tiada siapa boleh bayangkan keadaan dan perasaan Nelson sebagai satu-satunya mengsa tunggal yang terselamat.

Nelson juga trauma melihatkan nasib rakan-rakannya yang dibunuh dengan cukup kejam oleh puak KKB Papua.  Apapun, semoga keluarga mangsa tabah dengan ujian besar yang dihadapi.

Tag:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat