Wanita! Jangan Abaikan 5 Perkara Ini Untuk Kehidupan Yang Sihat


Cepatnya masa berlalu, Sedar tak sedar, usia sudah masuk angka 30. Sebahagian wanita, pada usia 30 tahun dikatakan waktu puncak, punya karier yang stabil serta keluarga sendiri dan perlu kehidupan yang sihat.

Namun, jangan terus terleka kerana apabila anda berada dalam usia 30an, kesihatan wanita tidak akan sama seperti ketika di usia remaja hingga hujung 20an. Potongan badan pun banyak dah “lari” tak seperti masa zaman dara dulu, tambahan yang mempunyai anak.

KENAPA JADI BEGINI?

Biasanya apabila masuk usia 30 hingga 39 tahun, kesihatan wanita mula menjadi terabai. Mereka lebih cenderung kepada kerjaya, rumah tangga dan anak-anak yang semakin membesar.

Secara saintifiknya, kesihatan wanita juga akan merosot kerana fungsi badan kita sudah menjadi kurang efisyen. Maka, kita perlulah sentiasa peka dengan perubahan ini. Samalah macam kereta, kena servis lebih kerap seiring dengan pertambahan usia.

UNTUK KEKALKAN KESIHATAN WANITA, JANGAN ABAIKAN 5 PERKARA BERIKUT!

1. Otot Badan

Jika nak bandingkan otot-otot badan di usia 30-an memanglah tidak sama dan sehebat zaman remaja dulu. Semua aktiviti ingin di cuba. Tapi sekarang, berjalan jauh sikit pun dah sesak nafas dan cepat benar terasa letih bila buat kerja berlebihan.

Alternatif: Latih diri untuk lakukan regangan badan setiap hari. Bersenam adalah cara yang terbaik untuk menguatkan stamina.

2. Pemakanan

Pada usia 20-an, makanlah apa saja biarpun lewat malam  sehingga 2-3 pagi, tidak gemuk pun. Tapi sekarang, makan dijaga pun masih juga badan macam di pam makin membesar. Perlu ingat, semakin usia meningkat, kadar metabolisme pula akan menrun. Ini antara sebab mengapa badan mudah menjadi “naik”.

Alternatif: Kurangkan makan makanan berproses seperti makanan dalam tin. Ambil makanan yang kaya dengan Omega 3 seperti ikan dan kekacang. Sertakan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam pemakanan seharian.

3. Kesuburan

Usia antara faktor utama penyumbang dalam kesuburan kaum wanita. Semakin naik usia, semakin susah untuk ‘melekat’. Itu yang biasa kita dengar sejak zaman dulu lagi.

Alternatif: Antara faktor kesuburan yang boleh dikawal ialah kesihatan tubuh badan dan pemakanan yang seimbang serta berkhasiat. Apa pun, bila bercakap tentang anak, sentiasalah percaya dengan ketentuanNya.

4. Keperluan berjumpa doktor

Kebiasaannya kaum ibu selagi tidak sakit yang berat, memang tiada lah nak berjumpa doktor. Paling-paling pun makan ubat sahaja. Selalunya, hanya ke klinik untuk rawatan anak-anak yang sakit.

Alternatif: Setiap 2 tahun, buat saringan kesihatan untuk pemeriksaan darah tinggi dan kolesterol. Ia penting kerana jika dapat dikesan awal, boleh menyelamatkan anda daripada penyakit 3 serangkai iaitu kencing manis, darah tinggi dan jantung.

5. Kulit Badan

Gabungan stress, diet yang tidak seimbang, dan hormon boleh menyebabkan kulit kurang berseri dan nampak kusam. Penggunaan pencuci muka dan losen badan yang tidak sesuai dengan usia juga menyebabkan kulit jadi kering.

Alternatif: Guna produk penjagaan diri yang sesuai dengan umur kerana ia membantu mengekalkan minyak semula jadi dalam badan. Amalkan juga petua-petua yang menggunakan bahan semulajadi sekali-sekala.

Masih belum terlambat untuk anda, kaum wanita menumpukan kembali pada diri sendiri. Pandanglah diri anda sekarang dan bayangkan 10 tahun akan datang. Adakah anda mahu kekal jadi wanita yang anggun sama seperti di usia 20 an atau ditimpa dengan pelbagai masalah kesihatan pada hari-hari mendatang?

Pilihan di tangan anda.

Sumber : SirapLimau

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat