e-Dagang Meningkatkan Pendapatan Pos Malaysia

Sumber Rujukan : Mahanum Abdul Aziz (BH) 10 Apr 2017

Dengan terdapatnya pembelian atas talian yang kini semakin meluas telah membantu melonjakkan pendapatan Pos Malaysia Bhd dengan segmen itu diunjurkan menyumbang 50 peratus daripada pendapatannya bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, berkata e-Dagang menjadi pemacu perubahan kepada perniagaan Pos Malaysia selepas segmen penghantaran mel mengalami kemerosotan.

Malah, katanya tanpa e-Dagang, kemungkinan perkhidmatan pos yang ditawarkannya sejak 200 tahun lalu mungkin terkubur.

“Pengenalan e-Dagang banyak mengubah landskap perkhidmatan kurier, pembelian secara dalam talian meningkatkan permintaan terhadap kurier.

“Segmen e-Dagang mencatatkan pertumbuhan pantas setiap tahun iaitu sekitar 15-20 peratus. Kami mengunjurkan e-Dagang mencatatkan pertumbuhan tinggi antara 20 hingga 22 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2018,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Banyakkan Pusat Pos Malaysia

Bagi memenuhi pertumbuhan pesat terhadap e-Dagang, Mohd Shukrie berkata, pihaknya memperbanyakkan pusat Pos Malaysia untuk menawarkan perkhidmatan 24 jam setiap hari.

Beliau berkata, pengendali perkhidmatan mel tertua di Malaysia itu juga akan meningkatkan lagi jumlah lokar simpanan bungkusan yang ditawarkan kepada pelanggannya.

“Ketika ini, kami mempunyai kira-kira 60 lokar simpanan bungkusan. Kami bercadang untuk menambahkan lagi 50 unit bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2018.

“Kebanyakan lokar simpanan bungkusan Pos Malaysia ini terletak di sekitar Lembah Klang. Kami bercadang menambah jumlah lokar simpanan bungkusan 50 hingga 100 unit setiap tahun,”katanya.

Mengulas lanjut mengenai sambutan terhadap perkhidmatan lokar simpanan bungkusan Pos Malaysia yang mana disediakan untuk pelanggannya mengambil bungkusan mereka, Mohd Shukrie berkata, dalam tempoh enam bulan, kadar penggunaan lokar simpanan bungkusan sekitar 70-80 peratus.

Beliau berkata, kadar yang dicatatkan amat memberangsangkan, sekali gus menunjukan permintaan terhadap e-Dagang amat tinggi.

Katanya, Pos Malaysia melabur RM 70,000 untuk setiap lokar simpanan bungkusan itu.

Perkhidmatan lokar simpanan bungkusan Pos Malaysia membolehkan pelangan mengambil bungkusan Pos Laju mereka pada bila-bila masa.

Pos Malaysia menyediakan perkhidmatan kemudahan pandu lalu dikenali ‘EziDrive-Thru‘ bagi memboleh kan pelanggan mengepos barangan mereka tanpa perlu meninggalkan kenderaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat