Jangan Terlalu Memilih Kerja Selepas Grad
PESANAN KEPADA ANAK MUDA, JANGAN TERLALU MEMILIH KERJA SELEPAS GRAD
Encik Abd Hakim Awang ialah CEO D’Apple dan juga usahawan berjaya. Beliau bermula dengan menjadi salesman dan seringkali di hina oleh orang sekeliling tetapi itu tidak menyekat beliau daripada terus maju dan mencapai kejayaan yang beliau peroleh sekarang. Di bawah adalah sedikit sebanyak kisah yang beliau ingin berkongsi sebelum beliau menjadi usahawan berjaya dan beliau berharap ini dapat memberi nasihat kepada anak muda untuk tidak terlalu memilih kerja.
Berkuli-kuli dahulu, bersenang-senang kemudian..
Selepas grad, saya pernah jadi salesman. Minta kerja lain tak dapat. Berdiri di lobby pasaraya sambil pegang flyers dan edar. Dari jam 10.00 pagi sampai 10.00 malam.
Gaji RM15.00 sehari + komisyen. Ada yang herdik dan hina saya. Ada yang caci maki saya. Hakim si penjual kamus.
Alkisahnya, saya anak Cikgu Awang, dari darjah 1 sampai darjah 6 selalu dapat nombor 1. Masuk sekolah menengah pun selalu dapat nombor 1. Masuk MRSM dapat result yang agak cemerlang.. Masuk universiti, nak kata cemerlang tak jugak tapi dapatlah lepas.
Bukan nak buat cerita atau nak mendabik dada, cuma nak bagitahu disebalik sejarah akademik yang agak cemerlang, tidaklah pula rasa segan berdiri depan orang ramai, memujuk pelanggan supaya membeli barang, memperkenalkan sampai kering air liur, sampai kering anak tekak, sampai suara tak keluar.
Sejarah dan rekod akademik yang agak cemerlang langsung tak menghalang saya berdiri saban hari dari pagi sampai malam sambil memegang beberapa helai kertas dan hanya membalas senyum bila dilemparkan memek muka masam dengan mulut berkeriyok dan muncung. Sekali orang kenal lalu, sekali tudung muka dengan flyers.. hahahaha..
Disitu saya belajar banyak perkara, dapat kutip banyak pengalaman dan dapat kekuatan dan keberanian. Berpuluh pasaraya dan berpuluh ekspo saya sertai sepanjang jadi salesman yang kebanyakan orang pandangnya sebelah mata.
Tak tahannya laki bini jadi salesman/salesgirl bersama Nuraine D’Apple (masa tu belum kahwin, masih status kawan tapi mesra)
Pernah orang kata ” Anak Cikgu Awang, belajar tinggi-tinggi, last-last kerja jadi salesman, kerja jual kamus, tak da masa depan “.
Haha, suka hati dia kata kita tak ada masa depan. Ikut suka dia lah asalkan dia suka hati.
Pernah bekas cikgu sekolah menengah saya lalu, saya menyorok bawah meja, malu..
Dan juga pernah bekas pensyarah lalu dan tegur saya ” bukan ke awak ni student saya, hakim? “… Haha, saya jawab, ” bukan ni, saya bukan hakim” sebab bersungguh menafikan sampai pensyarah tu garu kepala dan mintak maaf seraya berkata ” awak ni sebijik macam bekas student saya ” saya jawab balik ” pelanduk 2 serupa kak..”
(Ini dinamakan teknik penafian selamba dan ia tak baik untuk diamalkan walaupun sangat berkesan)
Selepas satu masa saya sudah tidak malu dan tidak segan lagi.. Nak kata apa, kata la. perut masing-masing kena isi sendiri.
Saya sekarang faham, nak jadi usahawan, kena BERANI, takleh MALU-MALU sangat nak approach pelanggan dan JANGAN TAKUT DILIHAT TAK KAYA DAN TAK STANDARD!, haha…
Saya belajarnya di JALANAN, bukan di bilik darjah..
Bila diimbas kembali, ‘turning point’ dalam hidup saya adalah pada hari saya bermula jadi SALESMAN dan pada hari orang berkata ‘Anak Cikgu Awang yang tak ada masa depan’. Kalau bukan saya bermula disitu, saya mungkin tidak disini..
Dari seorang salesman kepada bisnes berangka 7.. Saya sendiri tidak menyangka ianya akan sampai kesini..
Salesman yang dihina dulu sudah sampai disini menjadi CEO D’Apple..
Lapangan ini adalah tempat terbaik untuk belajar dan melatih diri. Cubalah sekali..
Senyuman kemanisan hari ini lahir dari tangisan dan kedukaan yang lepas..
“Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian”.
Jangan terlalu memilih kerja. Jangan tanamkan dalam mind set kita bahawa selepas grad, kita wajib bekerja dalam pejabat, dengan sejuknya aircond sambil berkot litup. Waktu tengah hari, keluar lunch di kafe / restoran ternama macam dalam drama swasta..
Kerja je mana-mana dulu yang halal dan tak langgar syariah. InshaAllah jalannya pasti akan terbentang..