E-Kad: Operasi Gempur PATI Besar-Besaran

Sumber Rujukan : Rahimah Abdullah

Jabatan Imigresen Malaysia menyatakan hasrat untuk meneruskan operasi secara besar-besaran untuk menangkap Pendatang Asing Tanpa Izin(PATI) yang tidak berdaftar dibawah program Enforcement Card atau E-Kad.

Datuk Seri Mustafar Ali selaku Ketua Pengarah menegaskan, operasi besar-besaran ini akan dilancarkan selepas tepat jam 12 malam ini(30/6/2017).

“Sehingga 8 pagi tadi, sebanyak 155,688 PATI  telah kita daftarkan untuk E-Kad. Majikan yang telah didaftarkan ialah sebanyak 26,957 orang dan 140,746 E-Kad telah dikeluarkan.

Hanya 23 peratus yang daftar E-Kad. Kita kecewa sebab peluang yang tidak diambil majikan lebih awal. Bermula tengah malam ini gerakan besar-besaran akan dilakukan sebab tindakan itu sudah kita maklum lebih awal,” katanya semasa sidang media selepas melakukan tinjauan proses permohonan E-Kad di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen.

Ujarnya, PATI yang ditangkap akan dibawa ke depoh tahanan sementara imigresen seluruh negara sebelum proses pengusiran dilakukan.

“Tempoh tahanan (PATI) itu bergantung. Ada yang cepat dan ada yang lambat. Kalau dia ada dana, dia boleh keluar secara sukarela. Jadi kita akan selesaikan (untuk proses itu) dan selepas daripada itu mereka akan disenarai hitam daripada memasuki negara ini,” katanya lagi.

Beliau menegaskan, majikan yang gagal mendaftarkan pekerja asing mereka akan turut diambil tindakan tegas.

Pihaknya juga tidak akan melanjutkan tempoh permohonan pendaftaran E-Kad kerana banyak peluang telah diberikan sebelum ini.

Sikap majikan yang menunggu pada saat akhir untuk mendaftar pekerja asing juga menyebabkan kebanyakan kaunter imigresen sesak.

“Sehingga jam 11 tengah hari, saya telah katakan majikan-majikan yang sedia ada ini akan dilayan, majikan yang datang kemudian sukar untuk kita layan kerana sudah tiada tempat untuk kita proseskan (permohonan) mereka.

“Oleh kerana kedegilan (majikan) melakukan pendaftaran lebih awal, maka berlaku kesesakan yang terpaksa kita tanggung. Jangan persalahkan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam hal ini,” tegas beliau.

Tambahnya, majikan yang gagal mendaftarkan pekerja mereka di bawah E-Kad boleh didakwa mengikut Akta Imigresen 1959 / 63 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 bagi seorang PATI, penjara sehingga lima tahun, atau sebatan.

Tambahnya, kebanyakan permohonan E-Kad adalah melibatkan pati dari negara bangladesh, indonesia, myanmar dan nepal.

Dalam pada itu katanya, Jabatan Imigresen juga berjaya menahan sebilangan majikan, PATI, dan ejen yang mengedar dan menggunakan E-Kad palsu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat