Sering Sakit Perut Ketika Berpuasa ? Jom Ikuti Tips Dari Doktor Ini Untuk Tangani Dyspepsia Dengan Berkesan
Bulan Ramadhan merupakan waktu yang sesuai untuk kita melatih nafsu di samping menguruskan tabiat pemakanan. Namun, ibadah ini mungkin sukar untuk dilakukan bagi sesetengah orang yang sering alami sakit perut.
Seorang pakar perubatan, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan turut berkongsi situasi di kliniknya sejak bulan Ramadhan ini yang sering didatangi oleh pesakit yang mengadu sakit perut.
Mereka juga didapati mempunyai beberapa simptom lain seperti pedih ulu hati, kejang perut, kerap bersendawa yang berbau masam, loya dan muntah-muntah. Menurut Dr Kamarul, ini merupakan tanda-tanda Dyspepsia.
Apa Itu Dyspepsia ?
Dyspepsia sering kali berlaku apabila sistem pencernaan terganggu. Simptom kondisi kesihatan ini secara umumnya kerap berlaku ketika bulan puasa akibat perut yang kosong namun tetap merembeskan asid.
Sesetengah orang lebih sensitif dengan asid ini sehingga boleh menyebabkan ketidakselesaan perut.
Punca Dyspepsia
Antara punca dyspepsia yang boleh dikenal pasti adalah :
- Gastritis
- Penyakit ulser peptic
- Gastroesophageal reflux disease (GERD)
Cara Elak Dyspepsia
Jadi, apakah cara untuk elakkan dyspepsia sepanjang bulan Ramadhan ini ?
Dr Kamarul menyarankan pesakit untuk elakkan beberapa perkara berikut sepanjang bulan puasa :
- Merokok serta minum minuman keras
- Minum kopi, teh dan minuman berkarbonat
- Ambil makanan berempah, pedas dan berminyak
- Ambil ubat tahan sakit (NSAIDS) secara berterusan
- Baring atau tidur selepas berbuka atau sahur
- Makan terlalu hampir dengan waktu tidur
Sebaliknya, pesakit adalah digalakkan untuk amalkan perkara berikut untuk elakkan dyspepsia.
- Amalkan berbuka pada awal waktu sejurus azan Maghrib
- Lewatkan waktu bersahur dan elakkan bersahur sebelum tidur
- Makan dalam sukatan yang kecil dan berulang
- Amalkan pemakanan sahur yang sihat serta tinggi kandungan serat
- Dapatkan tidur yang mencukupi
- Minum air kosong secukupnya
- Elakkan stres
Bila Perlu Berjumpa Doktor ?
Biasanya dyspepsia boleh ditangani dengan amalan yang disyorkan seperti di atas. Namun, jika pesait alami beberapa simptom ini, mereka perlulah segera berjumpa doktor.
Sakit perut yang sangat teruk. Doktor akan berikan ubat untuk kurangkan rembesan asid dalam perut serta ubat sokongan lain.
Jika muntah dan ada keluar darah segar atau berwarna merah kehitaman, ia menandakan pendarahan dalam perut. Anda perlulah berjumpa dengan doktor segera.
Perhatikan juga jika najis anda berwarna hitam legam. Ia juga boleh jadi tanda berlakunya pendarahan dalam perut.
Dalam berpuasa, kita juga perlu pastikan pemakanan dan kesihatan terjaga agar kita dapat laksanakan rukun ibadah ketiga ini dengan lebih sempurna. Semoga kesihatan kita sentiasa terpelihara pada bulan mulia ini.