Isteri Hadiahkan Suami Lamborghini RM2 Juta, Mahu Suami Selalu Ada Ketika Berpantang
Sebagai tanda penghargaan kepada pasangan yang telah banyak bersusah payah, pastinya ramai yang akan memberikan hadiah terbaik untuk menggembirakan pasangan.
Kita biasa melihat pasangan akan membeli bunga atau buat kejutan makan malam romantik dan sebagainya. Namun lain pula ceritanya dengan seorang wanita yang tular baru-baru ini.
Sepasang suami isteri ini mendapat perhatian warganet apabila si isteri hadiahkan suami Lamborghini.
Video detik kejutan @ayunieso24 kepada suaminya ini menarik perhatian ramai sehingga meraih lebih sejuta tontonan setakat ini.
Dalam video tersebut, pasangan suami isteri dilihat berada di dalam kereta sebelum meminta suaminya memejamkan mata.
Sebaik sahaja mereka keluar dari kereta, wanita itu kemudiannya memimpin si suami ke showroom. Sebaik sahaja mengetahui kejutan, suami tidak dapat menahan sebak apabila menerima hadiah yang sangat berharga dari isteri.
Menurut ibu muda yang berusia 19 tahun itu, kereta Lamborghini model Huracan Evo berwarna turqouise itu berharga RM 2 juta.
“Alhamdulillah rezeki kami tak pernah putus sejak berkahwin. Suami pun menjaga saya dengan begitu baik ketika kehamilan saya.
“Selain menghargai pengorbanan suami, hadiah Lamborghin itu kerana mahu dia sentiasa di sisi saya sepanjang tempoh berpantang,” katanya.
Rupanya Ada Sebab Bagi Kereta Awal-Awal
Bakal menimang cahaya mata sulung pada akhir bulan ini, Anes berkata dia mempunyai alasan mengapa hadiah itu diberikan lebih awal.
“Saya beri hadiah awal-awal sebab masa berpantang nanti tak boleh pergi jauh-jauh. Ikut perancangan, saya akan berpantang di rumah keluarga saya di Pasir Mas, Kelantan.
“Mengikut amalan berpantang yang sering dilakukan oleh keluarga saya di Kelantan, tempohnya hingga 100 hari. Maka tiga bulanlah suami kena ikut saya berkampung,” katanya.
Dalam pada itu, usahawan muda itu juga mengharapkan yang terbaik daripada suami untuk menjaganya sepanjang tempoh berpantang.
“Saya jangkakan suami bukan sekadar sentiasa bersama saya, tapi dia kena jaga baby siang dan malam. Sebabnya saya kemungkinan akan bersalin secara pembedahan,” katanya.
Meninjau di ruangan komen, kejutan istimewa itu turut menarik perhatian netizen. Malah ramai yang turut sama berasa sebak melihat reaksi lelaki itu yang siap menangis semasa menerima kejutan dari isterinya ini.